Ucapan Di Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional

TEKS UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN ‘DASAR KEUSAHAWANAN NASIONAL’
PADA 11 JULAI 2019 (KHAMIS), PADA JAM 11.30 PAGI, BERTEMPAT DI KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE (KLCC)

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat bersama-sama di Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) pada pagi ini.

2. Saya ucap terima kasih kepada warga Kementerian Pembangunan Usahawan kerana menjemput saya. Dan saya ucap tahniah juga di atas penghasilan dasar yang khusus mengenai pembangunan ‘keusahawanan’.

3. Dasar ini memperlihatkan komitmen Kerajaan untuk mempertingkat semangat keusahawanan di kalangan rakyat dan jika boleh semangat ini turut menjadi satu budaya di kalangan rakyat kita.

4. Jika kita imbas kembali, Kerajaan Pakatan Harapan meletakkan keusahawanan sebagai salah satu agenda penting bagi pembangunan Negara. Kerana itu, apabila kita mengambil alih tampuk pemerintahan, pada Julai 2018 kita mewujudkan semula ‘Kementerian’ yang khusus untuk keusahawanan. Semenjak dari itu Kerajaan tidak henti menekankan perlunya pembangunan keusahawanan yang lebih lestari.

5. Kemuncaknya adalah hari ini apabila kita melancarkan Dasar Keusahawan Nasional di mana dokumen ini diharap akan menjadi blueprint kepada usaha kita untuk memastikan objektif-objektif agenda keusahawanan tercapai. Selain itu, yang lebih penting ialah meletak keusahawanan sebagai satu strategi utama pembangunan ekonomi Negara.

MALAYSIA DAN PERSAINGAN EKONOMI DUNIA

6. Pembangunan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi aset penting Kerajaan.Mereka bukan sekadar untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat tetapi juga merupakan strategi dan inisiatif untuk mengeluar Negara dari perangkap pendapatan pertengahan atau middle income trap.

7. Kerana itu, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), keusahawanan dikenal pasti sebagai salah satu bidang keutamaan nasional menjelang Wawasan 2020.

8. Kita sekarang menghadapi suasana ekonomi dunia yang bukan sekadar kompetitif dan mencabar, malahan penuh dengan ketidaktentuan akibat dari apa yang kita kenali sebagai trade wars. Kerana itu Dasar Keusahawan Nasional ini amat wajar dan ia diperkenal tepat pada masanya.

9. Di dalam ketidaktentuan akibat perang dagang itu, kita masih mampu menarik pelaburan luar. Untuk suku pertama 2019, angka pelaburan masuk ke dalam negara (FDI) mencecah RM21.7 bilion. Secara perbandingan,untuk tempoh masa yang sama, bagi tahun 2018 – FDI hanya berjumlah RM11.2 bilion.

10. Laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF – World Economic Outlook 2019) memberikan unjuran yang sangat positif kepada Malaysia. KDNK dan pendapatan per kapita diramal meningkat. Berasaskan ‘nilaian semasa’, Malaysia mampu mencapai status “high income economy” menjelang 2021 atau 2022.

11. Angka-angka dan ramalan-ramalan memperlihatkan keupayaan kita untuk terus merancakkan ekonomi Negara tetapi kita harus berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan yang memudaratkan pertumbuhan.

12. Kerana itu tumpuan perlu diberi kepada “domestic investment” (DDI) sejajar dengan tumpuan dan harapan kita terhadap FDI atau perlaburan langsung asing ke dalam Negara.

13. Disinilah perlunya keusahawanan Negara dipertingkat dan Dasar Keusahawanan Negara dirangka sedemikian rupa untuk mencapai objektif tersebut.

KEMAKMURAN BERSAMA (SHARED PROSPERITY)

14. Saya selalu sebut bahawa Malaysia akan memberi fokus kepada ekonomi berasaskan prinsip kemakmuran bersama – shared prosperity.

15. Malahan, kita telah merangkakan satu gagasan ekonomi baharu yang kita rangkumkan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama tersebut.

16. Dengan itu, kita telah mengambil pendekatan bahawa pembangunan negara pada hari ini bermaksud memberi Kemakmuran Bersama ataupun Shared Properity kepada semua rakyat dengan meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau.

17. Kita berhasrat untuk negara membangun dengan lebih pesat dan makmur, namun pembangunan ini tidak hanya dinilai melalui angka-angka KDNK. Pembangunan dan kekayaan ini harus diagihkan dengan lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.

18. Dalam definisi yang ringkas; Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

19. Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas kepada penyatuan Negara bangsa.

20. Saya melihat strategi-strategi yang dirangka di dalam Dasar Keusahawanan Nasional ini beriringan serta berkeupayaan membantu mengisi dan memenuhi cita-cita Negara untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama tersebut.

21. Sudah pasti Kemakmuran Bersama akan turut mempunyai agenda Bumiputera yang lebih tersasar.

22. Dasar Keusahawanan Nasional yang dilancarkan hari ini, akan memberikan tumpuan kepada lima objektif utama yang berikut:-

i) Pertama, mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan;

ii) Kedua, membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan;

iii) Ketiga, meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan; berfikiran global dan kompetitif;

iv) Keempat, mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana (PKS) dan

v) Kelima, menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

23. Bagi memastikan kelima-lima objektif Dasar Keusahawanan terlaksana – enam (6) elemen teras yang dikenalpasti mampu menunjangi usaha tersebut iaitu:-

  • Pembudayaan Keusahawanan;
  • Penjajaran Semula Sistem Kawal Selia dan Capaian Kepada Pembiayaan Kewangan;
  • Pengukuhan Pembangunan Keusahawanan Bersepadu dan Holistik
  • Penumpuan Kepada Perusahaan Berteraskan Inovasi
  • Pemerkasaan Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana
  • Pelonjakan Perusahaan Berpotensi Pertumbuhan Tinggi.

MEMPERKASA NILAI KEUSAHAWANAN TULEN

24. Nilai dan budaya keusahawanan bukan sesuatu yang asing di kalangan warga Malaysia. Ianya adalah nilai dan semangat yang boleh disemai dan boleh dilentur sejak dari awal lagi.

25. Saya rasa inilah aspek paling mustahak untuk kita semai dan teliti semula.

26. Tidak ada usahawan yang akan berjaya tanpa disiplin dan kesungguhan begitu juga perlunya sikap yang positif dan keberanian mengambil risiko.

27. Nilai teras seperti ‘integriti’ dan ‘kebolehpercayaan’ juga mesti diasuh sejak dari awal. Kita mahu melahirkan usahawan – bukan ‘peniaga pandai membelit dan menipu pelanggan’.

28. Selain daripada nilai-nilai tersebut, Dasar Keusahawanan ini turut menekankan kepada perlunya penekanan kepada pendidikan dan latihan keusahawanan yang berterusan. Ini penting kerana semua usahawan perlu bersedia menghadapi dan melalui Revolusi Industri 4.0.

29. Kegagalan mengikuti perkembangan dan cabaran dari Industri 4.0 akan meminggirkan usahawan-usahawan kita, jika kita tidak bersedia.

AKSES KEPADA PEMBIAYAAN & KEPENTINGAN PKS (SME)

30. Saya harap dengan wujudnya Dasar Keusahawan Nasional ini, beberapa isu yang mengganggu kelompok usahawan kita dapat diselesaikan.

31. Kerajaan juga ingin melihat sumbangan sektor PKS yang lebih besar kepada KDNK negara. Saya difahamkan, sasaran Dasar Keusahawan ini yang berkait PKS atau SME pada tahun 2025 adalah seperti berikut: –

i) 45 % sumbangan PKS kepada KDNK negara;

ii) 72 % jumlah keseluruhan pekerjaan berada di sektor PKS; dan

iii) 25 % sumbangan eksport PKS kepada KDNK.

DASAR YANG INKLUSIF

32. Sebagai sebuah dasar yang holistik, Kementerian Pembangunan Usahawan perlu fokus untuk membina ekosistem keusahawanan yang inklusif.

33. Dengan adanya Dasar Keusahawan ini, saya harap semua isu pertindihan dasar, tugas dan aktiviti pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan di beberapa kementerian dapat diselaras semula.

34. Ia harus melihat kesungguhan dan kecenderungan usahawan generasi muda; baik di dalam bidang start-up; ataupun ‘social enterprise’.

35. Potensi sebenar lebih 14,000 buah ‘koperasi’; dengan kekuatan anggota lebih 6.5 juta orang; bersamaan modal syer hampir RM15 bilion juga perlu diperkasakan sebaiknya.

36. Dalam pada itu, ruang dan akses kepada ekosistem keusahawanan juga perlu diperluas. Ini termasuklah membuka peluang keusahawanan untuk golongan berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya, orang asli atau orang asal, wanita dan juga belia.

PENUTUP

37. Saya harap Dasar Keusahawanan Nasional ini akan menjadi nukleus dan pemangkin kepada budaya keusahawanan.

38. Untuk itu, setiap kementerian dan agensi pelaksana yang terbabit di dalam usaha membangun usahawan, perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam pelaksanaan Dasar ini.

39. Akhir kata, semoga pelaksanaan Dasar Keusahawan Nasional akan meletakkan Malaysia sebagai “Negara Keusahawanan” tulen menjelang tahun 2030 nanti.

40. Dengan lafaz ‘Bismillahirahmanirrahim’, saya dengan rasminya melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional.

Terima kasih.

Similar Posts:

277 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

twenty + 16 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas