myPortfolio dilancar bagi mantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam

PUTRAJAYA, 14 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran myPortfolio:Panduan Kerja Sektor Awam di Bangunan Perdana Putra hari ini. Panduan kerja sektor awam itu merupakan satu instrumen pengurusan strategik untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan panduan kerja sektor awam, myPortfolio, yang merupakan satu instrumen pengurusan strategik untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Ketika melancarkan myPortfolio itu di sini, Dr Mahathir berkata ia merupakan rujukan dalam penyediaan dokumen berkaitan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab yang lebih teratur di peringkat jabatan dan individu.

Inisiatif itu adalah bagi memastikan tidak berlaku kelewatan dan kesilapan dalam pelaksanaan tugas dan sekaligus dapat meningkatkan produktiviti di jabatan kerajaan, katanya.

“myPortfolio diperkenal untuk membolehkan tiap seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat di dalam melaksanakan tugasnya. Malah, mereka juga akan tahu parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawai yang lain.

“Ini akan memudahkan penyelia memantau status pelaksanaan tugas dan mengambil tindakan pembetulan jika berlaku kelewatan,”katanya.

Menurut Dr Mahathir, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) turut mengeluarkan Panduan Penetapan Tempoh Masa dalam Carta Alir yang memperincikan lagi pelaksanaan penyediaan carta alir aktiviti utama di jabatan kerajaan.

“Setiap langkah dalam proses kerja dinyatakan dengan jelas tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikannya,” katanya sambil menambah carta aliran kerja itu perlu dipaparkan di tempat strategik agensi kerajaan agar mudah dilihat oleh orang awam bagi tujuan panduan dan tindakan mereka.

“myPortfolio hendaklah difahami oleh semua penjawat awam. Komunikasi yang efektif melalui perbincangan, penerangan, dan latihan berterusan akan mewujudkan penerimaan dan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui pelaksanaan myPortfolio adalah antara inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2.1.

Katanya setiap kakitangan awam perlu mempunyai satu system carta aliran kerja yang jelas dan teratur bagi mengurangkan risiko salahguna kuasa dan rasuah.

“Ia juga bertujuan mengelakkan aduan rakyat terhadap kelewatan dan tahap integriti penjawat awam dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Dr Mahathir berkata sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien dapat membantu rakyat berurusan dengan kerajaan dengan lebih mudah dan telus.

“Komuniti perniagaan umpamanya, memerlukan perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan tepat supaya kos operasi menjadi lebih rendah dan kompetitif.

“Manakala, bagi orang awam, mereka sentiasa mengharapkan pihak kerajaan memberi perkhidmatan yang terbaik bagi memudahkan segala urusan harian mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut berkongsi beberapa pencapaian Malaysia yang membanggakan dalam pengiktirafan antarabangsa antaranya dalam laporan ‘Ease of Doing Business Report 2019’ oleh Bank Dunia, kedudukan Malaysia melonjak dari tempat 24 kepada kedudukan ke-15 dalam kalangan 190 buah negara.

Kecemerlangan tadbir urus korporat negara pula dibuktikan dalam laporan oleh CG Watch Report 2018 terbitan Asian Corporate Governance Association (ACGA).

Laporan berdasarkan kaji selidik melibatkan lebih daripada 1,000 syarikat itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-empat daripada 12 buah negara Asia Pasifik, berbanding tempat ke-enam pada tahun 2016.

“Pengiktirafan ini tidak statik dan kita juga tidak harus berpuas hati dan berhenti berusaha memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam yang sedia ada,”kata Dr Mahathir.

“Saya ingin memperingati semua anggota kerajaan bahawa sistem atau cara melakukan sesuatu, walau bagaimana baik sekalipun, tidak akan berjaya jika pengamal sistem tidak gunanya dengan jujur, disiplin dan semangat,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

885 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas