Hutang Negara Kurang Berikutan Peningkatan KDNK – PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Peratusan hutang negara berkurang berikutan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penyelesaian beberapa hutang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai usaha dan tindakan kerajaan mengurangkan hutang kepada RM686 bilion daripada RM1 trilion.

Perdana Menteri yang menjawap persoalan Ahmad mengenai jumlah hutang yang kini didakwa meningkat kepada RM773 bilion berkata:

“Pada mulanya kita kaji dan dapati, ia lebih RM1 trilion. Ini adalah satu angka besar sekarang, KDNK negara meningkat. Apabila KDNK meningkat, peratusan hutang kurang. Kedua, apabila kita selesai beberapa hutang, maka hutang sudah kurang. Ia tidak lagi menjejaskan usaha kita mentadbir dan membangunkan negara, ” katanya.

Sementara itu ketika ditemui di lobi Parlimen, Dr Mahathir menjelaskan hutang negara kini ditahap yang boleh diurus, dan turun disumbangkan oleh beberapa faktor, termasuk kerajaan berjaya mendapatkan semula banyak wang yang hilang dan disimpan oleh Singapura.

“Wang itu berjaya membantu mengurangkan hutang. Kerajaan juga bekerja keras mengurangkan nilai kontrak Projek Rel Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Projek itu perlu diteruskan kerana jika tidak, kerajaan perlu membayar pampasan yang besar.

“Kami juga melihat kemungkinan lebih banyak hutang boleh dikurangkan menerusi pengenalpastian aset kerajaan yang boleh djual. Pada masa ini proses sedang berjalan, ia tidak statik. Angkanya dikurangka, sedang usahakannya sepanjang masa. Saya tidak dapat memberikan angka sebenar, namun saya yakin angkanya sudah banyak dikurangkan, ” katanya.

Mengenai sebarang rancangan untuk menjua aset lain selain kapal layar Equanimity, Mahathir berkata kerajaan masih mempunyai beberapa aset termasuk tanah milik kerajaan.

“Sudah pasti kami akan menjualnya kepada rakyat Malaysia, bukan kepada orang asing. Ini akan mengurangkan hutang, ” katanya.

Semalam, Genting Malaysia Bhd mengesahkan pembelian kapal layar mewah Equanimity bersama-sama bunker, bahan api, pelincir dan barangan lain atas kapal, dengan pertimbangan bejumlah US$126 juta (RM514.6 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pada 26 Mac 2019, ia membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal mewah itu di bawah proses Jualan Kehakiman, melalui jualan terus persendirian, menurut perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut bidang kuasa Admiralti.

— BERNAMA

Similar Posts:

28,800 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas