Pembentangan Usul Mengenai Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah

Teks Ucapan
YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad
Perdana Menteri

Sesi Pembentangan Usul-Usul Mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri Sabah Kali Keenam Tahun 2017

Pada 17 Julai 2019 (Rabu)
Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan di bawah Seksyen 10, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan bahawa draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya)(Negeri Sabah) 2019, yang telah dibentangkan dalam Dewan ini pada 8 Julai 2019 bersama dengan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertarikh 14 Februari 2017 mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri Sabah Kali Keenam Tahun 2017, yang mana akan dibuat di bawah Seksyen 12, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan.”

Tuan Yang di-Pertua,

2. Malaysia adalah sebuah negara yang unik di mana setiap negeri di dalamnya adalah berbeza antara satu sama lain dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Begitu jugalah dengan Negeri Sabah, “Negeri Di Bawah Bayu”. Sabah terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dengan keluasan kira-kira 74,000 kilometer persegi, dengan bilangan penduduk seramai 3.72 juta orang pada tahun 2015. Data terkini memperlihatkan anggaran bilangan penduduk Negeri Sabah telah meningkat kepada 3.9 juta orang pada tahun 2018. Negeri Sabah mempunyai penduduk yang terdiri daripada kira-kira 33 kumpulan etnik dengan 4 kumpulan etnik pribumi yang terbesar ialah Kadazan-Dusun, Bajau, Melayu dan Murut.

3. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan Undang-Undang ke atas Fasal (2) Perkara 14, Perlembagaan Negeri Sabah berhubung komposisi keanggotaan DUN, daripada 60 kerusi, kepada 73 kerusi yang telah berkuatkuasa pada 18 Ogos 2016 yang lalu.

4. Sehubungan itu, SPR hendaklah melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan Fasal (3A) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan, iaitu bilangan ahli dipilih bagi Dewan Undangan sesuatu Negeri diubah berikutan dengan suatu undang-undang yang diperbuat oleh badan perundangan sesuatu Negeri. Walau bagaimanapun, oleh kerana lat tempoh 8 tahun bagi Negeri Sabah telah pun mencukupi, maka urusan persempadanan ini adalah tertakluk kepada peruntukan Fasal (3B) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

5. Justeru, suatu Notis Persempadanan bagi memulakan urusan Kajian Semula Persempadanan tersebut telah dikeluarkan oleh SPR di bawah peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang di-Pertua,

6. SPR telah pun menyiapkan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Bagi Negeri Sabah Kali Keenam Tahun 2017, berdasarkan prinsip dan tatacara yang terkandung di dalam Bahagian I dan Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

7. Laporan Kajian Semula Persempadanan tersebut telah diserahkan kepada mantan YAB Perdana Menteri dahulu pada 21 Februari 2017, selaras dengan Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan namun tidak diusulkan untuk dibentangkan pada Sidang Parlimen Ketiga Belas yang lepas. SPR selanjutnya telah menyerahkan semula laporan tersebut kepada saya pada 26 Jun 2018 dan telah diagihkan kepada semua Ahli di dalam Dewan yang mulia ini sebagai Kertas Statut No. ST. 111 Tahun 2019. Laporan Kajian Semula Persempadanan tersebut mengandungi lima bab iaitu Bab 1 hingga Bab 5.

8. Bab 1 laporan Kajian Semula Persempadanan tersebut menerangkan tentang sejarah urusan Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sabah yang terdahulu serta latar belakang Kajian Semula Persempadanan tersebut bagi Kali Keenam Tahun 2017. Kajian Semula Persempadanan ini bukan hanya akan melibatkan pertambahan bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya sahaja, malah terdapat juga keadaan di mana bilangannya masih dikekalkan.

9. Dalam Bab 2 pula, laporan tersebut menerangkan mengenai peruntukan undang-undang bagi urusan Kajian Semula Persempadanan sepertimana di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, bab ini juga turut menerangkan mekanisme pelaksanaan urusan Kajian Semula Persempadanan, daftar pemilih yang digunapakai dan kriteria-kriteria pemilihan nama bagi setiap Bahagian Pilihan Raya.

10. Oleh itu, urusan Kajian Semula Persempadanan pada kali ini telah dilaksanakan dengan menggunapakai daftar pemilih yang diwartakan pada 13 Mei 2016, di mana jumlah pemilih berdaftar bagi Negeri Sabah adalah seramai 995,729 orang pada ketika itu.

11. Hal ini kerana, Kajian Semula Persempadanan yang terakhir telah dilaksanakan pada tahun 2003 dengan menggunapakai daftar pemilih seramai 746,442 orang, yang telah diwartakan pada 27 Disember 2001. Ini bermakna, bilangan pemilih berdaftar bagi Negeri Sabah telah meningkat sebanyak 33 peratus atau seramai 249,287 orang.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Bab 3 di dalam laporan ini menyentuh tentang latar belakang, keadaan geografi dan demografi penduduk serta Bahagian-Bahagian Pilihan Raya sedia ada di Negeri Sabah pada masa laporan ini disediakan tahun 2017.

13. Seterusnya, Bab 4 laporan ini pula, memaparkan maklumat-maklumat mengenai notis persempadanan, pameran syor, representasi bantahan dan siasatan tempatan bagi kali pertama dan kali kedua yang telah dilaksanakan oleh SPR sepertimana yang diperuntukkan di dalam Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

14. Notis syor-syor persempadanan yang dicadangkan bagi Negeri Sabah telah diwartakan kali pertama pada 15 September 2016, selaras dengan Seksyen 4, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan SPR perlu menyiapkan kajian tersebut dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis tersebut.

15. Syor-syor serta Rang Pelan Persempadanan tersebut telah dipamerkan selama satu bulan bermula pada 15 September 2016 hingga 14 Oktober 2016, di sebanyak 60 tempat pemeriksaan seperti yang dinyatakan di dalam Notis Persempadanan serta telah disiarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan iaitu Utusan Borneo, Utusan Malaysia, The New Straits Times dan The Borneo Post. Notis yang diwarta dan disiarkan di dalam akhbar-akhbar tersebut mengandungi:


i) Maklumat mengenai pewujudan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang baharu;

ii) Pindaan nama ke atas beberapa Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri yang sedia ada;

iii) Bilangan pemilih bagi setiap Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri; dan

iv)    Senarai tempat pemeriksaan syor Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sabah.

16. Selain itu, sebagai satu langkah proaktif, notis, syor, rang pelan bahagian-bahagian pilihan raya berserta senarai bilangan pemilih mengikut Daerah Mengundi di Negeri Sabah sebelum persempadanan 2016 tersebut juga telah dimuatnaik ke laman web rasmi SPR, bagi memudahkan maklumat-maklumat tersebut diperolehi atau diakses oleh orang ramai.

17. Dalam hal demikian, SPR telah menerima sebanyak 32 bantahan, di mana daripada 32 bantahan tersebut, sebanyak 13 bantahan telah memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan Siasatan Tempatan kali pertama yang telah diadakan di Kota Kinabalu dan Sandakan. Ini menunjukkan bahawa SPR bersungguh-sungguh dan komited dalam memastikan setiap bantahan yang dikemukakan dapat didengar, seterusnya sampai kepada keseluruhan penduduk Negeri Sabah.

Tuan Yang di-Pertua,

18. Berdasarkan maklumbalas yang diterima sepanjang Siasatan Tempatan kali pertama, syor Kajian Semula Persempadanan tersebut telah disemak semula dan diwartakan kali kedua pada 22 November 2016. Notis syor-syor yang dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri Sabah telah disiarkan di dalam akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post.

19. Pameran kali kedua syor-syor yang dicadangkan dan Rang Pelan tersebut telah dilaksanakan mulai 22 November 2016 sehingga 21 Disember 2016 di 9 tempat pemeriksaan di Negeri Sabah.

20. Sebanyak 9 bantahan telah diterima sepanjang tempoh pameran kali kedua dan 4 daripadanya telah memenuhi syarat-syarat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan diterima untuk diadakan Siasatan Tempatan.

21. Secara keseluruhannya, jumlah bantahan yang diterima sepanjang tempoh kedua-dua pameran tersebut adalah sebanyak 41 bantahan dan 17 daripadanya telah diadakan Siasatan Tempatan selaras dengan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembgaan Persekutuan.

Tuan Yang di-Pertua,

22. Oleh yang demikian, hasil daripada kedua-dua Siasatan Tempatan yang telah diadakan, SPR telah memutuskan di bawah Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan perincian mengenai syor-syor tersebut dimuatkan di dalam Bab 5 buku laporan ini.

23. SPR juga mengesyorkan bahawa, tiada perubahan bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan tetapi, terdapat perubahan sempadan ke atasnya, yang disebabkan oleh pembetulan sempadan Bahagian Pilihan Raya serta pembentukan Bahagian Pilihan Raya Negeri yang baharu.

24. Di samping itu, SPR turut mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah adalah sebanyak 73 Bahagian. Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri yang baharu itu adalah seperti berikut:

i. N.02 Bengkoka;

ii. N.06 Bandau;

iii. N.08 Pintasan;

iv. N.13 Pantai Dalit;

v. N.17 Darau;

vi. N.24 Tanjung Keramat;

vii. N.27 Limbahau;

viii. N.44 Tulid;

ix. N.47 Telupid;

x. N.51 Sungai Manila;

xi. N.58 Lamag;

xii. N.61 Segama; dan

xiii. N.70 Kukusan.

25. Sememangnya, pertambahan Bahagian Pilihan Raya Negeri ini akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Negeri Sabah khususnya penduduk yang berada di dalam kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri tersebut dan ia akan lebih memudahkan wakil rakyat serta penduduk untuk berinteraksi bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan kebajikan penduduk serta merancakkan lagi pembangunan di kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri tersebut.

26. Di samping itu, turut disyorkan pindaan nama ke atas satu (1) Bahagian Pilihan Raya Persekutuan di Negeri Sabah iaitu P.188 Silam yang ditukar nama kepada P.188 Lahad Datu.

27. Selanjutnya, disyorkan juga pindaan nama ke atas tiga (3) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri iaitu:

i. N.17 Tanjong Aru kepada nama N.22 Tanjung Aru;

ii. N.50 Lahad Datu kepada nama N.62 Silam; dan

iii. N.59 Tanjong Batu kepada nama N.71 Tanjung Batu.

28. Di dalam laporan ini juga, turut diperincikan maklumat-maklumat mengenai luas kawasan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri serta bilangan pemilih berdaftar bagi setiap Daerah Mengundi, Bahagian Pilihan Raya Negeri dan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan yang disyorkan.

Tuan Yang di-Pertua,

29. Dalam menjalankan urusan kajian semula persempadanan, pelbagai faktor dipertimbangkan oleh SPR selaras dengan prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. Faktor-faktor yang dipertimbangkan adalah seperti yang berikut:

i) Kepadatan penduduk dan pertumbuhan pemilih;

ii) Keadaan geografi, muka bumi dan keluasan bahagian pilihan raya;

iii) Ruang pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang ada;

iv) Bilangan perwakilan wakil rakyat yang bersesuaian;

v) Akses kepada rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan daripada wakil rakyat yang dilantik;

vi) Kemudahan pentadbiran bagi tujuan pendaftaran dan penjalanan pilihan raya; dan

vii) Pemeliharaan hubungan tempatan.

30. Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang hampir sama banyak bagi setiap Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri Sabah agak sukar untuk dilaksanakan kerana terdapatnya kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi dan demografinya yang sangat berbeza antara satu sama lain. Ini secara tidak langsung, telah mewujudkan kekangan-kekangan dari segi lokasi yang terpencil, jarak antara lokasi-lokasi di kawasan pedalaman yang amat jauh serta jalan-jalan perhubungan serta pengangkutan yang terhad. Hal demikian menyebabkan konsentrasi penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan luar bandar. Realitinya, sebagai contoh, saiz Parlimen P.187 Kinabatangan seluas 18,068 kilometer persegi adalah hampir menyamai keluasan Negeri Johor namun hanya mempunyai pemilih seramai 25,348 orang.

31. Sungguhpun demikian, SPR sedaya upaya berusaha untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan di mana kemudahan-kemudahan perhubungan dan pengangkutan adalah sangat terhad. Dengan demikian, adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan.

32. Berdasarkan Seksyen 9, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, laporan ini hendaklah dibentangkan bersama dengan draf suatu Perintah yang hendak dibuat di bawah Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan dengan atau tanpa ubah suaian syor-syor yang terkandung di dalam laporan itu. Draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 ada di hadapan Dewan yang mulia ini sebagai Kertas Statut No. ST. 112 Tahun 2019.

33. Kerajaan telah mengkaji dengan teliti syor-syor yang dibuat dalam laporan tersebut dan tidak mencadangkan apa-apa pengubahsuaian kerana Kajian Semula Persempadanan ini telah dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang di-Pertua,

34. Kajian semula persempadanan ini, dilihat memberi banyak manfaat kepada rakyat, khususnya dalam menyalurkan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan dikalangan wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman, demi meningkatkan taraf hidup serta merancakkan pembangunan di Negeri Sabah.

35. Kesimpulannya, pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan sekalung tahniah kepada SPR dan agensi-agensi lain yang terlibat khususnya Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di Negeri Sabah serta semua pihak yang telah menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi, dalam menyiapkan laporan ini, untuk dibentangkan bagi kelulusan Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Similar Posts:

119 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three + 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas