Seni Dan Budaya Cerminan Ketamadunan Negara – PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Sesebuah negara bertamadun dibentuk oleh seni dan budaya yang berkembang mekar, dengan sumbangan hebat dan berinovasi, yang membangkitkan kualiti terbaik dalam diri manusia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata seiring dengan ini, pembangunan sosial ekonomi dan politik turut berkembang.

“Malaysia mewarisi budaya, adat istiadat dan tradisi yang melimpah-limpah semasa penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan dan agama.

“Gandingan unik ini banyak menyumbang kearah kemajuan dan pembangunan sesebuah negara,” katanya menerusi rakaman video khas yang disiarkan di majlis makan malam sempena mengalu-alukan Sidang Kemuncak ke-lapan Dunia Seni dan Budaya di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata ketika ini semasa revolusi teknologi menjengah ke dalam sektor yang berkembang pantas dalam ekonomi dunia, ia juga menyumbang ke arah pertumbuhan kekayaan yang teramat pantas.

Dr Mahathir berkata Malaysia menjelma dari sebuah negara pertanian menjadi negara perindustrian dan kepantasannya meningkat, dan begitu juga dengan materialisme.

“Tetapi Malaysia tidak mahu kehilangan identitinya… identiti yang dibentuk menerusi kepelbagaian kebudayaan dan keseniannya,” katanya dan menambah Malaysia berhasrat untuk memeliharanya, walaupun dengan beberapa pengubahsuaian.

Beliau berkata dunia sedang mengalami satu lagi tempoh transformasi penting dan pembaharuan sentiasa berterusan.

“Secara peribadi, saya telah melalui banyak tempoh perubahan yang bersejarah – dari zaman koloni dan pembinaan negara, perang dan penjajahan, dari telegram kepada instagram, dari Malaysia lama kepada Malaysia Baharu.

“Perubahan sebenarnya bukanlah perkara yang tidak baik. Gangguan boleh menjadi sesuatu yang produktif, sekiranya kita sudah menjang dan bersedia untuknya, dan sanggup menyesuaikan diri,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ke-lapan Dunia Seni dan Budaya Kuala Lumpur 2019 sedang berlangsung di Kuala Lumpur Performing Arts Centre dari 11 sehingga 14 Mac dengan tema “Mobile Minds: Culture, Knowledge & Change”, anjuran bersama International Federation of Arts and Culture (IFACCA) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negara (JKKN).

Dengan penyertaan lebih daripada 60 negara, sidang kemuncak itu akan memberi peluang bagi mengukuhkan masyarakat sivil, menggalakkan kerjasama antara pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan sektor kerajaan, dan melengkapkan interaksi antara para artis, organisasi serta institusi seni.

— BERNAMA

Similar Posts:

215 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

eighteen − seventeen =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas