Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023

TEKS UCAPAN OLEH YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN STRATEGI LITERASI KEWANGAN KEBANGSAAN 2019-2023 PADA 23 JULAI 2019 (SELASA) JAM 11.20 PAGI BERTEMPAT DI SASANA KIJANG,
BANK NEGARA MALAYSIA

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu saya ingin ucap terima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana menjemput saya untuk melancarkan “Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023”. Pengetahuan akan selok- belok pengurusan kewangan amatlah penting jika kita ingin selamat dari beban hutang dan sebagainya.

2. Inisiatif ini adalah hasil usaha Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network yang diterajui bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

3. “Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan” ini penting untuk membangunkan masyarakat yang mampu membuat keputusan kewangan yang bijak supaya bebas daripada tekanan salah laku atau kesilapan urusan kewangan.

4. Malah, literasi kewangan juga penting agar individu dapat mempertahankan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

5. Saya ucap syabas kepada ahli-ahli Jaringan Pendidikan Kewangan, yang terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

6. Saya harap lebih banyak institusi dan agensi lain akan turut terlibat bagi menyampaikan mesej pendidikan kewangan secara lebih meluas ke setiap lapisan masyarakat sehingga tahap literasi kewangan rakyat dapat dipertingkatkan.

 

LITERASI KEWANGAN MENYUMBANG KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI YANG MAMPAN DAN INKLUSIF

7. Literasi dan kemahiran kewangan merupakan antara faktor yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lestari dan inklusif.

8. Perbelanjaan sektor isi rumah dan perniagaan merupakan di antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, menyumbang 74.2% daripada KDNK. Di antara 2011 hingga 2018, perbelanjaan sektor isi rumah dan perniagaan mencatatkan pertumbuhan purata sebanyak 7.8%.

9. Hutang isi rumah di Malaysia pada masa ini adalah tinggi pada kadar 82.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), lebih tinggi daripada negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi, seperti Itali (40.3% daripada KDNK), Jepun (58.1% daripada KDNK) dan Amerika Syarikat (76.3%3 daripada KDNK).

10. Meskipun risiko hutang isi rumah ke atas kestabilan kewangan domestik adalah terkawal, namun telah wujud tanda-tanda kesukaran di kalangan peminjam untuk membayar balik hutang. Hal ini berlaku terutamanya kepada peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan dan tinggal di kawasan bandar.

11. Pemerhatian ini turut disokong oleh peningkatan bilangan peminjam yang menyertai Program Pengurusan Hutang atau (Debt Management Program) yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

12. Saya difahamkan kira-kira 80% daripada peserta program ini didapati terlalu optimistik tentang kemampuan mereka untuk membayar balik hutang dan menanggung kos sara hidup semasa mereka mengambil keputusan untuk meminjam. Ada yang tidak fikir akan membayar hutang apabila meminjam.

13. Oleh kerana itu, usaha untuk meningkatkan literasi kewangan ini menjadi amat penting dan merupakan pelengkap kepada inisiatif penggubalan Akta Kredit Pengguna untuk mengukuhkan rangka kerja perlindungan pengguna kredit di Malaysia.

14. Akta Kredit Pengguna sedang digubal melalui kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Pembangunan Usahawan; Bank Negara Malaysia; Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta agensi lain yang berkaitan.

15. Akta ini penting kerana ia bertujuan untuk memastikan pengguna kredit menerima layanan yang adil semasa berurusan dengan pemberi kredit.

16. Penggubalan Akta ini akan disegerakan demi melindungi kepentingan pengguna dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat.

17. Keupayaan untuk membuat keputusan kewangan dengan bijak bukan hanya relevan semasa hendak membuat pinjaman atau pembelian produk kewangan sahaja. Keupayaan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dalam membeli perlindungan insurans, membuat pelaburan dan menguruskan pendapatan sudah tentu akan membantu rakyat untuk hidup tanpa dibelenggu tekanan kewangan.

18. Dalam persekitaran kewangan yang semakin kompleks dan mencabar ini, keupayaan kita untuk melindungi diri daripada amalan pasaran yang tidak adil atau sebarang bentuk penipuan kewangan memerlukan kita lebih mengenal bentuk-bentuk dan modus operandi jenayah kewangan.

19. Selain itu, selaras dengan kemajuan penggunaan teknologi dalam penawaran khidmat kewangan, pengguna juga perlu melengkapkan diri dengan amalan-amalan terbaik penggunaan teknologi supaya tidak terdedah kepada ancaman siber yang semakin canggih.

20. Literasi dan kemahiran kewangan dikalangan pengguna juga perlu sumbang kepada mewujudkan industri kewangan yang maju, kukuh dan mesra pengguna. Literasi dan kemahiran kewangan merupakan first line of defence atau pertahanan barisan pertama bagi pengguna melindungi hak masing-masing ketika berhadapan dengan amalan pasaran yang kurang adil.

 

LITERASI KEWANGAN MERUPAKAN KEMAHIRAN ASAS YANG PERLU DIPUPUK DARI AWAL

21. Isu berkenaan tahap literasi kewangan yang rendah bukan sahaja dihadapi oleh negara membangun seperti Malaysia, malah isu ini menjadi isu global yang turut dihadapi oleh negara-negara lain.

22. Kemahiran ini penting untuk kita menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

23. Usaha untuk membina modal insan di peringkat awal usia telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Bank Negara Malaysia sejak tahun 2014. Usaha ini telah berjaya menerapkan elemen pendidikan kewangan ke dalam kurikulum di peringkat sekolah rendah dan menengah.

24. Pendedahan juga turut diberi kepada golongan guru agar mereka dapat menyampaikan ilmu berkaitan pengurusan kewangan dengan lebih berkesan.

25. Institusi-institusi kewangan pula turut bergerak aktif dalam aktiviti ko-kurikulum di sekolah dengan menyediakan program yang mendidik dan mendedahkan generasi muda tentang kepentingan kemahiran kewangan serta memupuk nilai-nilai kewangan asas dalam diri mereka.

26. Saya harap lebih banyak lagi inisiatif sebegini, di mana pihak swasta berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mempelbagaikan pendekatan bagi meningkatkan tahap literasi kewangan untuk setiap institusi pendidikan.

 

USAHA KOLABORATIF DALAM MENINGKATKAN TAHAP LITERASI KEWANGAN MEMBENTUK SINERGI UNTUK MASA HADAPAN YANG LEBIH CERAH

27. Bagi memastikan matlamat Strategi Kebangsaan ini dapat dicapai, semua pihak perlu bekerjasama erat dan mewujudkan sinergi dalam membangunkan masyarakat yang berhemat dan tidak terbelenggu dengan masalah kewangan yang berpanjangan.

28. Jaringan Pendidikan Kewangan berfungsi sebagai platform untuk menggembleng tenaga, idea dan sumbangan dalam merealisasikan matlamat yang disasarkan.

29. Saya percaya usaha pemuafakatan seumpama ini adalah kritikal untuk menggiatkan peningkatan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat.

30. Namun begitu, sinergi yang terbentuk ini memerlukan usaha dan sokongan yang konsisten daripada semua pihak di sektor awam dan swasta, termasuk kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, institusi kewangan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

31. Program jangkauan yang dianjurkan secara kolaboratif setiap tahun seperti Karnival Kewangan, InvestSmart dan Minggu Saham Amanah Malaysia adalah antara program yang telah menarik kehadiran jutaan pengunjung.

32. Program-program ini telah berjaya meningkatkan pengetahuan kewangan serta kemahiran individu dalam merancang dan membuat keputusan kewangan dengan lebih baik.

33. Bagi penjawat awam pula, pihak kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Bank Negara Malaysia telah melancarkan modul “Pengurusan Kewangan Peribadi”. Modul ini ditawarkan dalam talian atau on line, melalui portal E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) dan boleh diakses pada bila-bila masa.

34. Usaha-usaha ini bukanlah setakat aktiviti sampingan, tetapi disasarkan agar benar-benar memberi keberhasilan yang diharapkan. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk menimba ilmu yang berkaitan dengan kewangan sebanyak-banyaknya agar kita dapat elak dari terbelengggu dengan masalah kewangan yang menekan kehidupan kita.

 

PENUTUP

35. Akhir sekali, saya ingin tekankan bahawa kerjasama antara semua pihak iaitu pengguna, institusi kewangan, persatuan pengguna, agensi kerajaan, pihak akademik dan institusi pendidikan serta pihak lain amatlah penting bagi menjayakan usaha meningkatkan tahap literasi kewangan ini.

36. Marilah kita mulakan langkah ke arah mencapai misi Jaringan Pendidikan Kewangan agar apa yang dirancang dan dicita menjadi kenyataan.

37. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023.

Terima kasih.

Similar Posts:

279 total views, 6 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

nine + 8 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas