Pelan Pindahkan Penduduk Bukit Malut Ke Rumah Lebih Teratur

LANGKAWI, 29 Jun 2019 – Pandangan atas penempatan Bukit Malut, Langkawi. Terdahulu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengadakan satu pelan supaya penduduk di penempatan setinggan Bukit Malut, di sini ditempatkan di rumah yang lebih teratur. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

LANGKAWI, 29 Jun (Bernama) — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengadakan satu pelan supaya penduduk di penempatan setinggan Bukit Malut, di sini ditempatkan di rumah yang lebih teratur.

Beliau berkata pelan itu bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada penduduk malahan mampu menyelesaikan masalah sosial lain yang timbul hasil persekitaran kawasan itu.

“Kita tahu ini bukan penduduk tempatan, mereka datang dari tempat lain tidak ada rumah tangga jadi mereka dirikan rumah sendiri. Tidak elok rumah setinggan ini kita akan buat perancangan untuk menempatkan mereka dalam rumah yang lebih sempurna.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pun dah keluarkan kenyataan, kita akan susul dengan mengadakan satu pelan untuk nak atur supaya mereka tinggal dalam rumah yang lebih teratur,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga Anggota Parlimen Langkawi, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Yang turut hadir isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat Juhari Bulat dan Adun Kuah Mohd Firdaus Ahmad.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima antaranya imam, bilal dan kanak-kanak.

Kira-kira 10,000 penduduk sekitar Langkawi hadir memeriahkan majlis itu.

Ketika ditanya sama ada pelan itu bakal menyelesaikan masalah sosial yang turut dilaporkan berlaku di kawasan Bukit Malut, Dr Mahathir yakin perkara berkenaan dapat ditangani.

“Ya lah kalau kita dapat betulkan rumah, kita boleh selesaikan masalah sosial,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang, Dr Mahathir berkata perkara itu masih di peringkat cadangan.

“Saya berpendapat bahawa orang di Malaysia ini ramai, tak payah bawa masuk orang asing tetapi orang Malaysia tak mau kerja, kita bagi semua dekat orang lain lah. Berkenaan cadangan itu kita belum buat pemilihan apapun, cadangan saja,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

310 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

20 + 18 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas