Penggubalan Akta Kredit Pengguna Akan Disegerakan – Tun M

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Kerajaan akan menyegerakan penggubalan Akta Kredit Pengguna bagi melindungi kepentingan pengguna, dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata akta berkenaan penting untuk memastikan pengguna kredit menerima layanan yang adil semasa berurusan dengan pemberi kredit

“Tahun ini, secepat mungkin (bentang di Parlimen),” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata akta berkenaan sedang digubal melalui kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta agensi lain yang berkaitan.

Sementara itu, beliau berkata pelancaran strategi literasi kewangan dilihat sebagai pelengkap kepada akta berkenaan dalam melindungi pengguna kredit di Malaysia.

“Usaha untuk meningkatkan literasi kewangan ini menjadi amat penting dan merupakan pelengkap kepada inisiatif penggubalan Akta Kredit Pengguna bagi mengukuhkan rangka kerja perlindungan pengguna kredit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata keupayaan untuk membuat keputusan kewangan dengan bijak, bukan hanya relevan semasa hendak membuat pinjaman atau pembelian produk kewangan sahaja.

“Keupayaan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dalam membeli perlindungan insurans, membuat pelaburan dan mengurus pendapatan, sudah tentu akan membantu rakyat untuk hidup tanpa dibelenggu tekanan kewangan,” katanya.

Beliau berkata meskipun risiko hutang isi rumah yang kini berada pada kadar 82.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar ke atas kestabilan kewangan domestik, terkawal, namun telah wujud tanda-tanda kesukaran dalam kalangan peminjam untuk membayar balik hutang.

“Hal ini berlaku terutama kepada peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan dan tinggal di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata pemerhatian ini turut disokong oleh peningkatan bilangan peminjam yang menyertai Program Pengurusan Hutang yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

Selain itu, katanya dalam persekitaran kewangan yang semakin kompleks dan mencabar ini, keupayaan untuk melindungi diri daripada amalan pasaran yang tidak adil atau sebarang bentuk penipuan kewangan memerlukan pengguna lebih mengenal bentuk-bentuk dan modus operandi jenayah kewangan.

“Selaras dengan kemajuan penggunaan teknologi dalam penawaran khidmat kewangan, pengguna juga perlu melengkapkan diri dengan amalan-amalan terbaik penggunaan teknologi supaya tidak terdedah kepada ancaman siber yang semakin canggih,” katanya.

Beliau berkata literasi dan kemahiran kewangan dalam kalangan pengguna juga mampu menyumbang kepada mewujudkan industri kewangan yang maju, kukuh dan mesra pengguna.

“Literasi dan kemahiran kewangan merupakan antara faktor yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lestari dan inklusif.

“Literasi dan kemahiran kewangan merupakan ‘first line defence’ atau pertahanan barisan pertama bagi pengguna melindungi hak masing-masing ketika berhadapan dengan amalan pasaran yang kurang adil,” katanya.

Strategi literasi kewangan berkenaan dirumuskan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FENetwork) iaitu satu kumpulan yang terdiri daripada beberapa agensi yang diterajui oleh BNM dan SC.

Kumpulan berkenaan turut dianggotai oleh Kementerian Pendidikan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan Permodalan Nasional Bhd.

Strategi berkenaan menetapkan keutamaan dan pelan tindakan untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan supaya mampu membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi dan memupuk sikap yang berhemat dalam pengurusan kewangan.

–BERNAMA

Similar Posts:

270 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

7 + 13 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas