PM Lancar Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu dan berkata ia akan menjadi panduan kepada negara dalam mengendalikan dasar luarnya dalam persekitaran dunia yang cepat berubah dan mencabar.

Beliau berkata unsur-unsur asas dasar luar kekal tidak berubah dan perbezaannya kini adalah dalam pendekatan Malaysia kepada isu-isu tertentu, yang menjejaskan kepentingannya berdasarkan tiga pendekatan yang digariskan dalam kerangka itu.

“Justeru, tema menyeluruh bagi Kerangka ini ialah ‘Perubahan Dalam Kesinambungan’. Ini akan menjadi hala tuju kepada pelaksanaan dasar luar kita.

“Kita hidup di dunia di mana perubahan berlaku dengan pantas. Perubahan-perubahan ini bukan sahaja memberikan cabaran-cabaran tetapi juga peluang-peluang. Justeru, adalah munasabah Malaysia tidak kekal dengan kaedah-kaedah libat urus tradisional dan sebaliknya secara proaktif meneroka pendekatan-pendekatan baharu,” katanya ketika melancarkan kerangka itu di sini.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar; Menteri Industri Utama Teresa Kok; Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya; Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sambil menyifatkan kerangka tersebut sebagai sebuah dokumen hidup, Perdana Menteri berkata beliau yakin dokumen setebal 80 muka surat itu akan menjadi sumber yang amat bernilai bukan sahaja kepada para diplomat Malaysia tetapi juga kepada semua pihak yang berminat kepada dasar luar Malaysia.

“Kerangka ini, pada fikiran saya, telah merangkumi intipati arah tuju dasar luar pentadbiran sekarang.

“Apa yang lebih penting, ia juga mencakupi isu-isu penting yang telah saya bangkitkan dalam ucapan saya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-73 tahun lepas,” kata beliau.

Dr Mahathir memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar yang pragmatik, bebas dan berprinsip, berasaskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

Beliau berkata Malaysia juga percaya kepada pengekalan hubungan bersababat dengan semua negara dan penyelesaian aman kepada pertikaian, berdasarkan undang-undang dan kelaziman antarabangsa.

“Namun demikian, Malaysia mempunyai hak untuk menyatakannya pendiriannya dan, jika perlu menyatakan bantahannya, terhadap ketidakadilan, penindasan dan jenayah lain terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap mana-mana negara.

“Malaysia tidak pernah lari daripada apa yang ia percaya adalah tanggungjawab dan komitmen kepada kemanusiaan,” katanya.

Kerangka itu akan memandu Malaysia dalam melaksanakan dasar luarnya menerusi penyertaan aktif dalam pelbagai perbincangan di peringkat antarabangsa di mana Malaysia telah menjadi ahli dan untuk mempengaruhi proses pembuatan keputusan perbincangan peringkat antarabangsa di mana Malaysia tidak menjadi ahli, di samping membentuk perbincangan berkaitan isu-isu yang baru muncul seperti Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan “Ekonomi Biru”.

“Cabaran-cabarannya adalah besar dan pertaruhannya adalah tinggi. Bagaimanapun Malaysia akan tetap bertegas dalam mengejar matlamat-matlamat dasar luarnya berdasarkan prinsip keadilan dan berlaku adil. Saya optimistik kita akan berjaya mencapai matlamat-matlamat ini,” kata beliau.

Dr Mahathir juga berkata alam dasar luar adalah sfera antarabangsa, tidak boleh dipisahkan daripada realiti-realiti dalam negeri.

“Mudah cakap, dasar luar bermula di rumah. Dalam hubungan ini, dasar luar tidak akan berkesan sekiranya ia bertentangan dengan jangkaan-jangkaan dan realiti-realiti dalam persekitaran domestik.

“Justeru, saya perlu menekankan akan kepentingan kerjasama antara agensi dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal oleh kerajaan,” kata beliau.

— BERNAMA

Similar Posts:

429 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

16 + 7 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas