PM, Isteri Tonton Tayangan Perdana ‘Raj of The East’

KUALA LUMPUR, 12 Mac — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (belakang dua, kiri) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (belakang dua, kanan) ketika hadir ke Tayangan Perdana ‘Raj of The East’ di TGV KLCC hari ini. Turut hadir Penulis Skrin yang juga Penerbit dan Pengarah Raj of The East Tan Sri Adam Kadir (belakang, kiri). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Selepas seharian di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa malam ini menonton tayangan perdana filem ‘Raj of the East’.

Dr Mahathir, yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tiba di TGV Cinema, KLCC pada pukul 8.30 malam.

Filem semi biopik berkenaan ditulis, diarah serta diterbitkan oleh bekas penerbit dan pengarah RTM, Tan Sri Adam Kadir.

Raj of the East mengisahkan kehidupan Sir Hugh Clifford, yang datang ke Malaya pada 1883 pada usia 17 tahun dan memulakan kerjaya sebagai kadet yang berpangkalan di Perak sehingga menjadi Residen British di Pahang dan kemudiannya Gabenor Borneo Utara.

Adam mengambil masa hampir lima tahun membuat penyelidikan mengenai Clifford.

Penggambaran filem itu bermula awal tahun lepas dan kerja-kerja pasca produksi selesai awal tahun ini.

Filem berdurasi sejam 40 minit itu, mengisahkan Clifford sewaktu muda telah jatuh cinta dengan wanita Cina bernama Nong, yang kematian suami setelah dibunuh semasa menemai Clifford dalam perjalanan ke Pattani, Thailand.

Bagaimanapun, kisah cinta Clifford dan Nong tidak berakhir dengan kebahagiaan setelah seorang Sultan terpaut pada Nong yang jelita dan memaksanya mengahwini baginda dan dijadikan permaisurinya.

Model profesional yang menjadi pelakon, Carl Graham membawa watak Clifford manakala bekas eksekutif pengiklanan Ian Braig, memegang watak Clifford ketika tua.

Bekas Ratu Malaysia Chole Chan melakonkan watak Nong sewaktu muda manakala bekas Ratu Malaysia dan personaliti radio terkenal Yasmin Yusuf memegang watak Nong semasa berusia.

Datuk Rahim Razali, Rashidi Ishak dan Ellie Suriati antara nama-nama besar yang terlibat dalam filem berkenaan.

— BERNAMA

Similar Posts:

323 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

six + ten =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas