Tanam Padi Skala Besar: Kerajaan Pertimbang Pandangan Pakar Perladangan

ALOR SETAR, 10 Sept — Kerajaan sudah mendengar pandangan dari salah seorang bekas peneraju syarikat perladangan negara yang boleh menjadi rangka untuk melaksanakan program perladangan padi berskala besar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, hari ini berkata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah membentangkan cadangan berhubung percantuman tanah yang boleh diaplikasikan dalam penanaman padi secara besar-besaran.

“Dia (Mohd Bakke) biasa dengan pengurusan ladang ladang sawit dan getah dan dia telah menulis sebuah paper (kertas kerja) berkenaan dengan cara cara nak cantumkan tanah supaya jadi lebih besar tapi tidak terhad kepada padi sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di sini.

Menurutnya cadangan berkenaan boleh diaplikasikan dalam keadaan yang dihadapi oleh golongan pesawah di negara ini yang sebahagian besarnya merupakan orang Melayu, yang setiap seorangnya memiliki saiz bidang tanah yang terhad.

“Kita lihat orang Melayu banyak mempunyai dua tiga ekar tanah dan tanam kelapa sawit. Tak boleh untung. Tanam getah tak boleh untung. Dia kena cantum supaya jadi lebih besar, urus dengan cara profesional, guna secara yang terbaik baru boleh untung,” katanya.

Dr Mahathir berkata cadangan percantuman tanah ini diberikan penekanan berikutan pemberian subsidi termasuk pengagihan baja secara percuma yang diamalkan selama ini masih gagal membawa golongan pesawah keluar dari kemiskinan.

“Kita boleh bagi subsidi, kita boleh bagi baja free tapi kemiskinan masih terus berlaku. Keluaran padi masih kurang berbanding dengan tempat tempat yang diurus dengan baik sebab itu kali ini kita bercadang untuk menanam padi ini dengan cara lain,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu institusi pengajian tinggi untuk menyediakan lebih banyak lagi peluang latihan pengurusan bagi memenuhi keperluan sumber manusia untuk menguruskan ladang-ladang padi ini nanti.

“Kita nak utamakan latihan pengurusan ladang yang besar dan mereka (generasi belia) boleh menjadi manager seperti mana dalam ladang-ladang kelapa sawit dan getah,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

62 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

1 × five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas