Teks Ucapan Menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019

Teks Ucapan Menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019
oleh YAB Perdana Menteri
16 Julai 2019 (Selasa)

 Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang telah saya bentangkan pada hari ini.

2. Saya telah mendengar dengan teliti sesi perbahasan yang berlangsung dan dapat menyimpulkan bahawa secara umumnya kebanyakan Ahli Dewan menyokong pindaan yang dicadangkan ini tetapi telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan pindaan-pindaan tersebut.

3. Sebagaimana yang telah saya jelaskan, pindaan ini adalah bukti bahawa Kerajaan Pakatan Harapan serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan, iaitu “menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun” dan “pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara”. Susulan daripada cadangan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun, terdapat saranan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menurunkan had umur calon kepada 18 tahun yang juga telah dibentangkan dan dibahaskan bersama di Dewan Yang Mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Berdasarkan perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebentar tadi, saya dapati kebanyakan Ahli-Ahli Yang Berhormat agak teruja dengan pelaksanaan pindaan-pindaan ini, namun juga telah menyatakan kebimbangan berkaitan tempoh pelaksanaannya. Tempoh pelaksanaan ini perlu dipertimbangkan kerana ianya akan menentukan hala tuju demokrasi negara. Penelitian kepada pelaksanaan ini adalah wajar bagi mengambil kira segenap aspek kebajikan bakal-bakal pengundi diberi keutamaan dan bukannya untuk memberi ruang kepada apa-apa agenda politik. Agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur, umpamanya dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan. Haruslah diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran seramai 7.8 juta pengundi-pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh 5 tahun akan datang. Ini bukanlah tugas yang mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul. Dalam melaksanakan perkara ini, Kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada Daftar Pemilih kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

5. Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan ini difahami dan dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Ini adalah untuk memastikan hasrat kepada pindaan ini dapat diterjemahkan sepenuhnya demi menyuburkan demokrasi negara. dan seterusnya meletakkan Malaysia setara dengan negara-negara maju lain yang telah lama berbuat demikian.

6. Saya ingin mengingatkan kembali ahli-ahli Yang Berhormat bahawa pindaan ini memerlukan sokongan yang padu daripada semua Ahli-ahli Dewan dan juga rakyat di luar sana kerana pindaan yang kita lakukan ini akan memberi kesan yang sangat signifikan dan berpanjangan kepada negara dan generasi akan datang.

Tuan Yang di Pertua,

7. Izinkan saya untuk mengulas beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen semasa perbahasan tadi.

8. Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada 59 Ahli-ahli Yang Berhormat, yang mengambil bahagian dalam perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini untuk meminda perenggan (a) Fasal (1) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan had umur kelayakan untuk menjadi pemilih, Perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan mengenai pendaftaran pemilih secara automatik serta perenggan (b) Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan mengenai penurunan had umur kelayakan calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

(PENURUNAN HAD UMUR CALON KEPADA 18 TAHUN)

9. YB Jelebu yang memohon kepastian mengenai adakah terdapat perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan dengan Kerajaan Negeri atau pre-council mengenai penurunan had umur calon. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan belum mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri bagi maksud penurunan had umur calon tetapi yakin bahawa had umur ini akan mendapat sokongan Kerajaan Negeri kerana ia memberi ruang dan peluang kepada wakil belia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

(PENDAFTARAN PEMILIH SECARA AUTOMATIK)

10. Yang Berhormat Bera dan Yang Berhormat Pontian memohon pengesahan daripada Kerajaan supaya 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan layak mengundi, tetapi belum didaftarkan sebagai pengundi, akan terdaftar secara automatik selepas cadangan pindaan ini diluluskan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, cadangan pendaftaran pemilih secara automatik ini adalah meliputi 3.9 juta warganegara Malaysia berumur 21 tahun yang akan didaftarkan secara automatik dan akan diberi keutamaan oleh SPR dalam pelaksanaan pendaftaran pemilih ini.

11. YB Bandar Kuching ingin mendapatkan kepastian sama ada pendaftaran pemilih secara automatik akan memberi manfaat kepada negeri Sarawak. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penurunan had umur pengundi dan pendaftaran automatik akan menambah dan memberi peluang kepada pemilih di Sarawak yang berumur 18 tahun untuk mengundi. Berdasarkan kepada unjuran sehingga tahun 2021, anggaran jumlah pemilih di Sarawak akan meningkat kepada 2.04 juta orang pemilih berbanding 1.96 juta pada Suku Tahun Pertama 2019.

(MEWAJIBKAN PENGUNDIAN)

12. Yang Berhormat Pontian telah mengemukakan cadangan untuk mewajibkan rakyat untuk mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengundi keluar mengundi semasa PRU. Kajian awal terhadap negara-negara yang telah mewajibkan pengundinya keluar mengundi juga tidak mendapat 100% keluar mengundi. Singapura mencapai 93.56%, Australia 91.89% diikuti oleh Belgium 88.3% dan Austria 80%.

Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk memberi kesedaran kepada warganegara yang layak untuk keluar mengundi.

13. Yang Berhormat Bagan Serai memohon kepastian sama ada mereka yang keluar mengundi akan dikenakan denda atau akan diwujudkan syarat-syarat yang mewajibkan untuk mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan perlu mengkaji kesesuaian untuk mewajibkan pengundian terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mewajibkan pengundian pada masa hadapan.

(PENDIDIKAN PENGUNDI)

14. Yang Berhormat Bera memohon kepastian mengenai peranan yang dimainkan oleh SPR dalam memberikan pendedahan dan pendidikan kepada golongan muda tentang pilihan raya dan demokrasi. Ini kerana menurut beliau, hanya 31,000 orang pelajar sahaja yang dapat menghadiri program pendidikan pengundi pada tahun 2017. Bagaimana SPR dapat meningkatkan jumlah ini. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun 2017 bagi mendekati warganegara khususnya golongan muda. Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia di samping menjawab isu-isu yang kerap dibangkitkan semasa pillihan raya. Dengan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya ini, maka mereka akan berminat untuk mendaftar sebagai pemilih dan keluar mengundi semasa pilihan raya. Selain itu, SPR juga telah memperkenalkan Program APR Associate Trainer atau lebih dikenali dengan nama AAT. Melalui program tersebut, SPR dapat melatih lebih ramai penceramah dan jurulatih yang mampu untuk bersama-sama dengan APR bagi menyampaikan maklumat tentang proses pilihan raya di Malaysia dan memberikan kesedaran untuk mendaftar sebagai pemilih kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan masyarakat umum di seluruh negara. Pada tahun 2019, APR telah merancang sebanyak 150 program pendidikan pengundi yang akan memberikan manfaat kepada 45,000 orang pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah. APR juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi pelaksanaan Program APR Associate Trainer (AAT) dan Program Sekolah Rukun Negara yang bertujuan untuk menyebarluas maklumat tentang pilihan raya dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara dalam sebuah negara demokrasi.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, demi menjayakan hasrat untuk meningkatkan jumlah kumpulan sasar khususnya golongan belia, SPR memerlukan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan jumlah golongan sasar yang dapat menerima pendidikan demokrasi dan pilihan raya. APR sentiasa berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, media dan masyarakat sivil amatlah diharapkan bagi merealisasikan hasrat ini.

(PENGHAPUSAN AUKU)

15. YB Ketereh ingin mendapatkan kepastian sama ada Kerajaan bercadang supaya akta AUKU dihapuskan untuk membenarkan anak muda mengambil bahagian dalam arena politik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berkaitan dengan cadangan agar Akta AUKU dihapuskan, kajian yang mendalam sedang dilaksanakan oleh KPM dan penyelarasan dasar berkaitan peruntukan yang bertentangan dengan cadangan pindaan ini perlu dibuat di antara agensi-agensi yang terlibat sebelum apa-apa keputusan muktamad berkaitan pemansuhan undang-undang dibuat.

(KEBEBASAN SPR)

16. Yang Berhormat Bera telah mengetengahkan isu Pengerusi SPR dan ahli-ahli SPR dilantik dari kalangan aktivis politik yang dikatakan boleh mewujudkan isu berat sebelah dalam pilihan raya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR adalah sebuah badan bebas yang bertanggungjawab untuk memelihara, mengawasi dan mengekalkan demokrasi di negara ini. Berdasarkan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong setelah berbincang dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Pengerusi dan Ahli-ahli SPR. Kebebasan SPR boleh dinilai melalui tindakan-tindakan yang dilaksanakan, dan bukan hanya merujuk kepada kaedah pelantikan semata-mata. SPR bersedia untuk berjumpa dengan Jawatankuasa Pilihan Khas yang bersifat bipartisan untuk sebarang penjelasan berkaitan SPR.

17. Yang Berhormat Bera memohon kepastian mengenai kebebasan semasa mengundi untuk memastikan tiada tekanan tertentu daripada pihak luar contohnya kesalahan PRK tidak diambil tindakan oleh SPR. Beliau memohon penjelasan mengenai tindakan SPR terhadap kesalahan pilihan raya di PRK Cameron Highlands. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR telah membuat 5 laporan polis terhadap kesalahan pilihan raya yang telah berlaku semasa PRK Cameron Highlands telah dibuat oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya. SPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya termasuklah kesalahan melibatkan unsur-unsur rasuah yang disiasat oleh SPRM. Lain-lain kesalahan pilihan raya disiasat oleh pihak PDRM.

(REFORMASI PILIHAN RAYA)

18. Yang Berhormat Julau, Yang Berhormat Masjid Tanah dan Yang Berhormat Sibuti mencadangkan supaya tiga fungsi SPR iaitu penjalanan pilihan raya, persempadanan dan pendaftaran pemilih diasingkan, mereformasikan sistem pilihan raya, penetapan tarikh pilihan raya, pelaksanaan e-voting dan kemudahan di Pusat Mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) sedang menjalankan kajian perkara-perkara yang berkaitan reformasi pilihan raya termasuklah perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.

(PEMBERSIHAN DAFTAR PEMILIH)

19. Yang Berhormat Kota Kinabalu dan Kota Marudu telah membangkitkan mengenai isu Daftar Pemilih yang tidak bersih sekiranya pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan akan meneliti isu tersebut dengan lebih mendalam. Kerajaan akan meneliti isu ini dengan agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu alamat ini. Isu alamat ini merupakan salah satu perkara yang diambil kira sebelum pelaksanaan penuh pendaftaran automatik oleh SPR.

20. Yang Berhormat Kota Bharu membangkitkan cadangan mewujudkan kategori baru pengundi awal bagi pekerja di industri minyak dan perkapalan (yang bertugas pada hari bekerja) untuk meningkatkan peratus keluar mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, cadangan mewujudkan kategori baru pengundi awal akan melibatkan pindaan kepada Peraturan 27A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Ia memerlukan penelitian opsyen-opsyen terbaik sebelum mempertimbangkan cadangan ini.

(PENUTUP)

21. Akhir kata, saya sekali lagi menyeru kepada semua ahli-ahli Dewan Yang Mulia ini untuk bersatu hati bagi menyokong pindaan ini. Walaupun kita berbeza dari segi fahaman politik, kita mampu bersetuju demi kebaikan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia. Marilah kita sama-sama mencipta sejarah Malaysia pada hari ini.

22. Dengan itu, saya memohon sokongan penuh Ahli-ahli Berhormat sekalian untuk Rang Undang-Undang ini diluluskan.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

486 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × four =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas