Aplikasi Respons Rakyat Mudahkan Aduan Kepada 460 Badan Kerajaan

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) — Aplikasi telefon pintar Respons Rakyat (RR 2.0) yang dilancarkan hari ini untuk memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ia dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam kenyataan berkata menerusi aplikasi generasi kedua itu, aduan boleh disampaikan kepada 460 badan kerajaan melibatkan 25 kementerian, 257 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

“Penghasilan RR 2.0 merupakan langkah terbaharu pihak kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Menurut BPA, aplikasi telefon pintar RR 2.0 menggantikan Rakyat Responz (RR 1.0) yang dibangunkannya pada Mei 2016.

Antara kelebihan aplikasi telefon pintar RR 2.0 ialah keupayaan pengguna memuat naik video dan audio berbanding RR 1.0 yang hanya membolehkan pengadu menghantar gambar dan fail dokumen sahaja, katanya.

BPA berkata ia juga mempunyai sistem pesanan RR Messenger sebagai pemakluman atau notifikasi mesej baharu yang diterima berbanding komunikasi menerusi e-mel atau telefon sebelum ini.

Katanya pengadu juga boleh mengikuti perkembangan kes dalam siasatan melalui telefon pintar tanpa perlu log masuk ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk menyemak kedudukan semasa kes.

RR 2.0 juga membolehkan kajian kepuasan pelanggan dijalankan menerusi telefon pintar berbanding penggunaan borang yang dihantar menerusi e-mel sebelum ini, kata BPA.

Menurut BPA, statistiknya menunjukkan sebanyak 2,089 aduan telah diterima melalui saluran aplikasi RR 1.0 bagi tempoh Mei 2016 hingga 31 Disember 2018.

Daripada jumlah ini, katanya 48.6 peratus atau 1,016 aduan adalah ke atas pihak berkuasa tempatan, diikuti kementerian dan agensi kerajaan persekutuan (26.6 peratus atau 555 aduan), agensi kerajaan negeri (16.9 peratus atau 354 aduan) dan syarikat swasta, utiliti dan syarikat milik kerajaan (7.9 peratus atau 164 aduan).

Katanya antara aduan tertinggi yang diterima berkaitan jalan raya (18.9 peratus), lampu jalan (8.8 peratus), perkhidmatan agensi kerajaan (7.3 peratus), longkang (5.8 peratus), perkhidmatan syarikat swasta (5.6 peratus) dan bekalan air (5.3 peratus).

RR 2.0 boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store.

— BERNAMA

Similar Posts:

375 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

17 − 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas