Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)

Soalan Oleh
Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil (PH-PKR) [P121 Lembah Pantai]

Soalan
Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah pihak Kerajaan bersedia menerbitkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) berdasarkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan maklumat demi mengelakkan fitnah dan persepsi tidak betul terutama apabila orang ramai tahu bahawa Akta Rahsia Rasmi pernah disalahguna pentadbiran dahulu untuk menyembunyikan salah laku.

Jawapan Oleh
YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad (PH-PPBM) [P004 Langkawi]
Perdana Menteri Malaysia

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Apabila Pakatan Harapan mendapat mandat yang besar untuk menubuhkan Kerajaan kita dapati terdapat keperluan bagi proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.

2. Ini kerana buat pertama kalinya Kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah sejak merdeka telah bertukar dan menyebabkan berlakunya perubahan landskap politik negara. Sudah tentulah, dalam pada rakyat meraikan perubahan ini, terdapat kebimbangan di pihak peniaga dan pelabur asing tentang keupayaan Pakatan Harapan mentadbir Kerajaan.

3. Justeru, saya telah memutuskan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan atau lebih dikenali Council of Eminent Persons (CEP) dengan matlamat utama menasihatkan Kerajaan dalam bidang ekonomi, kewangan serta bidang-bidang lain yang perlu diberi perhatian terutamanya dalam tempoh 100 hari pertama peralihan Kerajaan.

4. CEP telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan dibantu oleh sebuah sekretariat, dua jawatankuasa – iaitu Jawatankuasa Berkaitan 1MDB dan Jawatankuasa Reformasi Institusi, dengan izin Institutional Reforms Committee (IRC) serta dua Pasukan Petugas Khas – iaitu Pasukan Petugas Khas Projek Laluan Rel Pantai Timur, dengan izin East Coast Rail Link (ECRL) serta Pasukan Petugas Khas Projek Multi Product Pipeline dan Projek Trans-Sabah Pipeline. CEP telah tamat melaksanakan tugasnya secara rasmi pada 19 Ogos 2018. Laporan akhir CEP telah pun dibentang kepada saya dan arahan pelaksanaannya telah pun diserahkan kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) untuk diselaraskan.

5. Laporan CEP adalah di bawah bidang kuasa dan menjadi urusan rasmi Kerajaan. Sehubungan itu, semua Ahli CEP dan pegawai yang terlibat secara langsung tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, dengan izin Official Secrets Act (OSA). CEP hanya berperanan sebagai badan penasihat dan Kerajaan perlu berhati-hati dalam memutuskan sama ada laporan tersebut wajar didedahkan ataupun tidak kerana beberapa hasil dapatan mereka memerlukan penyiasatan lanjut oleh pihak berkuasa yang berkaitan. Ini adalah bagi mengelakkan polemik yang mungkin boleh menjejaskan hasil siasatan dan keyakinan pelabur.

6. Apa yang penting, semua cadangan penambahbaikan yang diterima dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan dan kestabilan ekonomi negara.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

160 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × 4 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas