Kajian Khusus Perlu Untuk Pindahkan Penempatan Haram Bukit Malut – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata satu kajian khusus perlu dilakukan sebelum pemindahan warga asing yang mendiami secara haram di kawasan Bukit Malut, Langkawi boleh dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata ini kerana segala kos bagi urusan berkaitan pemindahan berkenaan perlu ditanggung kerajaan.

Dr Mahathir, yang juga anggota Parlimen Langkawi, berkata perkara berkenaan bukan mudah untuk diuruskan kerana ia melibatkan penempatan warga asing, justeru, perlu mengambil kira sensitiviti penduduk tempatan.

“Dulu sekali kita dah pindah, kita buat rumah bagi mereka, orang Langkawi kata pendatang dapat rumah, tapi kami tak dapat apa. jadi itu kita kena fikir juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Minyak dan Gas Asia 2019, di sini, hari ini.

Sebuah akhbar harian melaporkan bahawa kawasan pinggir pantai Bukit Malut berkenaan dianggarkan mempunyai lebih 800 kediaman dengan jumlah penghuni dianggarkan di antara 5,000 hingga 8,000 orang menetap secara kekal.

Akhbar berkenaan yang menyamakan kawasan itu sepertimana kawasan setinggan di Sao Paulo, Brazil dan Mexico City, Mexico, mempunyai laporan kes jenayah serta dadah yang kerap berlaku.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang dilapor berkata bahawa pulau peranginan berkenaan berisiko menjadi ‘gedung’ dadah, disebabkan lambakan dadah yang tidak terkawal, Dr Mahathir berkata ia suatu perkara yang susah dibendung disebabkan Langkawi adalah sebuah pulau dan mempunyai banyak laluan masuk.

“Pulau sebegitu besar, kemungkinan dadah akan masuk bukan ikut pintu biasa tetapi di mana sahaja. Ini perlu pasukan tentera yang besar untuk jaga seluruh pantai di Langkawi,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

222 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

12 + six =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas