Pendidikan Sivik Bentuk Masyarakat, Individu Bertanggungjawab – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat, katanya sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Saya percaya bukan sahaja anak-anak kita akan menjadi orang yang civic minded, tetapi guru-guru semasa mereka mendidik, tentulah akan sematkan nilai-nilai sivik yang sama.

“Dengan itu, percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” katanya semasa melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah selain turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.

Dr Mahathir berkata amat penting bagi masyarakat untuk memahami bahawa yang menentukan jaya atau tidak seseorang mahupun sesuatu bangsa adalah bergantung kepada nilai hidup, contohnya sifat amanah.

“Umpamanya, kita mengambil hak orang lain kerana tiada siapa melihat kerana kita berpendapat, tidak ada siapa yang akan bertindak terhadap kita.

“Kalau kita mempunyai sifat semacam itu dan anggota-anggota lain dalam masyarakat juga begitu, maka masyarakat sudah tentu akan jadi kucar-kacir, tidak tersusun, tidak tenteram tidak aman dan tidak stabil,” katanya.

Merujuk kepada pihak-pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland, Nora Anne Quoirin,15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban sejak 4 Ogos lepas, Dr Mahathir berkata ia adalah contoh pegangan nilai sivik yang tinggi dalam masyarakat.

“Ada orang sanggup ketepikan Hari Raya Haji untuk cari wanita hilang itu. Ini menunjukkan pegangan nilai sivik yang tinggi dalam kalangan kita, kalau kita mempunyai nilai sivik tinggi maka keadaan sekeliling kita akan menjadi amat baik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau yakin Pendidikan Sivik tidak akan menambahkan beban kepada guru dan murid.

“Setakat ini belum ada demonstrasi seperti demonstrasi terhadap (isu tulisan) khat,” katanya secara berseloroh.

Beliau berkata tugas mendidik nilai sivik perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara memandangkan tanggungjawab itu tidak lagi boleh diletakkan kepada ibu bapa semata-mata.

“Sekarang ini ibu bapa berkerja dan tidak ada masa untuk ajar anak berkenaan sivik, tanggungjawab, nilai hidup dan sebagainya, maka kita perlu pindahkan usaha mendidik ini kepada sistem pendidikan,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

310 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

thirteen − 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas