Ucapan di Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia

TEKS UCAPAN OLEH YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS MENGUCAPKAN SELAMAT JALAN KEPADA JEMAAH HAJI MALAYSIA KE TANAH SUCI MUSIM HAJI 1440H/2019M

PADA 4 OGOS 2019 (AHAD), JAM 12.30 TENGAHARI BERTEMPAT DI DEWAN MENTARI, MOVENPICK HOTEL & CONVENTION CENTRE
KLIA, SEPANG

1. Alhamdulillah dan terima kasih kepada Tabung Haji kerana menjemput saya ke ‘Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1440 Hijrah atau 2019 Masihi’.

2. Pertamanya, saya ucap tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah terpilih menjadi Tetamu Allah ke Baitullah pada tahun ini.

3. Tuan-tuan dan puan-puan tentulah bersyukur kerana mendapat peluang ini, kerana tuan dan puan adalah antara jutaan umat Islam di Malaysia yang menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadat haji. Alhamdulillah, doa tuan-tuan dan puan-puan telah dimakbulkan dan diberikan rezeki untuk ke sana.

4. Saya difahamkan, sudah lebih 90 peratus jemaah haji Malaysia berada di Makkah sehingga hari ini dan tinggal baki beberapa penerbangan sahaja yang akan berlepas.

5. Saya harap semua urusan akan dipermudahkan dan jemaah haji Negara dapat menunaikan rukun Islam kelima dengan sempurna.

KOMITMEN TABUNG HAJI – PENGURUSAN HAJI

6. Tabung Haji merupakan institusi pengurusan haji yang amat dekat dengan hati semua umat Islam di Malaysia.

7. Kalau dulu sebelum adanya Tabung Haji, proses mengerjakan perjalanan haji amat sukar dan panjang; kerana terpaksa menaiki kapal laut selama berbulan-bulan dan tiada tempat tinggal yang sempurna apabila tiba di tanah suci.

8. Kini, Jemaah Haji Malaysia merupakan antara yang paling beruntung berbanding jemaah- jemaah haji Negara lain. Dengan adanya Tabung Haji, layanan dan urusan haji lebih teratur kerana semuanya telah diuruskan dari awal hingga akhir oleh Tabung Haji.

9. Tahniah di atas pencapaian Tabung Haji yang sentiasa berusaha untuk memastikan urusan haji berjalan dengan baik.

10. Saya percaya ia bukanlah satu tugas yang mudah, kerana ia adalah satu urusan yang memerlukan penelitian kepada semua peringkat persediaan yang merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan mereka semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali semula ke Tanah Air.

11. Atas usaha yang telah diberikan oleh Tabung Haji, Malaysia berasa bangga menerima pujian dan pengiktirafan dari Kerajaan Arab Saudi dan Negara-Negara Islam lain.

KEPENTINGAN KESIHATAN DALAM MENUNAIKAN IBADAH HAJI

12. Haji merupakan ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal dan emosi. Semasa musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai Negara akan berkumpul di Tanah Suci yang keadaannya pasti sesak, di samping cuaca yang panas.

13. Tuan-tuan dan puan-puan perlu berulang-alik ke masjid selain tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat. Untuk semua ini tubuh badan yang sihat dan cergas diperlukan.

14. Saya ingin pesan supaya ikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan supaya tahap kesihatan sentiasa baik agar dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.

15. Ibadat ini juga memerlukan tuan-tuan dan puan-puan untuk lebih banyak bersabar, bertoleransi dan prihatin tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

16. Ingatlah ibadat Haji ialah suatu dari ibadat dalam Islam. Bagi kita ibadat kita bagi orang bukan Islam, ibadat cara mereka. Kepada mereka agama mereka, kepada kita agama kita.

HARAPAN KEPADA BAKAL JEMAAH HAJI

17. Semasa di Tanah Suci nanti, doakan lah agar Negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera kerana hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut.

18. Saya juga ingin nasihat para jemaah untuk menggunakan kesempatan semasa menjadi tetamu Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Elakkan pembaziran masa dengan perkara- perkara yang tidak berfaedah.

19. Sebaliknya, penuhilah masa yang terluang dengan banyak membuat amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca Al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.

20. Sekali lagi, saya ucap syabas kepada Tabung Haji atas komitmen yang telah diberikan dalam usaha mengekal dan menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji setiap tahun.

21. Saya harap Tabung Haji akan terus komited melangkah ke hadapan dengan usaha-usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, baik dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan, agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada Negara-Negara Islam lain di seluruh dunia.

22. Saya juga ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia atas kerjasama yang diberikan terutamanya berkaitan dengan kebajikan jemaah haji Malaysia.

To His Excellency, Mr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan, Ambassador of the Royal Embassy of Saudi Arabia in Malaysia.

On behalf of fellow Malaysians, I would like to extend our sincere appreciation to you and your team for the gracious support extended to Tabung Haji and the Malaysian pilgrims all these years, especially with the implementation of the “Mecca Route” initiative which has proven to be beneficial to our pilgrims.

We hope this strong relationship between both countries will continue for the benefit of our pilgrims, Insya-Allah.

23. Akhir kata, saya ucap selamat berangkat dan mendoakan agar perjalanan tuan-tuan dan puan-puan ke Tanah Suci akan diberikan kemudahan oleh Allah SWT.

24. Semoga semua jemaah haji Negara kita dapat mengerjakan ibadat haji dengan sempurna dan kembali ke Tanah Air dengan Haji yang Mabrur, Insya-Allah.

Sekian,

Similar Posts:

262 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

18 − nine =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas