Pelan Jangka Panjang Tangani Jerebu Perlu Kerjasama Negara Lain – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 15 Sept — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan pelan jangka panjang bagi menangani jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini setiap tahun namun turut memerlukan kerjasama negara lain termasuk Indonesia.

“Sehingga kita mendapat kerjasama (daripada negara-negara lain) adalah tidak mungkin untuk mempunyai pelan jangka panjang,” kata beliau pada sidang media selepas menyaksikan pertandingan mendayung perahu, The Putrajaya Boat Race 2019, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau telah mengutus surat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo berhubung masalah jerebu ketika ini, Dr Mahathir berkata beliau masih belum berbuat demikian.

“Kita tengok bukti (dahulu) kerana dia (Indonesia) dakwa kata (jerebu) ini datang dari Malaysia, jadi kita kena sahkan sama ada datang dari Malaysia atau tidak,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar pada Rabu lepas dilaporkan mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia bukan datang dari negara itu, sebaliknya berasal dari Sarawak.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin membalas dalam hantaran di akaun Facebook beliau pada Khamis dengan berkata Indonesia tidak perlu berada ‘dalam penafian’ sambil menyertakan data-data termasuk titik panas di Sumatera dan Kalimantan.

Yeo juga dilaporkan berkata Dr Mahathir akan menghantar surat kepada Presiden Indonesia secepat mungkin berhubung isu jerebu rentas sempadan.

Yeo turut dilaporkan berkata bahawa Malaysia telah menawarkan bantuan kepada kerajaan Indonesia untuk memadamkan kebakaran di negara itu, bagaimanapun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat.

Semasa ditanya mengenai pemerhatiannya terhadap kualiti udara ketika ini, sama ada ia selamat untuk aktiviti luar, Dr Mahathir berkata walaupun jerebu di Kuala Lumpur tidak begitu teruk, namun beliau memakai penutup hidung dan mulut ketika menjalankan aktiviti luar.

“Bila naik kuda (pagi tadi) pun pakai mask (penutup hidung dan mulut , jadi orang tidak mengenali saya,” katanya secara berseloroh.

— BERNAMA

Similar Posts:

164 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas