Lawatan Dr Mahathir ke China buka lembaran baharu hubungan dua hala

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) — Lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Beijing selama empat hari mulai Khamis, bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-China yang akan diterjemahkan menerusi persahabatan lebih mesra dan erat.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak dan Forum Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Dr Mahathir juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Li Zhanshu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia memperlihatkan satu petanda baik untuk hubungan Kuala Lumpur-Beijing pada masa depan, selepas hampir setahun apa yang disifatkan beliau sebagai “gangguan”.

“Dalam kesibukan Beijing menjadi tuan rumah kepada Forum BRI, ketiga pemimpin tertinggi itu tetap meluangkan masa untuk Perdana Menteri kita, itu adalah satu petanda sangat baik.

“Bagi China menguruskan pertemuan dua hala antara Presiden, Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan dengan Tun, itu juga petanda baik,” ujarnya.

Saifuddin berkata demikian dalam temu bual khas dengan media Malaysia di pejabatnya, sempena ulang tahun pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Mei ini.

Ia adalah lawatan rasmi kedua Dr Mahathir ke China selepas yang pertama pada Ogos 2018.

Malaysia baru-baru ini bersetuju menyambung semula dua projek mega melibatkan China; Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek Bandar Malaysia.

Pada 12 April, kerajaan mengumumkan projek ECRL disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion.

Sementara itu pada Jumaat lepas, Dr Mahathir mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM140 bilion selepas ia diberhentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan semasa mesyuarat Kabinet pada 17 April dan IWH-CREC Sdn Bhd, konsortium Malaysia-China, pemaju induk bagi projek itu akan meneruskan kerja-kerja di Bandar Malaysia.

“Apa yang penting ialah semasa lawatan Perdana Menteri tahun lalu, Perdana Menteri telah menjelaskan kedudukan Malaysia, masalah kewangan yang dihadapi dan menerangkan kenapa ada projek yang perlu dibatal dan dirunding.

“Kerajaan China memahami keputusan yang diambil Malaysia, kerana itu setuju untuk berunding semula dan mereka bersetuju menambah import minyak kelapa sawit,” kata Saifuddin.

Menurutnya keputusan kerajaan untuk memulihkan kedua-dua projek itu juga diterima baik oleh rakyat terutama komuniti perniagaan.

“Sambutan yang diterima daripada masyarakat sangat baik. Ia mengambarkan suasana positif di kalangan komuniti perniagaan,” tambahnya.

Saifuddin berkata pelabur asing terutamanya dari China menyambut baik keputusan itu.

— BERNAMA

Similar Posts:

560 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 + seven =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas