PSC pelantikan jawatan utama masih tidak dapat berfungsi mengikut undang-undang – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) — Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam tidak dapat berfungsi secara sah lagi kerana beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diubah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk mempunyai PSC tetapi kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk menukar Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi buat masa sekarang kita ikut cara lama dalam membuat sesuatu pelantikan iaitu Perdana Menteri yang membuat keputusan.

“Pihak lain boleh memberikan pendapat tetapi Perdana Menteri yang membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan melalui PSC mengenai pelantikan utama perkhidmatan awam berikutan peletakan jawatan Tan Sri Razali Ismail sebagai pengerusinya pada 16 April lepas.

Menjawab soalan sama ada pelantikan awam yang lain dibincangkan dengan Kabinet, Dr Mahathir berkata beliau tidak perlu merujuk kepada mereka.

“Saya boleh meminta pendapat daripada pelbagai orang dan kemudian saya membuat keputusan berdasarkan merit kes itu,” katanya.

Mengenai mekanisme subsidi petrol dan diesel yang dijangka dimuktamadkan pada Julai, Dr Mahathir berkata ia akan dilaksanakan kemudian kerana kerajaan belum membuat apa-apa keputusan yang sebenar.

“Mereka hanya sampai ke peringkat mendapatkan data, belum ada keputusan nyata yang dibuat,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kerajaan berhasrat untuk menggunakan data Bantuan Sara Hidup (BSH) mengenai kumpulan B40 bagi mengenal pasti penerima subsidi petrol yang disasarkan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak mengetahui mengenai penyebaran beberapa keping gambar dan video ‘hubungan intim sejenis’ mirip seorang menteri yang tersebar hari ini.

“Saya tak tahu apa pun, saya baru dengar. Saya kena bacalah dulu. Kalau you boleh bagi briefing bagus juga,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gambar-gambar dan video berkenaan yang disebarkan melalui satu kumpulan WhatsApp yang diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’ hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

— BERNAMA

Similar Posts:

116 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas