Beberapa cadangan Kertas Putih Pertahanan dipersetujui PM – Panglima ATM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Beberapa cadangan dalam Kertas Putih Pertahanan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

“Kami telah membuat perbincangan dan penglibatan bersama pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO), pihak industri pertahanan, para ahli akademik serta beberapa kementerian lain yang terlibat dalam pertahanan negara.

Dalam Kertas Putih Pertahanan terdapat lapan bab dan salah satunya adalah mengenai rakyat dan pertahanan (people and defence) yang akan memberi masa untuk kami membuat sesi townhall pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir di majlis perjumpaan bersama warga ATM sempena Aidilfitri ini, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata kertas putih berkenaan merupakan pertama kali dilaksanakan antaranya melibatkan warga ATM dan rakyat yang dibangunkan untuk keselamatan negara.

Pada Mac lepas, Dr Mahathir dalam ucapan perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) berkata bahawa kertas putih pertahanan itu merupakan sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia.

Kertas putih berkenaan akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.

Selain itu, di bawah kertas putih berkenaan semua pihak termasuk ATM, polis dan agensi lain yang berkaitan akan mempunyai garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing-masing.

Sementara itu, Zulkifli berkata seramai 15,000 pegawai dan anggota ATM akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri ini, melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu darat, laut dan udara serta anggota yang terlibat dalam misi pengaman di Lubnan.

“Kesemua mereka (warga ATM) ini akan bertugas menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dan akan bercuti secara bergilir-gilir. Mereka akan bertugas seperti biasa serta tiada perubahan dari segi penugasan,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

620 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 + 1 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas