Dr. Mahathir Bimbing Pemimpin Pelajar Antarabangsa Tentang Kepimpinan

SHAH ALAM, 2 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi ilmu berkaitan kepimpinan pada perhimpunan pemimpin pelajar dari seluruh dunia.

Berucap kepada lebih 1,000 pemimpin pelajar antarabangsa dalam sebuah simposium di sini, beliau bagaikan seorang guru yang membimbing pelajar langkah demi langkah dalam menimba ilmu.

“Pertama sekali, seseorang pemimpin itu perlu mempunyai integriti dan kejujuran, jika tidak, pemimpin terbabit akan menjadi korup dan tidak boleh dipercayai.

“Seterusnya, pemimpin juga perlu bersedia untuk bekerja keras, bangga dengan tugas yang dilakukan. Selain itu, mereka mesti sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan peka kepada sebarang perubahan,” katanya.

Khalayak muda yang menghadiri Simposium Kepimpinan Cendekiawan Universiti 2019 kali ke-10 di sini yang dirasmikan perdana menteri berusia 94 tahun itu jelas kelihatan terpesona.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan Asia Kim Solomon turut hadir pada majlis itu.

Dr Mahathir berkata untuk menjadi pemimpin sebenar, “kita perlu memastikan bahawa kita berpegang kepada nilai murni sambil mengikuti perkembangan terkini berkaitan perubahan yang membawa kesan terhadap kita.

“Sememangnya, menjadi seorang pemimpin yang baik bukan hanya tentang menjadi bijak, sebaliknya perlu tahu dan mempunyai kebolehan untuk membezakan antara benar dan salah, baik dan jahat.”

Perdana menteri berkata setiap orang adalah pemimpin pada suatu peringkat dalam hidup mereka.

“Seseorang itu menjadi ketua jika dia ada adik lelaki dan perempuan; seseorang itu adalah ketua jika dia menjadi presiden kelab atau kapten pasukan bola sepak. Dan apabila kita mula bekerja, sudah tentulah, kita akan bermula dari peringkat paling bawah dan perlu melaporkan kepada begitu ramai senior, namun kita juga akan mendaki dalam kerjaya dan akhirnya menjadi seorang ketua.

“Dalam kata lain, kepimpinan adalah tugas pembelajaran dan pengalaman sepanjang hayat. Isunya adalah bagaimana kita menjalankan tugas sebagai pemimpin. Apakah kesan daripada tindakan kita dan setakat mana kepimpinan kita menyentuh kehidupan orang lain. Ini semua adalah perkara dan kenyataan penting yang perlu diketahui serta ditangani oleh seorang pemimpin.

“Pemimpin yang berkesan mesti memiliki kualiti asas tertentu dan berpegang kepada nilai tertentu. Beliau mesti memiliki kualiti yang dipandang tinggi oleh orang lain dan mereka kemudian akan cenderung untuk mencontohinya. Seorang pemimpin perlu memimpin bukan hanya dengan kata-kata, sebaliknya lebih berkesan melalui teladan,” katanya.

Dr Mahathir berkata sifat seorang pemimpin yang baik adalah banyak dan pelbagai buku tentang kepimpinan telah ditulis serta boleh diperoleh, dan banyak maklumat serta artikel tentang cara untuk menjadi pemimpin yang baik boleh dibaca di Internet.

“Pada saya, kepimpinan bukanlah perkara yang sukar untuk difahami. Ia adalah tentang nilai harian,” katanya.

Mengenai keperluan supaya peka dengan perubahan di sekeliling, Dr Mahathir berkata perkara ini sangat tepat terutamanya apabila berdepan dengan kemajuan teknologi dan gangguan yang berpunca daripadanya, kerana seseorang pemimpin yang tidak menyedari perubahan ini tidak akan dapat meyakinkan negara mengenai keperluan untuk sentiasa mengikut perkembangan, dan kesannya, negara akan ketinggalan dan akhirnya menjadi mundur.

Pengetahuan tidak pernah statik, tetapi tidak ada batasan, dan apabila semakin banyak dicari, semakin banyak yang akan kita sedari bahawa begitu banyak untuk dipelajari, kata Dr Mahathir dan menambah, seseorang itu juga perlu merendah diri serta pemurah dalam mencari serta berkongsi ilmu pengetahuan.

“Satu lagi nilai yang mungkin tidak dipandang tinggi adalah sikap merendah diri. Tanpanya, sifat ego yang akan mendorong pemimpin. Sememangnya, terdapat mereka yang berhujah bahawa ego boleh bersifat positif kerana ia akan menjadikan pemimpin itu mempunyai tekad dan daya saing. Bagaimanapun, ego seperti yang kita semua maklum, juga boleh menimbul gangguan kerana ia dapat menjadikan seeorang pemimpin itu gagal menerima kritikan serta pandangan yang berbeza.

“Bersikap merendah diri tidak akan menjadikan seseorang pemimpin itu lemah, Sebaliknya, ia lebih mendekatkan mereka kepada rakyat, kalangan yang menyokongnya dan memilihnya sebagai pemimpin mereka. Sekiranya seseorang pemimpin itu menjauhkan diri daripada rakyat dan penyokongnya, kedudukannya sebagai pemimpin akan berakhir.

“Memadailah untuk mengatakan bahawa semua nilai yang ditegaskan dalam agama, budaya dan adat resam kita akan menjadikan pemimpin itu sentiasa realistik serta praktikal,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

370 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas