Ucapan Sempena Majlis Makan Malam Sambutan 60 Tahun Parlimen Malaysia

TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SAMBUTAN 60 TAHUN PARLIMEN MALAYSIA PADA 4 DISEMBER 2019 (RABU), JAM 8.30 MALAM BERTEMPAT DI PARLIMEN MALAYSIA

PENDAHULUAN

1. Saya sangat bersyukur kerana diberi kesempatan bersama-sama ahli-ahli Yang Berhormat serta pegawai dan kakitangan Parlimen bagi meraikan majlis makan malam sempena sambutan 60 Tahun Parlimen Malaysia.

2. Pada usia 60 tahun Parlimen Malaysia telah berjaya untuk terus kekal sebagai institusi dan simbol demokrasi serta mewakili suara dan kuasa rakyat.

3. Ianya satu pencapaian yang bukan sahaja membanggakan tetapi perlu dipertahankan selagi kita berpegang kepada amalan demokrasi dan yakin bahawa suara rakyat itu suara keramat.

4. Sambutan ini juga amat bermakna kerana ia diraikan setahun selepas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14.

5. Walaupun berlaku perubahan dari segi parti yang menerajui Kerajaan buat pertama kalinya sejak Merdeka, namun tradisi dan amalan demokrasi terdahulu tetap diteruskan dan dipertahankan, dan di mana perlu, kita perbaiki.

MENGURUS DEMOKRASI

6. Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang kita amalkan selama lebih 60 tahun ini telah memberi kuasa kepada rakyat dalam memilih Kerajaan yang akan memerintah.

7. Dalam tempoh pemerintahan yang diamanahkan untuk satu penggal tidak melebihi 5 tahun, Kerajaan yang dipilih tidak boleh memerintah sesuka hati tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Jika kuasa yang diamanahkan itu disalahguna dan membawa keburukan kepada rakyat ataupun untuk kepentingan peribadi, Kerajaan akan dihukum seperti yang kita telah saksi di dalam pilihanraya yang lalu.

8. Proses peralihan kuasa yang berlaku secara aman tanpa adanya rusuhan atau keganasan membuktikan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang kita amalkan dilaksanakan dengan agak berjaya.

9. Walaupun terdapat rasa tidak puas hati di kalangan segelintir rakyat berkaitan amalan demokrasi kita terutamanya kerana kewujudan beberapa undang-undang yang dianggap bertentangan dengan semangat demokrasi itu sendiri, Kerajaan yang baik akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki di mana perlu.

10. Janji-janji yang terdapat di dalam Manifesto Pilihanraya Pakatan Harapan turut menekankan akan keperluan tersebut kita telah menunaikan beberapa janji tersebut dan yang lain di dalam proses untuk dipenuhi.

MEMPERTAHANKAN DEMOKRASI

11. Sistem demokrasi adalah sesuatu yang hidup dan berterusan. Undang-undang yang kita perkenalkan pada satu masa dahulu kerana keperluan semasa terpaksa kita pinda dan adakala dimansuh kerana sudah tidak relevan atau tidak sesuai dengan amalan dan semangat demokrasi masa kini.

12. Pada Julai 2019, Negara juga mencipta sejarah baharu, apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun diluluskan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen. Pindaan ini akan meningkatkan jumlah pengundi baru lebih 50 peratus pada tahun 2023 iaitu sekitar 22.7 juta pengundi berbanding hanya 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14.

13. Kerajaan juga dalam proses untuk menyemak dan meminda undang-undang yang kita anggap bertentangan dengan semangat demokrasi dan ini akan terus berjalan dan dilaksanakan.

AMANAH YANG DITUNTUT

14. Malaysia baharu yang terbina lebih daripada setahun lalu menuntut pembaharuan dan reformasi besar dalam semua segi, bukan sahaja pengurusan pentadbiran Kerajaan, politik dan cara berpolitik, malah perwatakan kita sebagai Wakil Rakyat juga perlu diubah.

15. Kuasa yang diamanahkan kepada Kerajaan oleh rakyat bukan sesuatu untuk kita bermegah-megah tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan amanah tersebut dengan penuh integriti, adil dan saksama.

16. Jika mahu dipercayai dan dihormati, jangan lakukan perkara-perkara yang merendahkan martabat kita dan pamerkan sifat-sifat yang baik dan idea-idea konstruktif yang boleh membawa kepada sesuatu kejayaan.

17. Ahli politik perlu mengamalkan politik yang beretika dan berhujah dengan fakta yang betul. Setiap perkara yang dibahaskan dan apa jua tindakan yang akan dilaksanakan haruslah berlandaskan kejujuran dan kebijaksanaan, elakkan berpolitik dengan pemikiran yang sempit dan penuh kebencian.

REFORMASI PARLIMEN

18. Reformasi Parlimen yang dilaksanakan tidak akan berjalan dengan baik tanpa kerjasama dan sokongan semua ahli-ahli Parlimen.

19. Ahli-ahli Parlimen seharusnya merebut peluang untuk mengisi proses reformasi ini sebaik mungkin. Kita juga perlu bersedia mengubah cara lama kita bekerja dan perlu lebih rajin mendalami ilmu-ilmu baru selari dengan keperluan proses reformasi yang dilaksanakan.

20. Walaupun kita terbahagi antara ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang, adakala kita perlu bertindak secara bi-partisan kerana kita tahun ianya adalah untuk kebaikan rakyat.

21. Adakala kita lupa terhadap tanggungjawab kita kepada rakyat dan terus mempertahankan yang batil atas dasar setia sedangkan kita tahu kesalahan telah dilaku yang merugikan rakyat.

22. Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk bertindak dengan lebih fokus dalam menyemak pelaksanaan sesuatu dasar, undang-undang atau rancangan pembangunan Negara. Kita percaya cadangan dan idea yang dihasilkan boleh membantu Kerajaan melaksanakan dasar dan perancangan Negara dengan lebih baik.

HARAPAN KEPADA AHLI PARLIMEN MUDA

23. Parlimen hari ini terdiri daripada ramai ahli-ahli yang muda (berumur di bawah 45 tahun). Mereka mewakili 25 peratus ahli di Dewan Rakyat dan 15 peratus ahli Dewan Negara. Proses Reformasi Parlimen akan lebih bermakna dengan penglibatan aktif mereka.

24. Pendedahan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat menjadikan mereka golongan lebih bermaklumat dan seharusnya membantu proses pemikiran yang lebih jelas dan matang. Oleh itu mereka ini harus diberi peluang, ruang dan suara untuk bersama-sama berganding bahu membangunkan Negara.

25. Dalam memberi peluang kita juga menuntut golongan muda hari ini mengamalkan nilai- nilai murni dan membina jati diri sebagai anak Malaysia. Nilai-nilai integriti dan bencikan rasuah perlu diserap menjadi sebahagian budaya hidup mereka.

26. Ini kerana masalah rasuah di kalangan anak muda sangat membimbangkan. Kajian Transparency International menunjukkan 66 peratus anak muda di rantau Asia Pacific bersedia menerima rasuah sekiranya berpeluang. Statistik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2014 hingga 2019, menunjukan sebanyak
53.4 peratus daripada tangkapan kes rasuah Negara adalah melibatkan golongan muda yang berumur di bawah 40 tahun.

INTEGRITI DAN TADBIR URUS YANG BAIK

27. Kerajaan Pakatan Harapan yang terbentuk hari ini adalah hasil dari penolakan rakyat terhadap sebuah Kerajaan yang mengamalkan rasuah dan bersifat kleptokrasi. Adalah menjadi komitmen Kerajaan untuk memulihkan imej negara agar Malaysia dikenali sebagai sebuah Negara berintegriti dan bebas rasuah.

28. Kerajaan sedar perlakuan rasuah di kalangan sektor awam boleh memusnahkan negara. Kajian SPRM bagi tempoh 2013 hingga 2018, sebanyak 63.3 peratus aduan rasuah yang diterima oleh SPRM adalah melibatkan sektor awam dan sektor awam juga dikenalpasti paling terdedah kepada gejala rasuah.

29. Untuk itu, pada Januari 2019, Kerajaan telah memperkenalkan Pelan Anti-Rasuah National (National Anti-Corruption Plan – NACP) untuk menangani gejala rasuah dengan mempromosikan urus tadbir yang baik iaitu mengamalkan sikap telus, berintegriti dan bertanggungjawab di semua pentadbiran Kerajaan.

30. Sebagai badan perundangan tertinggi Negara adalah menjadi harapan Kerajaan agar dapat melihat Pelan Anti-Rasuah Parlimen dilaksanakan secepat mungkin agar Institusi Parlimen bebas rasuah dan politik Negara lebih berintegriti.

PENUTUP

31. Kerajaan sedar perpaduan rakyat adalah kunci kejayaan membina semula Negara. Untuk itu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) telah dibangunkan bagi mengukuh kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran Negara berasaskan penyatuan Negara bangsa.

32. Pelbagai inisiatif yang telah dirancang dan dilaksanakan Kerajaan tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan sokongan semua pihak. Saya menyeru kepada semua ahli-ahli Parlimen untuk membangunkan Negara demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, walaupun kita berbeza dari segi fahaman politik.

33. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada pihak Parlimen Malaysia kerana berjaya mengadakan majlis makan malam sempena sambutan 60 tahun Parlimen Malaysia dan terima kasih juga kerana memberi kesempatan kepada saya untuk memberi ucapan ini.

Sekian. Wabillahhi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

140 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas