TEKS VERBATIM WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS – SOALAN 1 – TUAN HASSAN BIN ABDUL KARIM [ PASIR GUDANG ]
TEKS VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KELIMA BELAS
|
PERTANYAAN |
: |
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI (PMQT)
|
|
DARIPADA |
: |
TUAN HASSAN BIN ABDUL KARIM [ PASIR GUDANG ]
|
|
TARIKH |
: |
24 NOVEMBER 2026 (SELASA) |
SOALAN :
Minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Malaysia berasa bersalah sekarang kerana telah menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar ke Malaysia baru-baru ini apabila kini pada 19 November 2026 Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan bahawa Pasukan Keselamatan Myanmar telah membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya di Myanmar.
JAWAPAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Saya ucap terima kasih kepada Pasir Gudang. Saya ingin menjelaskan bahawa sebagai sebuah negara kita menghormati keputusan ICJ baru-baru ini. Dan dasar kita tentunya tuntas, iaitu untuk mempertahankan hak asasi rakyat mana-mana negara.
- Dalam kes Myanmar, memang kita akui dan memang ada pelarian yang ramai di sini, mencecah hampir 200 ribu orang yang ternyata sebahagiannya mangsa kekejaman rejim di Myanmar. Tapi permasalahan di sini Yang Berhormat, adalah bagaimana kita tangani masalah ini? Keputusan kita mengundang itu sebelum keputusan ICJ, yang itu pertama. Yang kedua, kita ada masalah dalam negara, dalam memutuskan dasar keutamaannya adalah memelihara kepentingan negara.
- Apakah dengan mengundang Presiden Myanmar Min Aung Hlaing ke Malaysia itu membantu menyelesaikan masalah negara? Jawapannya iya, kerana tidak berkesudahan mengharapkan negara ketiga tidak berhasil dan mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku. Jadi kita runding dan atas perundingan itu kita telah berjaya, selari dengan keputusan mahkamah antarabangsa iaitu menjamin Safe and Dignified Return. Itu istilah penghakiman mahkamah ICJ. Apakah kita jamin? Jawabnya, kita dapat jaminan. Apa hasilnya? Setakat ini, setakat hari ini, 10,476 telah dibawa pulang atas kos Myanmar. Sebahagian besar dengan pesawat, termasuk 1,476 dengan kapal perang Myanmar yang mengambil rakyat Myanmar pada 29 September yang lalu.
- Menteri Luar telah meluluskan tiga kapal angkatan laut untuk mengangkut pulang pada 6 dan 7 Disember, 1,500 rakyat Myanmar. Dan untuk bulan Disember, melalui pesawat atas tanggungan Myanmar, Kerajaan Myanmar sendiri, akan dibawa pulang 5,303.
- Jadi dalam konteks ini Tan Sri Yang di-Pertua, kita memilih untuk berunding dan kemudian menyatakan pendirian kita. Kita tidak pernah dengan kerjasama yang diperolehi daripada Kerajaan Myanmar itu meninggalkan prinsip kita, bantahan kita, pendirian kita seperti yang disuarakan dan mengekalkan Five-Point Consensus yang diterima pakai oleh semua negara ASEAN. Dan saya telah maklumkan kepada semua pimpinan ASEAN termasuk yang bersidang baru-baru ini di Manila, iaitu Malaysia masih kekal dengan Five-Point Consensus, masih kekal dengan pendirian kita prihatin terhadap penganiayaan terhadap beberapa kelompok-kelompok etnik bukan saja Rohingya, tetapi kumpulan etnik lain tetapi kita mahu ada penyelesaian.
- Apakah jaminan keselamatan mereka? Saya kata oleh kerana keputusan mahkamah jenayah antarabangsa itu Safe and Dignified Return, itu pengangkuan diberikan. Setakat ini belum ada kes daripada 10,476 itu yang menerima apa-apa bentuk tekanan sepertimana yang dipantau oleh risikan Malaysia. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Perdana Menteri. Soalan tambahan saya, adakah benar Kerajaan Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia? Pasal Gudang, mohon penjelasan dari Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
- Pasir Gudang memang suka tanya soalan susah. Saya dapat pengesahan daripada, saya sendiri mendapat pengesahan daripada Kerajaan Turkiye dua hari yang lalu, bahawa mereka belum bersedia mahu menimbangkan. Itu bagi pihak Turkiye. Tapi bagi pihak Malaysia, seperti yang disuarakan oleh TPM, memohon supaya dipertimbangkan.
- Jadi keadaannya begitu. Malaysia memohon dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita. Tetapi pihak Turkiye, secara rasminya, belum bersedia menimbangkan atas alasan Turkiye sekarang menanggung lebih daripada 4 juta pelarian daripada negara-negara Teluk, negara-negara Arab dan beberapa negara jiran.
- Jadi, itu kenyataan yang saya perolehi daripada rasminya pihak Turki. Tapi kita tidak mahu hal ini disalah mengerti kerana percubaan itu sepertimana yang disuarakan oleh TPM1, itu sudah konsisten dengan pendidikan Malaysia untuk mencari tempat ketiga mana-mana negara yang boleh, termasuk negara-negara OIC dan bagi pihak TPM1 memandangkan bahawa Turkiye mungkin menimbangkan, kerana tradisi itu negara Turkiye memang menerima, membantu banyak pelarian dari negara-negara Islam.
- Tapi dalam konteks ini, pihak Turkiye telah menyatakan dengan tegas kerana mereka sudah banyak tanggungan yang ada, mereka belum bersedia.
SOALAN TAMBAHAN 2
[TUMPAT]
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Tan Sri Pengerusi. Soalan tambahan saya, bagaimanakah Kerajaan Malaysia akan memanfaatkan hubungan diplomatik dan strategik yang baik dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat khususnya pengaruh China terhadap pihak-pihak berkepentingan di Myanmar untuk mendesak penyelesaian politik dan keselamatan di negara Rakhine agar masyarakat Rohingya dapat kembali ke tanahair mereka secara sukarela, selamat dan bermaruah.
Dan yang kedua, Kerajaan telah memulakan DPP, namun usaha ini dilihat tidak bermaya dan tiada taring, kerana pelarian semakin garang. Oleh itu, sebagai Perdana Menteri Kerajaan hari ini, adakah Kerajaan bercadang untuk mendapatkan operasi UNHCR di Malaysia apabila sistem DPP dapat beroperasi sepenuhnya, mengambil iktibar model Singapura yang tidak perlu pejabat UNHCR sendiri? Jika ya, apakah garis masa, mekanisme peralihan dan KPI yang ditetapkan bagi memastikan kawalan kedaulatan sempadan negara, keselamatan sempadan, serta pengurusan pelarian menjadi lebih berkesan di negara kita?
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
- Terima kasih Tumpat. Pertama, hubungan diplomatik kita dengan Amerika Syarikat dan China juga dimanfaatkan untuk membangkitkan isu ini. Bagi pihak saya, Kementerian Luar, itu telah membangkitkan, meminta supaya ada penyelesaian yang baik, melindungi kepentingan rakyat Myanmar. Tetapi kita juga harus faham bahawa Wilayah Rakhine yang dipertikai sekarang ini, sebahagiannya, kalau tidakpun sebahagian besar dikuasai oleh Arakan Army, tidak oleh military Jadi tiap kali kita berbicara dengan military Junta, dia kata kena sampaikan juga kepada Arakan Army yang bertindak secara bebas.
- Jadi ini satu masalah dalaman mereka, cuma pendirian kita agak tegas. Kita cuba dalam ASEAN, dalam OIC, di PBB, kita telah suarakan. Sebab itu bagi saya, caranya ialah untuk berdepan. Ini kali ketiga, baru-baru ini yang kita jumpa dengan Presiden Min Aung Hlaing. Pertama di Bangkok, keduanya di Beijing. Dengan kerjasama Kerajaan China, dan ketiganya mengundang beliau di sini dan ternyata ada kejayaan. Yang kita bawa pulang dengan jaminan, saya kata Safe and Dignified Return. Itu syarat yang ICJ, yang sebenarnya telah kita laksanakan.
- Soal UNHCR itu, memang kita ada permasalahan. Sebab itu, sekarang ini Jemaah Menteri memutuskan supaya Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri mengambil alih kerana terlalu mudah mendapat kebenaran dan pasport melalui khas yang dikelolakan oleh UNHCR. Tetapi tanpa mengira soal ini, kita sendiri berdepan dengan hampir sepertimana yang saya sebut, sekarang ini mungkin 180 ribu pelarian hanya dari Rohingya, tapi juga dari etnik yang lain.
- Jadi sebab itu, saya dan Kementerian Luar memilih untuk terus mengadakan rundingan, kerana ini akan menyelamatkan masalah negara. Kalau ditanya apa strategi kita, strategi kita pertama adalah untuk memenuhi atau menyelesaikan masalah dalam negara kita.
SOALAN TAMBAHAN 3
[TAMPIN]
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Berdasarkan statistik UNHCR, setakat Ogos 2026, terdapat sekitar 225,740 orang pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar di Malaysia. Dari jumlah tersebut, 90% merupakan warga Myanmar. Dalam usaha untuk memperkemaskan pengurusan pelarian, saya dipahamkan bahawa Kerajaan telah memperkenalkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang juga bertujuan untuk mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan oleh UNHCR.
Soalan saya kepada YAB Perdana Menteri, apakah hala tuju sebenar Kerajaan dalam melaksanakan dasar baru ini. Adakah DPP akan menjadi satu-satunya dokumen pengiktirafan pelarian di Malaysia yang menggantikan kad UNHCR? Dan sejauh manakah Kerajaan bersedia untuk membenarkan mereka bekerja secara sah dalam negara, sementara menunggu proses penempatan semula ke negara ketiga seperti Turkiye. Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
- Tampin, pertama, pendaftarannya bukan lagi UNHCR kerana terlalu mudah proses pendaftaran itu dan mempersulitkan kerja kita. Ada yang pelarian, ada yang masuk melalui sindiket, ada yang sindiket jenayah. Jadi kalau kita semua ikhtiraf mereka sebagai pelarian, itu negara tak boleh terurus dengan baik. Sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya pendaftaran yang sah hanya di bawah Imigresen dan di bawah KDN.
- Jadi sekarang ini, apakah mereka itu yang harus diberi peluang pekerjaan? Tentunya keutamaan sekarang ini disenarai keperluan kerja, tetapi tidak memudahkan kerana keutamaan kita ialah rakyat tempatan. Tetapi kalau dalam kes tertentu, kalau ada bidang-bidang kemahiran khusus, kepakaran yang tidak dimiliki oleh rakyat Malaysia, itu saya percaya jabatan-jabatan berkenaan boleh menimbangkan dan membuat rayuan khas.
SOALAN TAMBAHAN 4
[TEBRAU]
Terima kasih Tan Sri Speaker.
Yang Amat Berhormat, kenyataan Timbalan Perdana Menteri kita, yang menyatakan negara Turkiye sedia menerima 10,000 orang pelarian Rohingya. Hari ini Yang Amat Berhormat Tambun telah menjelaskan sebenarnya tidak. Maka bagi saya, insiden ini sekarang telah menjadikan Malaysia ini satu bahan lawak dunia, macam mana Timbalan Perdana Menteri boleh mengeluarkan satu kenyataan yang sekarang dimarahi oleh rakyat dan Kerajaan di Turkiye.
Maka soalan saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, insiden seperti inilah telah memudaratkan hubungan antarabangsa kita di antara negara kita dengan Turkiye dan apakah tindakan susulan Perdana Menteri ke atas tindakan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri kita. Sekian, terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
- Terima kasih Tebrau. Saya telah jelaskan, TPM1 telah membuat kenyataan berdasarkan keputusan negara mencari tempat negara ketiga, kerana kita tidak boleh dan berupaya menampung begitu ramai pelarian.
- Tapi dalam konteks ini, dengan maksud beliau untuk mendapatkan dukungan dari Turkiye, saya dapat penjelasan langsung dari Turkiye, Turkiye tidak bersedia. Jadi saya tidak fikir perkara ini harus dipanjangkan, kerana pihak Turkiye telah menyatakan mereka tidak bersedia. Jadi kita hormat keputusan Turkiye. Apatah lagi kerana Turkiye telah mengambil jutaan orang pelarian yang ditampung oleh negaranya. Di antara negara yang paling banyak menampung pelarian di dunia adalah Turkiye.
- Jadi oleh itu, kalau dia kata, “saudara kami tak bersedia”, jadi saya hormat keputusan itu. Kita telah sampaikan kepada TPM dan insya-Allah hari Jumaat ini saya akan sampaikan kepada Jemaah Menteri dan Menteri luar serta Kementerian luar telah sedia maklum tentang perkara ini, iaitu dasar kita betul tetapi ada negara tidak bersedia. Jadi, ada sedikit kekeliruan sama ada sudah bersedia atau belum bersedia, sekarang ini jawapannya tegas, dua malam sudah saya dapat maklumat, Kerajaan Turkiye belum bersedia.
