Minyak Sawit: Kerajaan India Belum Buat Kenyataan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Kerajaan India belum membuat sebarang kenyataan berhubung isu minyak sawit Malaysia-India walaupun terdapat pihak tertentu menasihatkan negara itu supaya tidak membeli produk berkenaan dari negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad

“Yang lebih penting ialah kerajaan mereka belum membuat sebarang kenyataan. Oleh itu kita tunggulah dasar kerajaan (India) mengenainya,” kata Perdana Menteri kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdapat pihak tertentu, termasuk warganet, individu dan persatuan perniagaan di India, membuat gesaan itu susulan kenyataan Dr Mahathir mengenai Jammu dan Kashmir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York bulan lepas.

Dr Mahathir berkata Malaysia akan mencari jalan untuk menangani dan berkomunikasi dengan mereka, sambil menegaskan bahawa tindakan setakat ini bukanlah daripada kerajaan India.

“Malaysia ialah negara dagang, kita perlukan pasaran, oleh itu kita berbaik dengan orang lain, namun kita juga perlu memperjuangkan pihak lain, ada kalanya apa yang kita cakap digemari dan ada yang tidak disukai,” katanya diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Ditanya sama ada beliau akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya di PBB, Dr Mahathir berkata “Kita luahkan apa yang kita fikirkan, dan kita tidak menarik balik atau mengubahnya.

“Kita merasakan rakyat Kashmir sudah diberi, menerima manfaat daripada resolusi PBB, dan apa yang kita katanya ialah kita perlu patuh, bukan sahaja India, bukan sahaja Pakistan, malah Amerika dan negara lain perlu mematuhi resolusi PBB itu, jika tidak tidak perlulah ada PBB.”

Mengenai cadangan perniagaan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd, beliau berkata : “Kita tahun Malaysia Airlines mengalami kerugian.

Ia sudah melalui pelbagai perubahan, banyak idea dan pengurusan, namun masih rugi.

Kini ada orang yang berkata ia boleh dipulihkan, kita akan menelitinya, jika anda ada idea, anda boleh berkongsi dengan kerajaan.”

Mengenai cadangan penjualan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) pula, perdana menteri berkata pada masa ini kerajaan sedang mengkaji pelbagai cadangan terbaik.

“Biasanya kerajaan tidak suka terlibat dalam perniagaan, lebih baik kalau pihak swasta terlibat perniagaan dan kita harap mereka untung dan kita dapat 24 peratus daripada keuntungan mereka dengan tidak ada risiko apa-apa, tiada pelaburan apa-apa.

“Tapi kadang-kadang cadangan daripada pihak swasta tidak menarik, tidak memberi gambaran baik akan masa depan PLUS. Kita sedang kaji mana terbaik sama ada dimiliki kerajaan atau swasta,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

170 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

fifteen + 14 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas