Malaysia sedia berunding dengan China mengenai pampasan projek saluran paip gas – Tun M

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Malaysia bersedia berbincang dengan China dalam ‘perundingan mesra’ membabitkan pampasan ke atas projek saluran paip gas yang dibatalkan, yang dilaksanakan oleh China Petroleum Pipeline Engineering (CPP), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dilaporkan bahawa Malaysia merampas lebih RM1 bilion daripada akaun bank CPP milik kerajaan negara itu, membabitkan projek saluran paip yang tidak lengkap sepanjang 600 km di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan 662 km di Sabah.

Rampasan itu dibuat hampir setahun selepas Malaysia menggantung dua projek paip bernilai US$2.3 bilion dengan CPP sebagai kontraktor utama.

CPP ialah unit syarikat tenaga utama China, China National Petroleum Corp.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata pada Isnin bahawa peruntukan untuk 80 peratus daripada projek saluran paip itu sudah dibayar, namun kerja yang selesai hanya sebanyak 13 peratus.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang dilaporkan berkata bahawa kedua-dua negara wajar melakukan rundingan mesra ke atas sebarang masalah yang timbul daripada projek itu dan menyelesaikannya dengan cara yang bersesuaian.

— BERNAMA

Similar Posts:

209 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas