Tindakan Keganasan Di Christchurch Luar Batas Kemanusiaan – PM

SEREMBAN, 17 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan kejam pembunuhan umat Islam di Christchurch, New Zealand dua hari lepas sebagai tindakan di luar batas kemanusiaan.

Menyifatkan tragedi berkenaan sebagai peristiwa sedih yang mengguris hati umat Islam, beliau berkata dalam keadaan begini, tindakan yang paling buruk daripada yang dilakukan oleh pengganas itu ialah umat Islam melakukan balas dendam.

“Perlu kita tanya diri kita apabila kita membalas perbuatan itu, sudah pasti kita tidak akan dapat melakukan kepada pembunuh-pembunuh tersebut kerana mereka telah ditangkap dan menghadapi tindakan undang-undang.

“Kemungkinan besar apa yang akan berlaku, kita akan membalas terhadap orang yang sama agamanya, bangsanya, asal usulnya dan lain-lain aspek yang boleh kita kait dengan pengganas,” katanya pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, serta barisan Exco kerajaan negeri.

Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan 49 maut dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch ketika penganut Islam ingin menunaikan solat Jumaat dan lebih 20 orang dilaporkan cedera.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata al-Quran memberi panduan melarang dan mewajibkan beberapa perkara kepada umatnya yang mana semuanya akan membentuk peribadi yang mulia jika diikuti.

“Di antara ajaran yang terdapat dalam al-Quran ialah Islam melarang membunuh walaupun orang itu bukan daripada agama Islam, tetapi Islam melarang kita membunuh. Tapi malangnya hari ini kita lihat umat Islam berperang sesama sendiri, bermusuh dengan pihak lain dan sering membunuh di merata-rata tempat sehingga hancur masyarakat Islam di kebanyakan negara Islam.

“Ini berlaku kerana sementara kita membaca al-Quran tetapi kita tak amalkan ajarannya bahawa membunuh itu adalah satu perkara yang diharamkan dan kita tak harus membunuh,” katanya.

Perdana Menteri berkata ekoran tindakan berkenaan, ia menghasilkan tindakan balas dendam kepada umat Islam seperti mana yang berlaku di Christchurch yang mengorbankan nyawa yang tidak bersalah.

“Kalau kita berbunuhan sesama Islam, maka tempat kita di neraka selamanya. Kepercayaan bahawa kita akan jadi ahli syurga kerana kononnya kita berjihad adalah tidak tepat seperti dalam al-Quran. Dalam Quran jelas disebut kalau kita bunuh seseorang Islam dengan sengaja, maka tempat kita di neraka.

“Kita tidak menyelamatkan umat Islam bahkan mendedahkan umat Islam seperti yang kita lihat berlaku di New Zealand,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyeru umat Islam di negara ini mempraktikkan gaya hidup berteraskan Islam serta menghayati al-Quran.

“Al-Quran adalah sebaik-baik petunjuk yang menjadi pedoman hidup bagi setiap orang mukmin. Kita perlu membaca, menghafaz dan memahami serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Similar Posts:

361 total views, 2 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

thirteen − three =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas