Dr Mahathir Ucap Takziah Atas Pemergian Mendiang Khoo Kay Kim

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengucapkan takziah kepada anggota keluarga sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia hari ini.

Dr Mahathir menyifatkan pemergian Khoo sebagai satu kerugian besar kepada negara.

“Takziah saya yang paling mendalam kepada anggota keluarga anak Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi ini.

“Seorang sejarawan terkenal yang menyumbang begitu banyak untuk negara ini, pemergiannya merupakan kerugian besar,” kata Dr Mahathir dalam ciapan Twitternya hari ini.

Khoo meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi. Beliau berumur 82 tahun.

Khoo, yang dilahirkan di Kampar, Perak, meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, dan tiga anak lelaki, Eddin, 50, Rubin, 47, dan Mavin, 42.

Beliau adalah salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada tahun 1969.

Khoo akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di Shah Alam pada Sabtu.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai pemergian Khoo Dr Mahathir berkata sejarawan itu selalu mengatakan kebenaran.

“Dia bercakap mengenai Cina, Melayu dan India pada masa lalu dan sekarang, dan orang selalu menghormati pandangannya. Dengan pemergiannya, kita telah kehilangan pemikir dan sejarawan yang sangat bagus, “katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

420 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

5 − 2 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas