Penjawat awam Melaka persiap diri hadapi Revolusi Industri 4.0

MELAKA, 10 Jun (Bernama) — Penjawat awam di negeri ini bertekad mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dalam memastikan mereka berdaya saing bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagaimana saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengurus Perbadanan Melaka Holdings Norazlina Othman, 34, berkata penjawat awam perlu bersikap proaktif dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi sebagai persiapan bagi menghadapi perkembangan dalam IR 4.0.

“Kemahiran dan pengetahuan dalam teknologi maklumat penting bagi membolehkan penjawat awam menggunakan sepenuhnya segala kemudahan teknologi itu seterusnya meningkatkan konsep penyampaian perkhidmatan awam dengan cabaran yang semakin kompleks.

“Ini kerana penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran keraja¬≠an yang mempunyai pengaruh besar kepada rakyat sebagai jentera pelaksana dasar dan penyampai perkhidmatan kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, ketika Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam beliau menyeru penjawat awam mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini bagi memastikan golongan terbabit lebih berdaya saing dalam menghadapi IR 4.0.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Hasim Hasan dan barisan exco kerajaan negeri Melaka.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Ridzuan Md Yusof yang juga Anggota Parlimen Alor Gajah.

Berkongsi pendapat yang sama, Pengurus Sumber Manusia Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka Khairunnisa Ibno Massooda, 36, berkata agensi dan jabatan kerajaan perlu menyahut seruan berkenaan termasuk dari aspek pengambilan kakitangan awam yang baharu.

“Selain itu, penjawat awam sedia ada juga perlu menunjukkan contoh terbaik di samping mengikuti kursus dan latihan sebagai persediaan bagi menghadapi IR 4.0,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Jabatan Ketua Menteri Melaka Nur Atiqah Rashid, 32, berkata sebagai barisan hadapan kerajaan, penjawat awam perlu lebih bersedia mendepani gelombang peralihan ini.

“Cara bekerja kakitangan awam juga perlu diterapkan dengan elemen IR 4.0 yang mana akan mengubah cara bekerja dan kehidupan manusia pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

425 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas