Ucapan Sempena Hari Belia Negara 2019

TEKS UCAPAN OLEH YAB. TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2019
PADA 15 MEI 2019 (RABU) JAM 6.00 PETANG, BERTEMPAT DI DEWAN CANSELOR TUN ADBUL RAZAK, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)

1. Alhamdulillah. Bersyukur kita kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama menjayakan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2019.

2. Majlis sambutan ini amat penting kerana ia meraikan jalinan perpaduan serta pengiktirafan pihak Kerajaan terhadap golongan muda ataupun golongan belia.

3. Apabila melihat ramai anak muda yang sanggup datang dari jauh sama ada secara individu atau mewakili pertubuhan-pertubuhan belia, saya merasakan ia adalah satu dorongan dan juga sokongan dari golongan belia ini dalam usaha memastikan Negara maju, aman dan makmur.

4. Saya ucap terima kasih atas kehadiran semua.

5. Sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini amat bererti dan signifikan terutamanya selepas setahun Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan Negara.

6. Ianya bukan satu rahsia – generasi muda telah memastikan perubahan itu berlaku. Ia berlaku kerana anak-anak muda kita tidak lagi mahu Negara terus terpalit dengan perbuatan-perbuatan yang merosakkan Negara. Mereka tidak mahu lagi membenar Negara dipimpin oleh seorang kleptokrat. Mereka mahu rasuah dan salah guna kuasa dihentikan.

7. Kejayaan menjatuhkan Kerajaan yang lalu berhasil kerana keberanian generasi muda untuk menghadapi tekanan dan ugutan. Ia juga merupa kesanggupan dan keupayaan belia untuk menahan diri dari terpengaruh dengan wang yang dianggap Raja oleh pemerintah ketika itu, dan terus berpegang kepada idealisme dan prinsip perjuangan.

8. Golongan dewasa dan tua tidak akan dapat melakukan perubahan ini secara bersendirian tanpa sokongan dam semangat golongan muda.

9. Di dalam kita menikmati kejayaan yang kita capai sejak setahun lalu, apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah untuk mencorakkan masa depan Negara.

10. Mungkin ada kebenaran terhadap kata-kata bahawa berusaha untuk mencapai kejayaan itu adalah bahagian yang mudah ataupun “the easy part”. Yang lebih susah ialah bagaimana kita mengisi atau menggunakan kejayaan itu.

11. Di sini, perlu saya tekankan bahawa golongan muda harus sedar bahawa tanggungjawab mereka tidak terhenti dengan kejayaan yang telah kita capai. Sekarang ini cabaran untuk memulih dan membangun Negara adalah lebih besar. Dulu kita bersama-sama mengkritik dan membantah kerosakan-kerosakan yang dilakukan. Sekarang kita perlu juga bersama-sama untuk memperbaiki kerosakan-kerosakan tersebut dan memikirkan apakah usaha yang perlu kita lakukan untuk masa depan Negara yang akan diwarisi belia.

12. Golongan anak muda merupakan penentu masa hadapan Negara. Mereka juga akan jadi generasi pemimpin akan datang. Kerana itu secara beransur-ansur mereka perlu diterap dan diberi peranan di dalam usaha-usaha mentadbir dan membangun Negara.

13. Kita harus berpegang kepada prinsip tidak ada sesiapa pun yang terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab termasuklah tanggungjawab terhadap Negara.

14. Benar ada yang berpendapat bahawa golongan muda tiada pengalaman dan mungkin akan terburu-buru membuat keputusan yang mungkin bukan yang terbaik.

15. Kerana itu kita perlu mencari kombinasi yang terbaik di antara golongan muda dan tua untuk memaju Negara. Ini kerana, jika golongan muda kurang berpengalaman – semangat, komitmen, tenaga, kesungguhan dan idealisme mereka mampu membantu dan apabila mereka beriringan dengan golongan tua yang berpengalaman, sudah pasti gabungan ini mampu melaksanakan apa juga tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

16. Sebagai pewaris Negara, golongan belia mesti menyedia diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya untuk menghadapi arus dunia yang semakin mencabar. Kita perlu kenal pasti cabaran dan halangan ini agar inisiatif yang terbaik dapat dirangka. Antara cabaran tersebut ialah:

17. Peningkatan Budaya Integriti dan Penolakan Amalan Rasuah. Bagi golongan belia yang memegang jawatan sama ada dalam sektor Kerajaan, swasta mahupun badan bukan Kerajaan
seperti pertubuhan belia, saya ingin tekankan bahawa sikap berintegriti tinggi dan menolak amalan rasuah hendaklah sentiasa menjadi pegangan dalam pekerjaan dan kehidupan mereka.

18. Anak muda hari ini harus sedar akan bahayanya budaya rasuah dan amalan tidak berintegriti. Salah satu penyebab kenapa Kerajaan terdahulu ditumbangkan adalah kerana berleluasanya amalan dan gejala rasuah ini.

19. Teknologi maklumat juga menjadi satu cabaran yang ketara kerana pelbagai bentuk maklumat kini boleh diperolehi dengan amat mudah. Golongan muda perlu bijak menangani kepantasan perubahan teknologi ini dan tidak terpengaruh dengan perkara-perkara negatif sehingga nilai-nilai murni dan idealisme tercemar.

20. Satu lagi cabaran yang perlu kita tangani secara bijak ialah Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0 yang membawa kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan teknologi disruptif. Sebahagian besar urusan pentadbiran, perniagaan dan pelbagai urusan perlu dikaji cara perlaksanaan supaya dapat menjadi lebih berkesan dengan memanfaatkan teknologi-teknologi yang sebegitu canggih.

21. Semua perubahan ini akan datang kepada kita dengan sangat pantas tanpa disedari. Menolak atau tidak menerima mereka hanya akan meminggirkan kita dari arus perdana. Yang perlu kita pastikan ialah kita berpegang kepada nilai-nilai murni dan mempunyai jati diri yang kuat.

22. Pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan juga merupakan cabaran generasi muda kesan daripada kepincangan yang kita warisi. Saya percaya dalam tempoh terdekat, ekonomi Negara akan kembali berada di landasan yang betul.

23. Di atas kesedaran ini juga, pekerjaan untuk anak muda diberi keutamaan dan Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif baru untuk menurunkan kadar pengangguran dan ini termasuklah ke arah mewujudkan sejuta peluang pekerjaan. Usaha ini sedang giat dilaksanakan.

24. Golongan muda dianggarkan seramai 46.63% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Kerana itu, potensi generasi muda perlu dikesan dan dibentuk lebih awal bermula daripada alam persekolahan sehinggalah ke institusi pengajian tinggi.

25. Saya harap pewujudan Malaysia Future Leaders School baru-baru ini dapat membentuk pemimpin masa hadapan yang mempunyai jati diri yang tinggi, semangat kenegaraan yang kukuh, berdaya saing, berintegriti tinggi dalam mendepani cabaran global yang pantas berubah.

26. Gelombang “Youth Power” juga telah digerak untuk memperkasakan anak muda ke tahap yang lebih tinggi. Seiring dengan tema sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini, “Youth Power” dilihat bukan sahaja sebagai suatu slogan tetapi juga satu manifestasi kepentingan dan peranan generasi muda dalam mencorakkan pembangunan Negara.

27. Usaha dan tanggungjawab melahirkan golongan muda yang mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan Negara tidak terhad kepada peranan Kementerian Belia dan Sukan tetapi seluruh segmen masyarakat samada yang berperanan formal atau sebaliknya. Pihak Kerajaan, swasta, badan-badan bukan Kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan belia mempunyai peranan penting di dalam pembentukan golongan muda.

28. Saya dimaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan akan menggerakkan beberapa inisiatif baharu dalam memperkasa belia.

29. Platform “Youth Power Club” yang menggabungkan semua penggerak belia dan sukan akan diwujudkan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti anak muda yang fokus kepada kerja-kerja komuniti dan melatih pelapis kepimpinan anak muda di akar umbi.

30. Untuk itu, lebih daripada RM50 juta akan diperuntukkan bagi tahun 2019 dan 2020 bagi pelaksanaan program Youth Power. Peruntukan ini termasuklah RM 7.4 juta untuk tahun 2019 bagi menggerakkan Youth Power Club di 222 buah kawasan di seluruh negeri. Peruntukan berbentuk geran untuk Youth Power ini boleh dimohon oleh semua persatuan berdaftar termasuk mereka yang belum pernah mendapat bantuan peruntukan dari Kerajaan sebelum ini.

31. Selain itu, bagi meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi kepada semua anak muda, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dana khas pada tahun 2020 untuk pembangunan infrastruktur sukan luar bandar bersama sektor swasta.

32. Inisiatif penyertaan anak muda diteruskan dengan melantik belia yang berkelayakan di dalam pelbagai jawatan utama bagi meningkatkan suara anak muda dalam membuat keputusan.

33. Kerajaan juga telah bersetuju untuk melantik seorang ahli Dewan Negara dari kalangan belia berkelayakan yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang dan isu pembangunan belia. Saya cadang supaya pelantikan tersebut dibuat dalam masa terdekat dan supaya calon yang sesuai dilantik ke jawatan Senator.

34. Atas kepercayaan dan kesetiaan anak muda dalam memberi ruang Kerajaan baharu memimpin Negara pada hari ini, kita akan pastikan suara anak muda akan sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan Kerajaan di semua peringkat – daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Fokus dan keutamaan dalam membangunkan generasi muda melalui pelbagai inisiatif akan terus dilaksana dan diperkukuh oleh Kerajaan.

35. Akhir kata, saya ucap syabas dan tahniah atas kejayaan penganjuran sambutan Hari Belia Negara 2019 kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia. Saya percaya konsep “Youth Power” yang diperkenalkan ini akan dapat menyerlahkan potensi modal insan anak muda supaya lebih berdaya saing pada masa hadapan.

DENGAN INI SAYA MERASMIKAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2019.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

1,367 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

4 × five =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas