Singapura amat menghargai kehadiran Tun M pada perbarisan ulang tahun ke-200

Oleh Massita Ahmad.

SINGAPURA, 10 Ogos (Bernama) — Singapura amat menghargai kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Perbarisan Hari Kebangsaan sempena sambutan ulang tahun ke-200 republik itu tahun ini walaupun mempunyai jadual ketat.

Bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong dan isteri Perdana Menteri Singapura Ho Ching adalah antara mereka yang menyatakan penghargaan itu melalui media sosial.

“Mereka memberi penghormatan kepada Singapura dengan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-54. Ia menunjukkan hubungan kukuh, berteraskan sejarah dan tidak dapat di pisahkan antara kedua-dua negara jiran. Semoga hubungan kita semakin berkembang,” menurut catatan Goh dalam laman Facebook beliau hari ini.

Dalam posting itu, Chok Tong melampirkan dua keping gambar beliau dan Perdana Menteri Malaysia itu pada perbarisan itu yang menyaksikan kedua-dua mereka duduk sebelah menyebelah.

Dr Mahathir berada di Fukuoka, Jepun selama dua hari bermula Rabu (7 Ogos). Beliau kembali ke tanah air pada Khamis sebelum mengadakan pertemuan mata empat dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Putrajaya.

Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi, dan isteri, Iriana Joko Widodo, tiba pada Khamis (8 Ogos) untuk lawatan dua hari ke Malaysia.

Dr Mahathir juga memandu sendiri kereta Proton Persona membawa Jokowi ke majlis makan tengah hari yang dihoskan beliau di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri.

Selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya, kedua-dua mereka berlepas ke Singapura untuk menghadiri acara perbarisan.

“Mahathir adalah seorang yang luar biasa. Beliau berlepas ke Jepun untuk menerima ijazah kehormat, tinggal semalaman, dan kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut Presiden Jokowi, kemudian terbang semula ke Singapura dan tiba terus dari lapangan terbang ke Padang.

“Isterinya Siti Hasmah juga tidak kurang luar biasa. Tanpa rehat seminit pun. Dan masih kelihatan segar. Pasangan yang hebat, “menurut catatan Goh selanjutnya.

Sementara itu, Ho Ching juga melahirkan penghargaannya melalui laman Facebook.

“Sangat menghargai Tun Siti Hasmah dan Tun Dr M kerana datang untuk bersama-sama kami untuk sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan,” katanya dalam catatan beliau yang dilampirkan dengan foto beliau, suaminya Lee Hsien Loong dan pasangan suami isteri yang mencecah usia 94 tahun itu.

Dalam posting yang sama, Ho Ching juga melampirkan berita Bernama mengenai ketibaan Dr Mahathir dan isteri ke republik tersebut.

“Mereka mempunyai jadual yang padat – berada satu hari di Hiroshima untuk acara memperingati ulang tahun pengeboman bom atom, kelewatan akibat taufan, bergegas balik ke KL untuk menyambut Pak Presiden Jokowi dan Ibu Iriana untuk lawatan negara selama sehari, mengucapkan selamat jalan kepada mereka untuk lawatan ke Singapura, sebelum menaiki pesawat untuk tiba tepat pada masanya bagi acara perbarisan yang bermula, ” menurut catatan Ho Ching lagi.

Pada majlis jamuan sejurus sebelum perbarisan, Perdana Menteri Lee melahirkan penghargaan kepada para pemimpin yang hadir pada perayaan Hari Kebangsaan Singapura dan sekali lagi menegaskan mengenai hubungan sejarah dan persahabatan yang telah lama terjalin dengan Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Perbarisan itu diadakan di Padang di sini.

Turut berangkat Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.

Singapura menyambut Hari Kebangsaannya pada 9 Ogos dan sambutan tahun ini cukup istimewa kerana ia menandakan peristiwa bersejarah memperingati ulang tahun ke-200 kedatangan Stamford Raffles ke Singapura.

Satu fakta menarik ialah teriakan perintah sepanjang perbarisan itu dilafazkan dalam bahasa Melayu.

— BERNAMA

Similar Posts:

226 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

fourteen − 6 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas