Rakyat Semakin Matang Menilai Ancaman Pecah-Belahkan Perpaduan – PM

MELAKA, 3 Ogos (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat Malaysia kini bertambah matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman-ancaman yang mampu memecah-belahkan perpaduan.

Perdana Menteri berkata kematangan itu hadir seiring dengan negara mencapai kematangan, dan ia menjadi pendorong kepada hasrat kerajaan untuk memajukan Malaysia agar kemakmuran yang dicapai akan dapat dinikmati bersama.

“Malaysia sudah menjangkau 62 tahun tanpa genggaman dan kuasa penjajah. Walaupun ada kalanya timbul suara-suara sumbang mahu menggugat ketenteraman dengan menimbulkan isu perkauman, rakyat Malaysia secara keseluruhan menolak fahaman sempit sedemikian dan tetap berpegang kepada prinsip tolak ansur dan hormat menghormati.

“Persefahaman telah dipupuk sejak merdeka, inilah mampu menjayakan agenda-agenda nasional yang bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat dan negara.

“Saya harap agar perhimpunan ini akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk sama-sama melipat gandakan usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara disegani dan dihormati di mata dunia,” katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, menteri-menteri Kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin, Dr Mahathir berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mencapai matlamat kemakmuran bersama sepertimana diumumkan sempena sambutan ulang tahun pertama Malaysia Baharu.

Beliau berkata ia termasuklah langkah memulihkan integriti dan urus tadbir perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk kepentingan ekonomi negara, selain Program Transformasi Felda, Pemulihan Tabung Haji, Pelancaran Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan Program Pembangunan Wilayah.

Perdana Menteri berkata dalam merealisasikan inisiatif itu, rakyat harus memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada kerajaan baharu untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“Rakyat hendaklah sama-sama bangkit dengan penuh azam dan tekad untuk membantu kerajaan mencorakkan kemakmuran bersama ini.

“Falsafah dan kerangka dalam membina sebuah negara yang berasaskan kepada penyatuan jitu masyarakat haruslah dijadikan sebagai asas perjuangan yang konsisten oleh kita semua,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata soal persefahaman dan penyatuan kaum akan terus dijadikan sebagai agenda penting kerajaan.

“Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan menjauhi amalan-amalan buruk juga perlu terus diterapkan dalam masyarakat di negara ini,” katanya.

Dr Mahathir turut menyeru agar semua rakyat bersama-sama menjayakan usaha itu serta menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

Perdana Menteri berkata rakyat juga seharusnya bersyukur dengan nikmat kehidupan yang aman dan makmur yang dikecapi mereka ketika ini, dan pada masa sama perlu menyedari bahawa kejayaan pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu.

Sejarah negara sejak berdekad yang lalu, kata pemimpin berusia 94 tahun itu, harus dijadikan panduan dalam membentuk dan menentukan hala tuju negara.

“Setiap rakyat perlu ada rasa tanggungjawab kerana imej kecemerlangan negara banyak bergantung kepada kemampuan kita mengharungi segala cabaran dan rintangan untuk meraih kejayaan. Kita perlu fokus kepada tahap kemajuan lebih cemerlang dengan memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan sedia ada supaya ia akan menjadi garis panduan dan ikutan generasi masa hadapan.

“Kesemuanya ini mampu digalas apabila kita ada kesedaran dan keinsafan dalam diri terhadap liku-liku perjalanan negara sepanjang dekad yang dilalui,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan setiap tahun menjelang sambutan Hari Kebangsaan, ia menyedarkan semula semua rakyat tentang pentingnya semangat patriotisme dan cinta kepada negara yang merupakan satu daripada ciri penting dalam pembinaan sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya supaya rakyat dapat hidup secara rukun dan damai.

Jalur Gemilang, kata perdana menteri melambangkan kesetiaan, kesatuan serta patriotisme, justeru adalah penting untuk seluruh rakyat menanamkan semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme dalam diri.

Sementara itu, katanya peranan generasi muda hari ini sangat penting memandangkan mereka adalah pelapis yang akan meneruskan wawasan Malaysia pada masa akan datang.

Beliau berkata kerajaan mengiktiraf peranan besar yang boleh dimainkan oleh golongan muda di negara ini dan ia dibuktikan menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai lepas.

“Ketika harapan kita sangat besar kepada generasi masa kini, kita juga bimbang kerana generasi muda hari ini hidup dengan penuh keselesaan sehingga mereka tidak sedar betapa banyak pengorbanan yang dilakukan untuk membawa negara ke tahap sekarang.

“Sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan bangsa. Pada mereka ini, keadaan baik dan selesa dalam negara adalah biasa, dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka,” katanya sambil menambah persepsi sedemikian boleh meruntuhkan negara.

Dr Mahathir berkata semangat patriotisme dan jati diri bangsa yang unggul perlu dipupuk dalam diri generasi muda negara ini sepanjang masa tanpa henti kerana keperibadian mereka akan mencerminkan keperibadian negara pada masa kini dan akan datang.

“Hal ini dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi dan secara tidak langsung menjadi individu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

–BERNAMA

Similar Posts:

227 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

one × 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas