PM ANWAR UCAP SELAMAT MAJU JAYA BUAT MAHASISWA SERTAI WUDC DI SEPANYOL

25 Disember 2022

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang akan menyertai World Universities Debating Championship (WUDC) bermula Selasa ini di Madrid, Sepanyol.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka bagi membantu pergerakan dan aktiviti sepanjang berada di Madrid, yang diserahkan Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi sebelum mereka berlepas semalam.

“Saya turut difahamkan anak-anak mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) akan turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

“Saya mendoakan agar anak-anak ini berjaya harumkan nama negara di bumi Sepanyol, Insya-Allah,” katanya.

WUDC yang bermula pada 27 Dis ini sehingga 4 Jan depan akan berlangsung di Universidad Rey Juan Carlos, Madrid, Sepanyol.

— BERNAMA

Share: