Malaysia Ambil Balik ‘Delegated Airspace’ Dari Singapura – PM

PUTRAJAYA, 9 April 2019 (Bernama) – Malaysia merancang mengambil balik secara berperingkat daripada Singapura ruang angkasa yang “diwakilkan”, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Malaysia bercadang melakukan ini dalam jangka waktu bermula hujung tahun ini hingga 2023,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada akhir Pemukiman ke-9 Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura di sini hari ini.

Sambil menegaskan bahawa kedua-dua negara mempunyai sejarah panjang kerjasama penerbangan, Dr Mahathir berkata Malaysia telah membuat pelaburan besar sebagai persiapan untuk mengambil balik ruang angkasa yang diwakilkan itu dan berharap ini dapat dilakukan dengan lancar.

“Kita adalah anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan terus bekerjasama atas platform antarabangsa ini demi kepentingan bersama,” kata beliau.

Mengenai sempadan maritim Malaysia-Singapura, Dr Mahathir berkata kedua-dua negara akan melakukan ‘delimitasi’ sempadan maritim di kawasan berkenaan.

“Sebuah jawatankuasa baharu akan dibentuk untuk tujuan ini dan akan memulakan (kerjanya) menjelang bulan depan,” kata beliau.

Jadi, kata Dr Mahathir, Malaysia berpendapat adalah penting melaksanakan delimitasi (mengetepikan had buat sementara) semua sempadan maritim yang belum selesai antara dua negara, dan ini bukan saja bagi kawasan yang melengkongi had pelabuhan.

Sementara itu, Lee berkata kedua-dua negara mencapai kemajuan dalam usaha mengendurkan situasi di laut dan mengelakkan insiden seterusnya berlaku dan rundingan mengenai delimitasi sempadan maritim akan bermula dalam masa sebulan.

Mengenai isu ruang angkasa, Lee berkata Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menyemak semula peraturan ruang angkasa sedia ada di bawah mana aturan perkhidmatan trafik udara di ruang angkasa selatan Semenanjung Malaysia, dan yang Singapura sedia bincangkan dengan Malaysia.

“Pertimbangan utama ialah keselamatan dan kecekapan operasi trafik udara dan keperluan serta kepentingan kedua-dua negara.

“Saya beritahu Dr Mahathir ini adalah satu perkara rumit yang membabitkan rundingan dengan pemegang kepentingan, termasuk syarikat penerbangan dan ICAO dan tidak boleh dilakukan tergesa-gesa,” kata beliau.

— BERNAMA

Similar Posts:

322 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

thirteen + 10 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas