Kenyataan Media Oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad Terhadap Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

PEJABAT PERDANA MENTERI

KENYATAAN MEDIA

Kritikan awal Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berasaskan cara kontrak projek asal ECRL dirunding dan dimeterai pada tahun 2016. Ianya melibatkan sejumlah harga yang tidak wajar dan tinggi di samping kurangnya ketulusan dari segi spesifikasi teknikal, harga dan justifikasi ekonomi.

Oleh kerana kontrak asal telah dipersetujui atas landasan G2G, Kerajaan Pakatan Harapan dalam rundingan untuk memperbaiki projek asal ECRL terpaksa berunding dalam kekangan kontrak yang sedia ada.

Kerajaan PH terpaksa memilih samada untuk berunding semula pelaksanaan ECRL atau membayar RM21.78 bilion sebagai kos penamatan tanpa mendapat sebarang manfaat mahupun projek yang akan disiapkan. Justeru itu Kerajaan PH memilih untuk kembali semula ke meja rundingan bagi mendapat tawaran yang lebih seimbang di mana keperluan rakyat diutamakan.

Hasil rundingan panjang antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China, kedua-dua pihak berjaya mencapai kesefahaman dalam bentuk perjanjian ECRL yang saling memanfaatkan dan sekaligus menambahbaik perjanjian ECRL berbanding apa yang telah dipersetujui sebelum ini.

Selaku Kerajaan Persekutuan, kami yakin ECRL akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, terutama di negeri-negeri Pantai Timur di bawah pemerintahan parti pembangkang. Projek ECRL yang ditambahbaik ini akan menawarkan pengangkutan penumpang dan kargo,  menarik pelaburan sepanjang jajaran rel dan mewujudkan peluang pekerjaan yang ketara.


Penambahbaikan Projek ECRL

Sebagaimana yang telah diumumkan pada 12 April 2019, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah menandatangani sebuah Perjanjian Tambahan (SA) bagi meneruskan projek ECRL. Sehubungan itu kedua-dua syarikat akan berkerjasama bagi mengurus, menyelia dan menyelenggara projek ECRL.


Perjanjian Tambahan (SA) kepada Kontrak EPCC

Perjanjian Tambahan berkenaan meliputi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Fasa 1 dan Fasa 2 Projek ECRL dengan kos dikurangkan kepada RM44 bilion. Pengurangan RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada harga asal RM65.5 bilion ini adalah amat besar. ECRL yang ditambah baik akan dibina pada kos RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap km di bawah perjanjian lama.


Aspek Teknikal Utama
1. “Standard gauge” dan landasan berkembar ECRL dikekalkan.
2. 640 kilometer termasuk jajaran sambungan.
3. Landasan ECRL akan melalui 20 stesen, antaranya Kota Bharu ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan seterusnya ke Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan Pelabuhan Kelang. Justeru, ECRL baru akan merentasi lima negeri dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berbanding empat negeri sebelumnya. Ini akan membuka peluang kepada lebih banyak negeri untuk meraih kemakmuran ekonomi di bawah perjanjian baru ECRL.
4. Jaringan baru selatan juga akan mewujudkan hubungan terus antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kelang, sekaligus menjadi jambatan darat antara dua pelabuhan itu.
5. Jaringan baru ini juga akan menerima manfaat daripada khidmat KLIA Express Rail Link (ERL) yang sedia ada serta MRT2 SSP Line yang akan dibina pada masa depan dengan sebuah stesen pertukaran di Putrajaya Sentral. Ini akan menambahbaik jaringan perkhidmatan penumpang ke kawasan lain di pantai barat Semenanjung dan menyediakan hubungan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ini adalah penambahbaikan ketara berbanding dengan pembinaan hanya satu stesen pertukaran menerusi LRT di ITT Gombak di bawah perjanjian lama.
6. Perjanjian baru ECRL membolehkan penumpang KTM Komuter dan ETS daripada selatan Semenanjung untuk mengguna khidmat ECRL di stesen yang akan di bina di Bangi/Kajang.
7. Yang penting, laluan baharu ini akan mengutamakan faktor budaya, warisan dan alam sekitar dengan mengelak Klang Gates Quartz Ridge di Gombak, Selangor, yang merupakan “pure quartz dyke” yang terpanjang di dunia.
8. ECRL sekarang dijangka akan siap dibina pada akhir Disember 2026, berbanding dengan unjuran asal iaitu 30 June 2024.


Operasi & Penyelenggaraan
CCCC telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui sebuah syarikat usahasama yang akan ditubuhkan dengan pegangan 50:50 MRLSB dan CCCC.

CCCC akan memberi sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi setelah siapnya projek ECRL. Kerjasama ini akan meringankan beban kewangan Malaysia, yang dahulunya terpaksa menanggung beban kewangan keseluruhan operasi dan penyelenggaraan project tersebut.

Sehubungan itu, Malaysia akan berpeluang mempelajari dari kepakaran operasi dan penyelenggaraan CCCC yang sudah tentunya akan meningkat daya maju jangka masa panjang projek tersebut.

Kami yakin penglibatan CCCC akan menjana pelaburan sepanjang jaringan tersebut, terutamanya dari negera China.


Penglibatan Kontraktor Tempatan

Bagi memajukan sektor infrastruktur negara, kadar peratusan penglibatan kontraktor tempatan telah ditambah kepada 40 peratus bagi kerja-kerja sivil, dari 30 peratus dahulunya.


Bayaran balik dari bayaran pendahuluan kepada CCCC

CCCC telah bersetuju untuk membayar balik sebahagian dari RM3.1 bilion bayaran pendahuluan yang telah dibuat untuk Fasa 2, Laluan Kembar dan Jaringan Tambahan Utara atau “Northern Extension” di bawah kontrak asal.

RM500 juta akan dibayar balik dalam tempoh seminggu dari 12 April 2019, dan RM500 juta selanjutnya dalam tempoh sebulan dari 12 April 2019, menjadikan jumlah bayaran balik sebanyak RM1 bilion.

Baki pembayaran akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas ditolak tuntutan-tuntuan yang bersangkut paut dengan kerja-kerja yang telah dihentikan dan digantung, dan pembatalan Jaringan Tambahan Utara (Northern Extension).


Pengurangan Ketara Komitmen Kewangan akibat Kemudahan Pinjaman Keseluruhan

Di bawah perjanjian asal ECRL, kos keseluruhan projek adalah RM66.7 bilion. Pinjaman daripada China-EXIM Bank untuk ECRL adalah RM56.7 bilion atau 85 peratus kos projek.

Di bawah kerajaan terdahulu, pinjaman yang sudah dimeterai dengan China-EXIM Bank ialah RM39.1 bilion untuk Fasa 1. Kita bernasib baik kerana baki pinjaman RM17.6 bilion untuk Fasa 2 bagi Jaringan Tambahan Utara (Northern Extension) belum ditandatangani.

Dengan kos ECRL kini dikurangkan kepada RM44 billion, jumlah pinjaman daripada China-EXIM Bank akan juga dikurangkan dengan ketara. Jumlah sebenar masih dirundingkan dengan pihak China-EXIM Bank, namun kita menjangka ia akan meringankan beban kewangan kerajaan dari segi pembayaran pinjaman dan faedah serta yuran lain.


Kesimpulan

Penambahbaikan ECRL adalah selaras dengan manifesto Kerajaan PH untuk mengkaji semula semua projek mega yang dipersetujui oleh kerajaan terdahulu dan juga menyamaratakan peluang ekonomi antara pantai barat dan timur Semenanjung Malaysia.

Kejayaan rundingan untuk perjanjian baru ECRL yang bermula Julai 2018 menghasilkan penjimatan yang begitu besar kepada negara, yang sememangnya menjadi matlamat utama pentadbiran PH apabila membuka rundingan itu dengan pihak negara China.

Kami berharap kerajaan negeri Kelantan, Terengganu and Pahang akan merebut peluang-peluang yang bakal bercambah  daripada projek ECRL dan mengguna penuh pembangunan dan kemakmuran yang akan dinikmati hasil pembinaan projek ini.

Kerajaan PH ingin menekankan di sini bahawa kritikan awal terhadap projek ECRL adalah berlandaskan kepada kos projek asal yang terlalu tinggi dan membebankan yang telah dipersetujui oleh pentadbiran BN, dan bukan khusus kepada projek ECRL.

Kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Kerajaan China kerana memahami situasi kewangan dan masalah yang dihadapi oleh Kerajaan, dan bersetuju untuk menjalankan perundingan semula bagi projek tersebut.

Kerajaan Malaysia juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan perundingan yang diketuai oleh YABhg. Tun Daim Zainuddin, dan pasukan-pasukan kerja di atas usaha yang komited dalam rundingan Perjanjian Tambahan dan usahasama Operasi & Penyelenggaraan, yang telah membuka jalan untuk ECRL dilaksanakan pada kos yang jauh lebih rendah untuk kebaikan, kemakmuran dan manfaat rakyat Malaysia.


PEJABAT PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA
15 APRIL 2019


# TAMAT #

Similar Posts:

1,990 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

eight + thirteen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas