Dr Mahathir Gesa Konflik Diselesaikan Secara Resolusi, Bukan Konfrontasi

TOKYO, 30 Mei (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada Khamis bahawa order dunia telah gagal dan dunia harus memikirkan semula mengenai hubungan negara-negara antara satu sama lain terutama dalam mencari resolusi kepada konflik.

Perdana Menteri Malaysia itu, ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25, yang juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei, berkata konflik hendaklah diselesaikan menerusi perundingan, arbitrasi dan mahkamah.

“Jika kita mahukan sebuah dunia yang lebih baik dengan order baru yang semata-mata berasaskan kepada pematuhan kepada kedaulatan undang-undang antarabangsa, kita selesaikan masalah menerusi perundingan dan tidak dengan cara berkonfrontasi dan menghantar kapal-kapal perang di sana sini, kata beliau dalam ucaptamanya.

Dr Mahathir berkata perkara pertama yang perlu diputuskan oleh dunia ialah semua konflik hendaklah diselesaikan di meja rundingan dan negara-negara perlu bertolak ansur bagi mencapai persetujuan.

“Sudah tentu jalan penyelesaian itu tidak dapat memuaskan hati semua orang. Jika kita mahukan situasi menang-menang, maka setiap orang mesti bersedia untuk memberi sesuatu.

“Jika kita sendiri tidak dapat membuat keputusan, kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan, dan hormatilah keputusan mahkamah itu,” kata beliau.

Dr Mahathir turut membidas cara befikir yang agresif dalam menguruskan konfrontasi dan “dunia masih dalam keadaan primitif jika kita tidak dapat menyelesaikan masalah kita kecuali dengan cara konfrontasi, keganasan, kemusnahan, kerosakan dan pembunuhan manusia beramai-ramai.

“Jika mengambil tindakan berperang dan berterusan meningkatkan keupayaan kita untuk membunuh dan memusnah, maka kita tidak boleh memanggil diri kita sebagai bertamadun,” kata beliau.

Berucap di hadapan kira-kira 300 peserta, Dr Mahathir berkata, “Keadaan semasa dunia kini tidak stabil dan kita boleh melihat masalah berlaku di Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah, pelbagai bahagian Asia dan sudah tentu di Timur Tengah, selain konfrontasi antara Amerika Syarikat dan China.

“Dan seluruh dunia terkena kesannya walaupun kita bukan sebahagian daripada pihak-pihak yang bertelagah. Bak kata pepatah, “Gajah sama gajah berlawan, pelanduk mati di tengah-tengah.”

“Kita melihat bahawa dalam peperangan terakhir yang lepas, tujuh juta manusia terbunuh, tiada apa faedah pun kepada sesiapa pun. Hanya semasa wujudnya keamanan, negara-negara berupaya untuk membangun,” kata beliau.

Memetik ASEAN sebagai contoh, Dr Mahathir berkata pertubuhan serantau itu dilanda pelbagai konflik semasa idea penubuhannya dicetuskan dahulu.

“Semasa kita mencapai kemerdekaan, berlaku konfrontasi yang serius, tuntutan dan tuntutan balas. Asia Tenggara kini sangat stabil dan aman kerana ASEAN memutuskan untuk kerap berjumpa, iaitu setahun sekali, dan menyelesaikan apa juga masalah di meja rundingan dan bukan di medan perang,” kata beliau.

Pendekatan itu telah memberi manfaat yang amat besar kepada ekonomi negara-negara ASEAN.

Mengenai China, Dr Mahathir berkata masalah dengan negara itu tidak boleh diselesaikan menerusi permusuhan, menghantar kapal-kapal perang dan menjalankan latihan kententeraan yang mungkin boleh menyebabkan tercetusnya konfrontasi besar.

“Reaksi China sudah tentulah membesarkan lagi keupayaan ketenteraannya dan memberikan ancaman. Jika inilah caranya kita menyelesaikan masalah kita dengan China yang baharu, maka kita akan kehilangan segala-galanya,” jelas Dr Mahathir.

Beliau menambah, dunia memerlukan sebuah forum yang melibatkan para pemimpin tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak lagi dipedulikan oleh kuasa-kuasa besar.

Kuasa-kuasa besar ini melakukan apa sahaja ikut suka hati mereka walaupun terdapat undang-undang antarabangsa yang semua orang di dunia ini tertakluk kepadanya.

“Kita nampak sering berlaku konfrontasi dan kita perlu memberi ancaman. Sesuatu insiden kecil boleh membawa kepada peperangan. Jika perang berlaku sekarang, kita akan memusnahkan seluruh dunia. Kita mesti ingat, pembunuhan Archduke Franz Ferdinand di Sarajevo telah mencetuskan Perang Dunia 1 yang membunuh berjuta-juta orang.

“Kita tidak mampu untuk melihat kejadian seumpama itu berlaku di Laut China Selatan misalnya dan oleh kerana itu, Malaysia menyokong agar tiada kapal perang berpangkalan di Laut China Selatan,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata kapal-kapal perang dibenarkan melalui perairan itu tetapi memiliki armada yang agresif bukanlah sesuatu yang dapat membantu menstabilkan kawasan itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

291 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 − four =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas