Malaysia Akan Tingkatkan Kerjasama Dengan ASEAN Untuk Tampung Impak Perang Perdagangan

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Malaysia kini berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan jiran ASEANnya bagi menampung impak perang perdagangan US-China, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu katanya boleh melemahkan sistem perdagangan.

Oleh itu perniagaan perlu merancang dengan baik serta mengelak gangguan.

“Kita perlu bangunkan kapasiti dengan membangunkan daya saing. Kita mesti membangunkan syarikat bertaraf dunia kita sendiri yang mampu menyaingi pesaing.

“Satu cara untuk mencapainya adalah dengan mengenal pasti aset dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi baharu, serta meningkatkan kualiti sumber manusia,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, di sini hari ini.

Beliau berkata perang perdagangan besar-besaran antara US-China mungkin menunjukkan petanda yang lebih buruk yang sedang melanda dua kuasa terbesar dunia itu, yang boleh menjurus kepada satu lagi Perang Dingin.

Dr Mahathir berkata walaupun persaingan geostrategik bukan penyebab pertikaian perdagangan mereka sekarang, inilah akibat yang akan berlaku kesan daripada perang berpanjangan di peringkat dunia.

“Ini sangat mengecewakan apabila perdagangan yang sepatutya bebas, kini terhad secara meluas.

“Malangnya, kita terperangkap. Dari segi ekonomi, kita terlibat dalam kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kita juga terperangkap dari segi geografi. Ada kemungkinan kita juga akan menjadi sasaran sekatan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dalaman, beliau berkata, isu paling besar yang dihadapi oleh kerajaan sekarang ialah membersihkan masalah yang ditinggalkan oleh rejim kleptokratik terdahulu, dan membangunkan semula negara.

Dr Mahathir berkata untuk pulih dan berkembang, jentera kerajaan mesti dipulihkan dan menjadikannya cekap menerusi amalan sifar rasuah.

— BERNAMA

Similar Posts:

69 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas