Teknologi penerbangan: Malaysia perlu rebut peluang ditawarkan Turki – Dr Mahathir

ISTANBUL, 27 Julai (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia menghargai kesediaan Turki untuk menawarkan peluang pemindahan teknologi terutama dalam bidang industri aero angkasa dan pertahanan.

Perdana Menteri menegaskan peluang seperti itu perlu direbut oleh Malaysia memandangkan Turki telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam bidang “aerospace industries”, dalam jangka masa yang pendek dan ia sesuatu yang sangat luar biasa.

“Semasa saya di sini, mereka telah menunjukkan kebolehan mereka dalam teknologi seperti pesawat, helikopter dan UAV (kenderaan aerial tanpa pemandu).

“20 tahun lalu, waktu saya datang ke sini (Turki), mereka hanya boleh assemble (memasang) pesawat F16.

“ Sekarang mereka boleh mereka bentuk, dan menguji produk mereka sendiri. Helikopter mereka nampak begitu canggih. Dalam jangka masa pendek mereka telah berjaya menguasai teknologi canggih,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi beliau ke Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di sini Sabtu.

Dr Mahathir tiba di Ankara, ibu negara Turki, pada Rabu untuk memulakan lawatan empat hari dan berada di sini sejak Jumaat.

Dr Mahathir berkata kerjasama yang ditawarkan agak menarik. Turki bersedia memberi akses yang baik kepada teknologi, sesuatu yang sukar untuk didapati daripada pihak lain.

“ Mereka menawarkan kerjasama dalam bidang-bidang tertentu, dan kita tidak payah mencarinya di tempat-tempat lain (negara lain).

“ Kita berpendapat peluang yang diberi perlu diambil untuk ‘leapfrog’ (memintas), untuk mencapai teknologi dalam bidang pesawat dan UAV. UAV amat penting sekali, segala-segala gunakan UAV yang dikawal dari darat. Ini telah dipamerkan Turki tentang kebolehan mereka, melakukan banyak perkara tindakan tentera,” katanya.

Perdana Menteri berkata syarikat-syarikat Turki menunjukkan minat yang tinggi terhadap Malaysia dan ini dibuktikan dalam lawatan empat hari beliau itu.

“ Biasanya syarikat-syarikat yang ada teknologi canggih tak sanggup dedah kebolehan mereka tetapi di sini mereka menyatakan kesanggupan ambil engineer kita (dari Malaysia) untuk bersama mereka dalam pelbagai bidang – design, manfacturing, testing dan sebagainya.

“Kerjasama dalam bidang pertahanan amat penting bagi kita. Kita boleh menguasai teknologi tetapi ia mengambil masa yang panjang,” katanya.

Dr Mahathir berkata Turki merupakan sebuah negara yang berbeza daripada kebanyakan negara Islam kerana tidak banyak negara Islam yang mencapai tahap pembangunan seperti Turki.

“Saya berpendapat bahawa mereka sudah mencapai satu tahap yang tak jauh daripada negara maju,” katanya.

Mengenai Turki kini yang tidak lagi dilihat pro-Amerika Syarikat tetapi lebih kepada blok Russia, Perdana Menteri berkata ia tidak memberi kesan kepada Malaysia jika Malaysia berbaik-baik dengan Turki.

“ Kita dulu sikit daripada Turki (berbaik dengan Russia). Kita tak beli pesawat Amerika sahaja..kita beli Sukhoi, MIG lebih awal dan ada kerjasama helikopter dengan Russia

“ Kita neutral, tak terikat. Turki adalah member NATO (North Atlantic Treaty Organisation) dan ada kekangan tertentu. Pada masa sama Eropah tak sanggup terima Turki sebagai ahli EU (Kesatuan Eropah).Nampak ada perasaan salah sangka terhadap Turki,” katanya.

Sejak Rabu, Perdana Menteri mempunyai jadual padat dalam lawatan berikutan jemputan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan itu.

Antaranya pertemuan empat mata dengan Erdogan dan mesyuarat delegasi pada Khamis di Ankara.

Di Istanbul pula pada Jumaat, beliau melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, yang merupakan milik penuh dan diuruskan Malaysia Airports Holdings Berhad.

Dr Mahathir juga bertemu ahli perniagaan dan wakil Industri Turki selain diaspora Malaysia.

–BERNAMA

Similar Posts:

332 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

5 × five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas