PSC Tentukan Empat Jawatan Penting – PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) — Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam akan menentukan pelantikan empat jawatan penting, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jawatan itu ialah pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata mesyuarat itu bersetuju supaya format dan gerak kerja atau prosedur akan diwujudkan bagi membolehkan PSC itu menjalankan peranannya dalam urusan perlantikan calon-calon ke jawatan penting kerajaan.

“Kerajaan bersetuju bahawa terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada PSC ini supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa untuk jawatan ini dapat dikemukakan,” katanya.

Ditanya sama ada jawatankuasa itu sudah pun siap, Dr Mahathir berkata mereka perlu bersetuju sama ada mereka padan dan sesuai sekarang.

“Sebaik sahaja kita mempunyai itu maka mereka akan menjalankan kerja mereka,” katanya.

PSC itu ketika ini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan dianggotai Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Berbanding pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Loya baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau menggunakan prosedur sedia ada sepertimana yang telah termaktub di dalam akta bagi lantikan itu.

“Selepas ini, terdapat empat jawatan penting yang tersenarai di dalam akta yang akan menggunakan prosedur lantikan ini,” katanya.

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan berkata PSC itu tidak dapat berfungsi secara sah lagi kerana beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diubah.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat JKKMAR hari ini secara prinsip juga bersetuju dengan beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara yang dikemukakan oleh itu antaranya berkaitan pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tindakan.

Ini kerana, katanya di bawah kerajaan terdahulu Ketua Audit Negara menerima arahan daripada perdana menteri hanya kerana ia terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sebenarnya, ia hanya di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini tidak bermakna perdana menteri harus mempunyai kuasa ke atas Ketua Audit Negara.

“Apa yang telah berlaku pada masa lalu ialah Perdana Menteri mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit ini dan tidak mengaudit itu.

“Itu adalah salah, juruaudit mesti bebas mengambil tindakan yang difikirkannya patut,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

110 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas