Dunia Media Sosial Perlu Terus Menjadi Platform Positif

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian pejabat Facebook di Q Sentral 2, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Facebook, dan penyedia platform lain untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam memastikan dunia media sosial kekal sebagai platform yang menghasilkan perubahan positif, bukannya yang negatif.

Perdana Menteri berkata semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk mengatasi cabaran teknikal serta menangani keperluan untuk perkongsian maklumat yang lebih besar ke arah penzahiran atau penemuan maklumat untuk memudahkan agensi penguatkuasa undang-undang menjalankan kewajipan mereka dengan berkesan.

Beliau berkata walaupun Malaysia telah menganjurkan internet secara bebas dan terbuka, ia perlu berada dalam lingkungan undang-undang, dan tidak boleh dalam keadaan tidak terkawal.

“Peraturannya mudah – apa yang haram di luar talian selalunya haram secara dalam talian.

“Kebebasan bersuara bukan satu lesen untuk disalahgunakan, ia adalah tanggungjawab. Kebebasan bersuara tanpa mengambil kira tingkah laku manusia yang baik akan menjadi bencana bagi mana-mana masyarakat,” katanya dalam ucapannya di pejabat Malaysia Facebook di sini, hari ini .

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengarah Negara bagi Facebook Malaysia Nicole Tan.

Dr Mahathir berkata satu lagi bidang untuk kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan dan Facebook ialah dalam Laporan Penguatkuasaan Piawaian Masyarakat.

“Sungguhpun terdapat bentuk pengiktirafan terhadap ucapan kebencian, ada bentuk ucapan lain yang berpotensi menjadi ancaman kepada keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menyedari bahawa penyedia media sosial telah melakukan yang terbaik untuk mencari cara-cara automatik bagi mencari dan menapis catatan yang tidak sesuai menggunakan ‘User Generated Content’ (UGC) yang berkaitan dengan pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

Cabarannya sekarang, tambah beliau adalah untuk menangani pelbagai spektrum dan kandungan UGC yang lain berkaitan dengan kepekaan agama, ucapan politik, hasutan dan juga isu hak asasi manusia, yang merupakan antara contoh.

“Saya sedar bahawa Facebook dan beberapa penyedia media sosial lain telah bekerjasama dengan Majlis Pengawalseliaan Telekomunikasi ASEAN mengenai perkara ini dan saya menggesa anda semua untuk meneruskan kerjasama anda dalam memperluaskan senarai kawasan semasa untuk segera dicatatkan,” katanya.

Dr Mahathir juga menyatakan tentang peningkatan jumlah salah laku dan kesalahan yang dilakukan melalui penggunaan platform media sosial termasuk jenayah siber.

Beliau berkata laporan mengenai jenayah siber media sosial yang dikeluarkan awal tahun ini menunjukkan bahawa penjenayah siber yang menggunakan cara seperti crypto jacking dan botnets memperoleh hampir US$3.25 bilion setahun melalui platform sosial.

“Ini mungkin sangat membimbangkan bagi Malaysia kerana kami dianggap agak lemah dan masih hijau dalam menangani malware dan perisian berniat jahat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan komited untuk bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada ekonomi digital untuk membantu rakyat Malaysia berkomunikasi dan terus berhubung dan melihat perniagaan tempatan bersaing secara positif ketika mereka berkembang menjadi jenama global.

Beliau berkata kedua-dua syarikat besar dan kecil perlu merangkul sambungan digital, menggunakan analisis data dan kemahiran digital untuk meneroka peluang untuk membina perniagaan digital.

“Bagi SME akan menjadi sengat menarik mempunyai beribu-ribu ‘kawan’ di Facebook yang membawa kepada lebih banyak trafik ke laman web atau lokasi peruncitan anda.

“Beliau menambah pada 2016, kira-kira 18 juta rakyat Malaysia aktif di Facebook setiap bulan yang dapat diterjemahkan kepada kira-kira 81 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan Internet.

“Apa yang mengagumkan, 94 peratus rakyat Malaysia menemui produk dan jenama di Facebook dan dengan kira-kira 62 peratus membuat pembelian selepas penemuan itu. Sehingga Mac 2019, jumlah itu meningkat kepada 26 juta rakyat Malaysia yang aktif di Facebook,” katanya.

Dr Mahathir berkata di pihak kerajaan, galakan dan insentif akan diberikan kepada pelaburan dan kerjasama dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bagi perkhidmatan dan komunikasi digital.

— BERNAMA

Similar Posts:

922 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 − four =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas