Transkrip Ucapan YAB Perdana Menteri Bersempena Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga JPM Bagi Bulan Februari 2019

Bismillahirrahmanirrahim.

YAB Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Ketua-Ketua Jabatan dan seterusnya tuan-tuan, puan-puan hadirin sekalian. Assalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Pagi ini kita berkumpul di sini sebagai satu lagi acara yang kita adakan untuk mengukuhkan kefahaman kita terhadap tugas-tugas kita sebagai anggota jentera Kerajaan. Kita telah pilih sistem demokrasi untuk negara kita. Sistem demokrasi ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk memimpin negara. Tetapi untuk mengadakan sistem ini kita perlu membaiki diri kita kepada parti politik masing-masing dengan agenda-agenda dan ideologi-ideologi mereka. Terpulang kepada kita untuk menyokong yang mana kita ingin mendirikan Kerajaan di negara kita.

Sudah tentu kita perlu setia kepada parti dan pemimpin kita, tetapi kesetiaan kita hanya adalah kepada negara kita walaupun kita mempunyai pemimpin yang baik, tetapi yang lebih utama ialah negara kita.  Hanya kita boleh setia kepada sesiapa sahaja sama ada parti atau pemimpin setakat ianya bekerja menjalankan tugas yang menguntungkan dan memberi kebahagiaan kepada negara kita.

Negara kita ini lebih utama dari lain-lain kesetiaan dan ketaatan kita.  Kita dilahirkan, membesar, mendirikan keluarga di negara ini dan seterusnya mendapat zuriat yang akan menggantikan kita setelah kita pergi.  Tetapi dalam menjalankan tugas kita ini, kita perlu ingat bahawa yang memberi nikmat kepada kita ialah negara kita.  Alhamdulillah, kita berada di negara yang aman dan dapat ditadbir dengan baik.  Ini tidak selalunya berlaku kepada semua negara. Kita tahu banyak negara di dunia ini, mereka tidak boleh mendirikan kerajaan dan mentadbir negara dengan baik.  Tetapi di Malaysia ini sejak kita merdeka, walaupun kita menghadapi banyak masalah, kita dapat membangunkan negara kita dan sebagainya.  Negara kita inilah yang memberi segala nikmat kepada kita.

Sebab itu, ketaatan dan kesetiaan kita mestilah kepada negara.  Walaupun ada kalanya kita perlu memberikan kesetiaan kepada pemimpin atau pun parti tetapi yang lebih utama ialah negara. Jika pemimpin atau parti itu dapat meningkatkan pencapaian negara kita, maka setialah kita kepada pemimpin dan parti. Tetapi, jika terdapat pemimpin yang telah menyeleweng, menjalankan tugas-tugas yang tidak sepatutnya dan telah mengurangkan tumpuan kepada kebaikan kita dan negara, maka kesetiaan kita itu tidak kuat sehingga kita lupakan apa yang terjadi kepada negara kita.

Pemimpin diperlukan, tetapi negara adalah lebih diutamakan.  Sebab itu, apabila kita menjalankan tugas kita sebagai pentadbir, kita perlu melaksanakannya untuk kebaikan negara kita. Kadang-kadang kita terpaksa mengubah sedikit pandangan kita terhadap keadaan dalam negara kita. Jangan kita begitu taksub dengan pemimpin dan parti sehingga kita lupakan tentang tugas kita untuk negara.

Sekarang kita telah lihat satu perubahan yang ketara telah berlaku dimana sejak kita merdeka tidak pernah lagi kita menukar kerajaan.  Tetapi, setelah 61 tahun, rakyat telah memilih untuk menukar kerajaan.  Dalam pada itu, setelah timbul perasaan tidak senang dan tidak tentu arah kerana kita telah setia kepada sesuatu kumpulan itu selama 61 tahun.  Tetapi kini kita perlu beri kesetiaan kita kepada kerajaan yang terdiri daripada yang dahulunya musuh kepada kerajaan lama.

Yang utama adalah bukan pertukaran kerajaan, tetapi adalah kesetiaan dan kebaikan bagi negara kita.  Jika pemerintahan yang baharu ini berusaha untuk memajukan negara kita dan kita juga dapat nikmat daripada kemajuan ini, maka kesetiaan ini hendaklah diberi kepada negara yang menentukan segala usaha yang baik untuk negara kita dapat dilaksanakan. Janganlah kita terlalu taksub dengan sesuatu pemimpin atau parti sehingga kita lupakan tentang negara kita.

Negara ini kepunyaan kita tidak kira sama ada kita daripada orang Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan, Dusun, Bajau dan sebagainya, kita adalah warga negara ini.  Sama ada negara kita ini maju atau pun tidak, bergantung kepada kita. Kita yang perlu memahami bahawa tugas kita ialah untuk negara bukan untuk orang tertentu ataupun parti tertentu.

Kita boleh memberi ketaatan sementara kepada orang atau pemimpin atau parti hanya jika ianya dapat memenuhi kehendak negara.  Tetapi jika terdapat penyelewengan, walaupun kita terikat selama 61 tahun dengan orang tertentu, tetapi penyelewengan sudah dilakukan, maka kita perlu beralih kesetiaan kita kepada negara melalui pemerintahan  yang sedia ada.

Ini adalah harapan kita. Jika kita memegang sebagai pentadbir yang kekal, maka negara kita akan maju.  Tetapi jika kita secara membuta tuli mempunyai kesetiaan kepada orang tertentu atau parti tertentu, walaupun sudah dirinya tidak berguna kepada kita, maka kita lah yang akan menjadi mangsa malah anak cucu kita juga akan merasai keburukan pemerintahan yang kita telah memberi kesetiaan kepadanya tanpa memikirkan sama ada ianya menyumbang kepada kebaikan negara kita ini.

Jadi, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kita berada di sini sama ada ahli politik yang dipilih oleh rakyat atau pegawai-pegawai di dalam jentera kerajaan, kita perlu ingat bahawa yang lebih utama ialah negara kita bukan pemimpin atau pun parti. Jika negara itu ditadbir dengan baik, ia perlu mendapat kesetiaan dan ketaatan kepada kita. Inilah yang harus kita supaya negara kita akan terus aman dan terus maju untuk kebaikan kita semua. 

Similar Posts:

244 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

fourteen + 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas