Perdana Menteri rasmi Kompleks Balai Islam An-Nur TNB

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur milik Tenaga Nasional Bhd (TNB), mercu tanda baharu Ibu Pejabat TNB, di sini.

Majlis perasmian itu, yang diadakan sempena ulang tahun Ke-70 TNB pada 1 Sept lepas, menjadi detik bersejarah buat syarikat utiliti elektrik negara itu apabila Perdana Menteri mengumumkan penamaan semula Kompleks Balai Islam itu kepada Kompleks Balai Islam An-Nur, Ibu Pejabat TNB.

Kompleks Balai Islam baharu ini dibina bagi menggantikan Balai Islam lama yang dibuka pada tahun 1971, selaras dengan hasrat TNB untuk terus menjadi komuniti korporat yang prihatin selain membuka pintu perkongsian kemudahan dengan masyarakat sekitar Lembah Pantai.

Projek pembinaan semula itu dilaksanakan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sejak September 2017 bagi menggantikan binaan lama yang hanya mampu memuatkan kira-kira 800 jemaah.

Kini, kompleks tiga tingkat yang lengkap dengan lif ini memiliki tiga ruang solat dengan kapasiti keseluruhan 2,850 jemaah.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, barisan jemaah menteri, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta pengurusan tertinggi TNB.

Dalam ucapannya, Leo berkata pembinaan Kompleks Balai Islam ini adalah sebahagian daripada fasa pertama program pembangunan semula tanah Ibu Pejabat TNB manakala fasa keduanya melibatkan pembinaan kampus baharu Ibu Pejabat TNB.

“Adalah menjadi harapan kita agar kemudahan di Kompleks Balai Islam baharu ini dapat dikongsi dan diimarahkan bersama masyarakat setempat,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

119 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas