Perasmian Skim mySalam B40

1. Pertama sekali saya ingin ucap terima kasih kerana menjemput saya untuk merasmikan Skim mySalam untuk kalangan B40.

2. Saya merasa gembira kerana Skim mySalam ini adalah satu lagi inisiatif Kerajaan untuk membantu kumpulan B40 di dalam kehidupan mereka sehari-hari.

3. Dalam usaha kita untuk mencapai status negara maju, pembangunan tidak harus dan tidak boleh diukur dari segi pertumbuhan ekonomi atau pembangunan infrastruktur semata-mata.

4. Kualiti hidup, kuasa beli dan pengagihan pendapatan yang lebih baik adalah ukuran yang lebih bermakna bagi menilai pembangunan negara. Kerajaan Malaysia akan terus berusaha untuk memastikan kemakmuran dan kekayaan negara diagihkan secara lebih saksama melalui pelaksanaan dan pendekatan pembangunan yang lebih inklusif.

5. mySalam ini kita perkenalkan kerana dasar insurans dan takaful di Malaysia menepati matlamat pembangunan yang ingin kita capai. Fokus kita adalah untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful dan ini dapat kita lakukan dengan memperkenalkan produk yang bersesuaian pada harga yang berpatutan.

6. Usaha juga ditumpukan untuk meningkatkan akses kepada perlindungan insurans dan takaful melalui pelbagai saluran.

7. Pada tahun 2017, kadar penembusan insurans dan takaful dalam kalangan B40 yang bekerja adalah masih rendah pada kadar 30.3% berbanding dengan kadar 50.4% bagi kesemua rakyat bekerja.

8. Kita berharap mySalam dapat meningkatkan penembusan insurans dan takaful untuk golongan B40 kerana ini amat bermakna dan penting dalam usaha kita meningkat taraf dan kualiti kehidupan kumpulan ini.

9. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.

10. Oleh itu, Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada hari ini merupakan satu langkah yang signifikan untuk merangka sebuah dasar pembangunan kewangan yang lebih inklusif di Malaysia.

11. Skim ini akan menyediakan perlindungan takaful kepada isi rumah dalam kumpulan pendapatan bulanan 40% terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR).

12. Melalui Skim ini, Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

13. Bagi golongan B40, terutamanya mereka yang bekerja sendiri atau memperoleh gaji harian, tuntutan takaful yang diterima daripada Skim mySalam ini boleh memberi kelegaan sementara bagi membantu mengekalkan keperluan hidup dan perbelanjaan harian, sementara menjalani rawatan perubatan yang diperlukan.

14. Skim ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan takaful. Kita mengharapkan skim ini juga berupaya membina kepercayaan terhadap insurans dan perlindungan takaful hasil dari perkhidmatan yang berkesan dan efektif.

15. Walaupun beban kewangan yang diwarisi adalah besar ban berat, namun ia tidak akan menjadi halangan untuk Kerajaan memperkenalkan program-program mesra rakyat seperti Skim mySalam. Walaupun kelihatan berdikit dan agak hati-hati di dalam melaksanakan programprogram ini, Kerajaan akan memastikan usaha tersebut mencapai golongan sasaran dan mereka yang memerlukan akan menerimanya.

16. Dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjana dana untuk meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu, kita turut mengambil langkah-langkah inovatif dan alternatif.

17. Dan usaha ini telah kami telah mula membuahkan hasil dan Skim mySalam ini membuktikan langkah-langkah inovatif dan alternatif tersebut mampu membantu mencapai matlamat untuk membantu rakyat.

18. Skim mySalam ini diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar, sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

19. Kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun akan layak untuk menerima manfaat. Oleh itu, pilihan untuk menyumbang kepada Skim ini adalah selaras dengan objektif Kerajaan untuk mencapai manfaat ekonomi jangka panjang yang lebih tinggi.

20. Saya percaya Skim ini akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada Tabung mySalam ini daripada Great Eastern dan oleh semua penanggung insurans dan pengendali takaful di Malaysia.

21. Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia.

22. Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa gembira saya melihat kerjasama yang kukuh di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan untuk menubuhkan sebuah jaringan sosial kesihatan yang menyeluruh bagi meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

23. Di samping Skim mySalam, inisiatif lain yang berkait rapat dan akan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan ialah Skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40.

24. Skim PeKa B40 ini akan dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada minggu hadapan untuk golongan B40 berumur 50 tahun dan ke atas. Ianya adalah projek perintis tahun 2019 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

25. Sebagai penutup saya ingin sekali lagi mengucapkan syabas kepada semua pihak yang telah berusaha untuk melaksanakan Skim mySalam ini. Semoga ia mendapat sambutan dan mencapai matlamat yang diharapkan.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

457 total views, 3 views today

Share:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 − 5 =

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tatal ke atas