Konflik Jammu Dan Kashmir Perlu Diselesaikan Melalui Rundingan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Malaysia berharap konflik antara India dan Pakistan berhubung kemelut di Jammu dan Kashmir dapat diselesaikan melalui rundingan dan bukannya kekerasan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata teguran Malaysia terhadap isu wilayah berkenaan sebelum ini tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya cuma menuntut supaya jalan penyelesaian baik dapat dicapai.

“Teguran kita (Malaysia) bukan memihak kepada sesiapa cuma menuntut supaya kedua-dua (India dan Pakistan) pihak dapat berunding dan jangan menggunakan kekerasan kerana itu memang dasar kita.

“(Kita minta supaya) tidak menggunakan kekerasan sebaliknya berunding atau timbang tara ataupun guna mahkamah,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata pendekatan tersebut juga yang dibangkitkan beliau kepada Perdana Menteri India Narendra Modi semasa pertemuan mereka di Vladivostok, Rusia pada 5 Sept lepas.

“Saya juga dah bercakap dengan Modi jika ada apa-apa perasaan tidak senang (mengenai kenyataan dari Malaysia) dia boleh berhubung dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan rakyat India susulan ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada kempen #BoycottMalaysia akan memberi kesan terhadap perdagangan atau pelaburan Malaysia, Dr Mahathir menjawab; “Saya tidak fikir begitu (tidak akan memberi kesan).”

— BERNAMA

Similar Posts:

88 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas