Warga peneroka serah kepada kebijaksanaan PM tentukan pengerusi baharu FELDA

TAMPIN, 25 Jun (Bernama) — Warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan siapakah calon pengerusi agensi itu yang baharu.

Ia bertujuan bagi menggantikan pengerusinya Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

Ketua Peneroka Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata warga peneroka di seluruh negara akur dengan keputusan peletakan jawatan itu dan tidak akan mendesak perdana menteri dalam menetukan calon pengganti.

“Saya tidak mahu komen lanjut mengenai perkara ini dan semalam dia (Megat Zaharuddin) dah umumkan dan hari ini kenyataan rasmi sudah dikeluarkan. Kita akur kepada perkara itu dan serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri untuk memilih Pengerusi FELDA (yang baharu). Itu kuasa dia.

“Sebagai ketua peneroka, saya hubungi dia (Megat Zaharuddin) kira-kira jam 7 malam semalam dan dia beritahu perkara yang sama (seperti kenyataan yang dikeluarkan),” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Mega Raya Komuniti FELDA 2019, di Kampung FELDA Sungai Kelamah, dekat sini, hari ini.

Hari ini, media melaporkan FELDA sebagai mengesahkan Megat Zaharuddin meletak jawatan sebagai pengerusinya berkuat kuasa semalam. Megat Zaharuddin dilantik sebagai pengerusi pada 26 Julai tahun lepas dan berkhidmat hampir setahun di FELDA.

Sementara itu, Sulong Jamil berkata Megat Zaharuddin menerusi perbualan telefon semalam turut menasihatkan supaya agenda peneroka dan FELDA agar diteruskan.

“FELDA kini sudah capai peringkat global. Kita akan ikut dan bantu (pengerusi baharu). Ini kerana kekuatan FELDA terletak pada komunitinya. Kami akan beri kerjasama penuh kepada pengerusi baharu FELDA untuk memudahkan urusannya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan Karib Mohd Saleh dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Muhammad Fadzli Hasan.

— BERNAMA

Similar Posts:

195 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

one × 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas