Majlis Bagi Tindakan Perubahan Iklim Akan Ditubuhkan – PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau dan Eko Malaysia (IGEM) ke-10 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan bagi menangani perkara berhubung isu yang mendesak.

Langkah itu akan memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), katanya pada pelancaran Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2019 di sini, hari ini.

Beliau juga menggunakan pentas IGEM bagi mengumumkan penjenamaan semula Malaysian Green Technology Corporation kepada Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTCCC), di mana Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan akan ditubuhkan.

“Langkah ini (penjenamaan semula) adalah selari dengan komitmen kerajaan PH untuk mengecilkan perkhidmatan awam dan mengurangkan perbelanjaan dengan mengoptimumkan penyampaian,” kata Dr Mahathir.

Langkah penjenamaan itu bersempena dengan ulang tahun ke-10 perbadanan berkenaan, sebuah agensi diwujudkan sebagai pemangkin pengambilan teknologi hijau di negara ini di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Dr Mahathir menekankan pentingnya agar negara berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bersedia untuk menghadapi kesan perubahan iklim seperti kenaikan paras laut, gangguan perubahan makanan, penjagaan kesihatan dan yang lain.

“Sebuah Pusat Perubahan Iklim Kebangsaan diperlukan untuk melakukan kutipan data yang berhubung dengan perubahan iklim, analisis risiko, penyelarasan dasar dalam kalangan pelbagai peringkat dan aspek kerajaan bagi memastikan Malaysia bukan sahaja bertahan tetapi berkembang maju apabila dunia tidak dapat tidak menjadi panas pada masa akan datang,” katanya.

Perdana Menteri juga memuji MESTECC kerana mewujudkan kerangka peraturan yang menjadi pemangkin kepada kewangan swasta dalam pelaburan projek tenaga yang diperbaharui.

“Dalam kes pertumbuhan mampan teknologi hijau, ia perlu disuntik terutamanya oleh pelaburan swasta berbanding dana awam,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata lagi, kerajaan PH akan mengusahakan ke arah agenda hijau.

“Saya menanti pembentangan undang-undang baru itu seperti kecekapan dan pemuliharaan tenaga serta perlindungan alam sekitar di Parlimen,” tambah beliau.

— BERNAMA

Similar Posts:

56 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five + ten =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas