TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2026

16 September 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

SAMBUTAN HARI MALAYSIA

 

 

16 SEPTEMBER 2026 (RABU) | 8.00 MALAM

BORNEO CONVENTION CENTRE,

KUCHING, SARAWAK

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Salam Segulai Sejalai, Salam Malaysia MADANI.

 

Alhamdulillahirabbil ‘aalamin,

nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim.

 

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar;

 

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak;

 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah;

 

Pengerusi bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2026;

 

Yang Berhormat Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia Tahun 2026;

 

 

Yang di-Pertua Speaker Dewan Negara; Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri; Ketua Setiausaha Negara; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan rakan-rakan yang dimuliakan.

 

  1. Kita menyingkap pengalaman lama, sejarah yang berakar kepada semangat perjuangan yang luhur, pejuang yang punyai wawasan luar biasa. Bila Tanah Melayu Merdeka 31 Ogos, kemudian bersama Malaysia 1963, kebanyakan negara-negara luar dan pemerhati politik menjangkakan ini kesatuan yang mudah dileburkan.

 

 

  1. Sejarah membuktikan kenyataan itu di negara lain. Yugoslavia, satu negara yang kukuh, utuh di bawah Josip Broz Tito, berpecah jadi tiga. Sudan berpecah jadi dua. India, tiga. Dan Czechoslovakia, Czech dan Slovakia, jadi dua. Jadi benar telahan banyak pemerhati bahawa gagasan yang disebut oleh Sarjana politik Ernest Gellner itu, negara itu disebut imagined communities. Dia bukan berasal begitu.

 

  1. Tetapi syukur alhamdulillah, Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak bukan sahaja kekal merdeka, tapi membuktikan bahawa semua telahan negatif orang asing sudah meleset, malah bangkit sebagai kesatuan hebat di ASEAN dan di antara dunia.

 

  1. Ini kerana wawasan pemimpin-pemimpin luhur dan juga kepantasan rakan-rakan yang memikir jauh, yang tidak diheret oleh pandangan sempit suku kaum atau kebangsaan sempit atau agama secara yang fanatik, kerana ini semua, jika tidak melihat kerangka besar negara, akan meleburkan.

 

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur majoriti besar rakyat negara Malaysia, Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah, tidak diheret dengan pandangannya meleset. Kalau mahu bicara soal masa depan negara, kita bicara sebagai satu kesatuan. Kita fikir masa depan negara kita. Kita tunjukkan setiap rakyat dan warga di negara kita. Maka dengan cara begitu, kita boleh pertahan. Dan kita mesti menolak dan menangkis segala pandangan yang boleh merobek dan merobohkan kekuatan bangsa dan kekuatan negara.

 

  1. Saya bersyukur, Alhamdulillah, dan saya lihat sendiri perkembangan di negara kita bahawa majoriti rakyat masih menekankan dan melihat kepentingan kesatuan yang kukuh. Ini tidak bermakna tidak ada permasalahan-permasalahan suku kaum, agama, budaya, mesti disuarakan kerana demokrasi itu hanya bererti bila ada ruang berbicara.

 

  1. Ruang bicara itu adalah untuk membina, bukan merobohkan. Pernah dirungkai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu daripada kita. Tidak mudah untuk membangunkan. Ia mengambil masa puluhan tahun. Keperitan perjuangan, kesabaran dan kebijaksanaan. Tetapi untuk meruntuhkan dengan sekelip mata, lebih sukar membangun daripada meroboh dan merobekkan.

 

  1. Sebab itu, pencerahan ini harus sampai di lubuk hati sanubari setiap rakyat. Jangan izinkan seruan-seruan yang merobekkan. Kalau bicara soal negara, semua sama ada dari corong-corong Sarawak atau Sabah atau lebih-lebih lagi Semenanjung, bahawa suara ke arah pemencilan, kesempitan, puak, jangan izinkan mereka mengatasi kepentingan kebangsaan negara Malaysia.

 

  1. Dan saya yakin rakan-rakan di Sabah dan Sarawak akan mengambil ini sebagai satu wa’ad. Penubuhan dalam sejarah Kepulauan Melayu ini berterahkan satu wa’ad. Satu ikrar dan perjanjian dan muafakat di antara pimpinan dan rakyat. Tidak boleh lari daripada akar dan prinsip utama.

 

  1. Ini yang dikatakan wa’ad nasional, iaitu ikrar, janji, sumpah untuk mengekalkan negara dengan syarat ia harus dan harus menegakkan keadilan dan menjamin kesejagatan bagi semua. Mudah-mudahan Allah SWT memperkenan, merestui doa kita bersama.

 

Saudara-saudari yang dimuliakan,

 

  1. Kita punyai tanggungjawab. Sengaja saya imbau bukan saja hal-hal yang positif. Contoh-contoh kemelesetan, keruntuhan di negara-negara lain kerana ia harus menjadi peringatan bagi generasi kini. Anak-anak bangsa harus menyingkap lembaran sejarah. Mana mungkin seorang Ketua Iban dari Kapit, bersama dengan seorang bangsawan dari Kedah, tokoh dari Sarawak, latar belakang budaya agama agak berbeda, tapi boleh punyai wawasan, luar biasa. Saya renung juga, hanya kerana ilham, komitmen dan wa’ad nasional mereka.

 

  1. Generasi kini mesti menterjemahkan, mesti memaknai erti kemerdekaan. Saudara-saudara tahu mengapa mereka boleh berpakat? Kerana pertama, mereka mahu negara ini merdeka dan berdaulat. Mereka tidak boleh terima lagi Sarawak atau Sabah atau Semenanjung di bawah kuasa penjajah. Penjajah melemahkan kekuatan, fikiran dan jiwa kita. Menjadikan kita ini hamba dalam negara kita sendiri. Memunggah kekayaan negara kita, hasil mahsul untuk memperkayakan negara mereka masing-masing. Itu yang pertama.

 

  1. Yang kedua, kerana kecintaan mereka yang sangat mendalam kepada rakyat. Apabila mereka punyai kuasa, mereka tidak pernah melupakan tanggungjawab itu. Rakyat ini, bukan sahaja di kalangan bangsawan dan ningrat dan elit. Rakyat ini, dari semua kelompok dan golongan. Ini kekuatan bapak-bapak, ibu-ibu kita terdahulu. Ini cabaran buat kita untuk menterjemahkan semangat ini dalam bentuk amalan. Inilah sebab mengapa saya tekankan semangat wa’ad nasional ini.

 

  1. Supaya orang-orang yang bicara soal perkara yang sempit, untuk mementingkan semata-mata kelompok mereka, kaum mereka, suku-sakat mereka, tidak harus mewakili wa’ad nasional, kekuatan negara keseluruhannya.

 

 

  1. Sebab itu, bila saya bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI ini, dicabar untuk cuba melaksanakan, dan Yang Terutama Tun adalah di antara orang yang memikirkan hal-hal sedemikian. Saya ikuti walaupun dari kerusi sebelah sana bahawa beliau sangat tuntas dan konsisten, menyatakan bahawa untuk memaknai kemerdekaan, kita mesti faham wa’ad dulu dan laksanakan.

 

 

  1. Jika ditanya tentang MA63, itu terikat dengan wa’ad. Kita sudah berjanji. Bapa-bapa kita dahulu telah memutuskan untuk memperkuat ikatan ini. Sebab itu, kita ambil serius, meneliti, menelaah keputusan-keputusan terdahulu. Dan saya menyatakan, tidak mungkin selesai selagi sebahagian dari kita, terutama rakan-rakan saya di Semenanjung, fikir bahawa MA63 itu urusan Sabah dan Sarawak. Saya telah tekankan bahawa dalam pimpinan saya, MA63 itu wa’ad nasional, tanggungjawab nasional, mesti dijawab secara nasional.

 

 

  1. Selagi bicaranya itu, bicara satu pihak menyerah atau bersetuju, maka timbul pelbagai andaian dan kadang-kadang terkeluar dari beberapa perdebatan, Ahli-ahli Parlimen yang kurang pendidikan, sama sekali tidak faham bahawa negara ini punyai wa’ad Tanah Melayu, 1957, Malaysia 1963. Itu wa’ad kita.

 

 

  1. Jadi, kalau bila Bintulu, Premier Abang Jo, jangan katakan saya terima ultimatum daripada Abang Jo. Saya terima wa’ad Itu janji yang dibuat oleh bapa-bapa kita. Itu satu contoh. Itu pun melalui rundingan. Kalau rundingan itu 40 tahun lalu, tentunya Bintulu begitu sahaja. Tapi kerana rundingan itu 2025, Premier, kita runding, berapa agaknya Kerajaan Sarawak boleh bantu.

 

 

 

  1. Maka, saudara bayangkan, belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, Kerajaan Negeri boleh membayar RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan kerana pengurusan ekonomi itu cekap, kerana pimpinan itu berwibawa dan bertanggungjawab. Itu sebab mengapa keadaan ini boleh dilunaskan.

 

 

  1. Ini saya ceritakan fakta. Bukan saya kempen untuk GPS, bukan, ini bukan. Kerana saya disergah, TPM, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahidtahu di Parlimen. Mengapa peruntukan ditambah untuk pembangunan dan pengurusan di Sarawak dan di Sabah, Hajiji, ditambah tinggi? Kerana seolah-olah saya bimbang dengan tuntutan mereka. Saya jawab, saya lihat ini sebagai wa’ad janji dan menegakkan keadilan.

 

 

  1. Mereka ketinggalan, jalannya lubang-lubang. Pan Borneo mesti disiapkan. Itu bukan janji saya, itu janji bapa-bapa kita. Saya hanya teruskan kerana bagi saya, pimpinan itu mesti melaksanakan dan memperkota janji mereka. Jadi, alhamdulillah, kita teruskan. Ya, kalau hal rumit, runding. Saya tidak kata itu automatik. Harus berunding, bicara sebagai sahabat.

 

 

  1. Saya bersyukur kerana pimpinan peringkat Jemaah Menteri, ya, kadang-kadang adalah sedikit-sedikit suara-suara dalam perhimpunan dan sebagainya. Itu biasa-biasa, tenang-tenang. Tetapi, dalam hubungan saya dengan pimpinan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, saya ucap saya sangat hargai dan terharu dengan persahabatan yang jitu begini. Dan sering saya sampaikan kepada kawan-kawan saya di Semenanjung, banyak yang boleh kita belajar dari pimpinan Sabah dan Sarawak ini.

 

 

  1. Sebab itu, bila bincang soal iktiraf JKR, JPS Sabah-Sarawak sebagai Jabatan Teknikal, lulus, angkat wakil tetap Sabah Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, lulus, serah kuasa kawal selia elektrik pada Sabah, selesai, Pelabuhan Bintulu menjadi pelabuhan milik Sarawak, selesai. Tetapi ini pimpinan yang waras dan penuh hikmah. Dia tak ambil itu dan bolot, tidak. Dia tahu harus ada kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk memakmurkan Sarawak, dengan sendirinya memakmurkan Malaysia.

 

 

  1. Jadi, sementara pelabuhan itu pelabuhan milik Sarawak, pelabuhan ini pelabuhan yang penting bagi Sarawak dan Malaysia. Saya lihat dari segi itu. Ini wa’ad Kepentingan bersama dan kekayaan bersama. Sekarang ini, MAS Wings diserah kepada Sarawak, menjadi AirBorneo. Belum selesai. Dalam MA63, semasa Singapura bersama, ada kerusi Parlimen, satu per tiga. Dan tertangguh kita daripada 1963, Singapura keluar 1965, belum lagi ada penyelesaian.

 

 

  1. Jadi, peringkat pertama, keputusan Jemaah Menteri adalah bersetuju tentang penambahan kerusi Parlimen dalam penyusunan semula yang akan datang ini, bertambah untuk Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama. Tapi pemimpin-pemimpin Sarawak dan Sabah ini pintar. Dia kata, “saudara Anwar, tambah, terima kasih, tapi kalau sama dengan bertambah di Semenanjung, atau bertambah sini sedikit, bertambah sini banyak, itu bukan tambah ertinya.”

 

 

  1. Jadi mereka menambah perkataan, biar rationya. Bila ada penambahan itu, ratio penyertaan Ahli Parlimen Sabah-Sarawak harus lebih baik daripada ratio yang ada sekarang. Itu, saya setuju dan Jemaah Menteri setuju. Cuma tentang kaedah beberapa jumlah secara terperinci, itu sedang dirundingkan dan diputuskan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan akan dibentangkan di Parlimen.

 

 

  1. Mudah-mudahan kita akan mendapat dua per tiga. Yang penting ialah rationya itu harus bertambah. Sebab dia mengambil masa hampir 60 tahun. Tapi kita syukur, kita masih bertekad untuk melaksanakan.

 

 

  1. Apakah mudah? Tidak. Tetapi apa bezanya saudara? Saya lihat ini bukan soal Semenanjung versus Sarawak, atau Sabah versus Semenanjung, tak. Saya ke negara luar, bicara soal pembangunan negara. Tapi bila bicara tentang hub energy, energy hub, tenaga, saya menjadi jurubicara, jurucakap bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak kerana itu negeri saya dan tanggungjawab saya bersama.

 

  1. Sebab itu bila Premier Abang Jo berunding dengan ASEAN Development Bank di Manila. Itu berunding bagi pihak kita bersama. Saya tidak pernah fikir ini sebagai suatu rundingan yang terpisah daripada kehendak kita. Kejayaan Sarawak termasuk cadangan peralihan tenaga dari Sarawak ke Singapura, ke Semenanjung, Singapura ke Sabah dan ke Brunei, itu akan memberi sumbangan besar bukan sahaja ke Sarawak, tapi mengangkat kedudukan Malaysia sebagai energy hub in the region.

 

  1. So, kita harus fikir ke arah itu saudara-saudari. Saya mengajak dan saya akan tekankan, baik di Sabah atau Sarawak atau Semenanjung, naratif kita ini naratif nasional. Tak boleh kita nak maju, nak selesaikan kalau kita anggap ini orang Semenanjung bicara dengan orang Sarawak. Tidak. Saya datang bincang soal MA63, saya bincang sebagai rakyat Malaysia, sebagai orang yang menjaga kepentingan Semenanjung, kepentingan Sarawak dan kepentingan Sabah. Baru kita boleh angkat bersama.

 

  1. Ada isu umpamanya lebih rumit yang tertangguh. Bila PETRONAS diwujudkan, gergasi di dunia. Kita anggap dia satu badan yang mewakili seluruh negara dalam PDA74. Tetapi masa membuktikan keupayaan Sarawak meningkat. Rakyat Sarawak juga merasakan harus punyai peluang dan kesempatan. Maka diwujudkan PETROS. Sikap saya ialah PETRONAS akan pertahankan sebagai satu gergasi peringkat nasional dan internasional. Mari kita sama-sama bimbing dan angkat keupayaan PETROS sebagai syarikat kita bersama. Itu sikap kita.

 

 

  1. Saya terima kasih kerana termeterai utama yang saya tandatangani bersama Premier Abang Jo. Atas prinsip itu, jawatankuasa berunding mengiktiraf DE76, mengiktiraf perundangan Sarawak kerana menginginkan sesuatu yang pertahan kepentingan Sarawak. Maka, kita maju terus dengan prinsip yang sedemikian dan mengambil keputusan supaya perjanjian komersial di antara kedua itu dimuktamadkan.

 

  1. Saya boleh beri jaminan begini dan dengan persetujuan bersama kerajaan di Sarawak bahawa tidak ada sebab mengapa hal ini tidak dimungkinkan. Sebab itu saya ucap terima kasih kepada jawatankuasa teknikal, ada penyelesaian awal yang dikemukakan. Tapi saya nak beri jaminan di sini pada hari keramat 16 September bagi kita semua bahawa tidak mungkin hal ini tidak boleh dileraikan. Prinsipnya sudah kita muktamadkan dan hanya perjanjian beberapa aspek perjanjian komersial yang sekarang diutamakan.

 

 

  1. Saudara-saudara, ada beberapa isu kecil yang diluahkan oleh rakan-rakan di Sabah dan Sarawak. Seperti yang saudara tahu, Perang Teluk berterusan. Harga minyak satu tong sudah meningkat dari $70 satu tong semasa Belanjawan tahun lalu, hari ini $102 satu tong.

 

  1. Saya berjumpa juga di Delhi, Presiden Iran. Ucap terima kasih kerana dia luluskan di antara kapal PETRONAS awal melepasi Teluk Hormuz dan diproses di Pengerang, negeri Johor. Tetapi masih menyebabkan harga dan kos tinggi. Tapi keputusan kerajaan dan keputusan Jemaah Menteri, TPM ada, ialah untuk tidak membebankan rakyat.

 

  1. Maka, kita kekalkan harga RON95, RM1.99, harga terendah di dunia. Yang sedikit rendah daripada kita hanya Brunei Darussalam. Arab Saudi, pengeluar minyak terbesar dunia, harganya lebih tinggi dari kita. Qatar, pengeluar gas paling tinggi di dunia, harga minyak harganya lebih tinggi daripada Malaysia. Ini kerana tekad kita, wa’ad nasional kita itu menggunakan segala untuk menjaga kepentingan rakyat.

 

  1. Walaupun kita umumkan umpamanya BUDI RON95, 300 liter sebulan, di Ambang Kemerdekaan, 31 Ogos. Tetapi pemilik pick-up Jeep diesel, ini masalah banyak di Sabah dan Sarawak, masih mengeluh. Jadi kita naikkan diesel bersubsidi hingga 400 liter sebulan. Tapi inilah ertinya demokrasi, kita dengar, masih mengeluh. Menteri-Menteri Sabah Sarawak meluahkan, Ahli-Ahli Yang Berhormat meluahkan permasalahan ini. Maka saya, selain daripada pengumuman bulan lalu, kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel.

 

  1. Pertama, kemudahan pemindahan kelayakan akan diperluas kepada mana-mana warga negara Malaysia yang layak dan tidak lagi terbatas kepada ahli keluarga terdekat. Ini berdasarkan rayuan.

 

 

  1. Kedua, pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan. Dalam satu rumah, nama kadang-kadang untuk kegunaan anak, isteri itu, sebab itu kita beri kelonggaran ini. Pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel, dibenar memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga (3) kenderaan. Ini berkuatkuasa serta-merta. Ini kerajaan efisien. Umum hari ini, lepas ini terus dibenarkan tiga (3) kenderaan.

 

  1. Pelajar baru telah diumumkan dan saya bincang dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Pendidikan Tinggi memberikan bantuan khas pembelian tiket penerbangan secara sekali beri, one-off sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baru Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak, Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti bagi sesi kemasukan September-Oktober tahun ini. Ini akan memberi manfaat kepada 7,092 yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memulakan pengajian.

 

  1. Saudara, ada hal pemberian khas. Bulan lalu saya umumkan untuk negeri Sabah yang terikat dengan MA63. Jadi, kita naikkan dari RM200, RM400, RM600 juta untuk interim, sementara rundingan diteruskan kepada RM1.5 bilion untuk Sabah.

 

  1. Dan untuk Sarawak, saya katakan kepada Premier Abang Jo, kerana kedudukan kewangan itu Sarawak kuat, dia tidak. Tetapi atas semangat setia kawan, semangat persahabatan dan semangat Malaysia, untuk interim untuk Sarawak, saya umumkan malam ni RM1.5 bilion. Itu rahsia persahabatan dan rundingan yang baik. Tidak ada masalah yang tidak boleh dileraikan dan boleh diselesaikan.

 

  1. Jadi saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana semangat ini telah dapat kita laksanakan melalui projek, program dan kemudahan untuk rakyat. Inilah cita-cita Kemerdekaan 1957 dan Malaysia 1963.
  2. Mari kita manfaatkan waktu ini untuk mengangkat martabat negara kita. Menjamin kesatuan yang unggul dan memacu negeri dan negara melalui tatakelola yang baik dengan amanah kerana Malaysia mampu menjadi negara hebat, berkeupayaan dan contoh bagi rantau ini dan dunia, insya-Allah.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Share: