Belum ada rancangan untuk beli pesawat China – Dr Mahathir

SERDANG, 25 Mac (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa ini kerajaan tiada rancangan untuk membeli pesawat daripada China.

“Itu hanya cadangan, kami belum lagi buat apa-apa keputusan,” jelas Perdana Menteri ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan beliau semalam, berhubung Malaysia mungkin bertindak balas dengan membeli pesawat pejuang daripada China sekiranya Kesatuan Eropah (EU) terus dengan pendirian diskriminasi terhadap minyak sawit negara.

Malah kata Dr Mahathir, Malaysia mungkin langsung tidak membuat sebarang pembelian pesawat.

Ditanya jika ada produk tertentu daripada China yang sedang ditimbang, Dr Mahathir berkata: “Ada banyak produk yang boleh kita beli.”

Terdahulu, Dr Mahathir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di antara Medicara Assistance Sdn Bhd dan Pos Malaysia Berhad bagi mempromosikan Program Takaful Penjawat Awam CuepacsCare dan CuepacsPA kepada penjawat awam, di sini hari ini

Menurut satu kenyataan, kerjasama tersebut merupakan komitmen kedua-dua pihak untuk mentakaful penjawat awam selaras dengan hasrat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mahu memastikan penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah.

Melalui kerjasama itu, MyCuepacsCare selaku pengendali takaful CuepacsCare dan CuepacsPA melantik Pos Malaysia sebagai wakil pemasaran bagi mengedarkan borang permohonan program tersebut melalui 681 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara.

Pada majlis itu, MyCuepacsCare diwakili Pengarah Urusannya K. Palanisamy sementara Pos Malaysia diwakili Ketua Pegawai Operasi Pos Niaga Abdul Razak Mohd A. Kadir.

— BERNAMA

Similar Posts:

386 total views, 1 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

eighteen − 7 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas