TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS AMANAT PERDANA HARI KEBANGSAAN TAHUN 2026

30 Ogos 2026

 

TEKS UCAPAN VERBATIM


YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 


SEMPENA

 

 

MAJLIS AMANAT PERDANA HARI KEBANGSAAN

TAHUN 2026

 

 

 

 

30 OGOS 2026 | AHAD | 3.00 PETANG

PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdullilah, Alhamdulillahil-lazii anzala ‘alaa ‘abdihil-kitaaba walam yaj’al lahuu ‘iwajaa. Wa usollii wa usallimu ‘alaa rasuulihil-kariim, wa ‘alaa aalihii wa sohbihi ajma’iin.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi dan

 

Yang Berhormat Datuk Aaron Ago anak Dagang,

Menteri Perpaduan Negara yang menjadi tonggak dalam acara pada hari ini dan Sambutan Kemerdekaan;

 

Ahli-Ahli Jemaah Menteri;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

Rakan-rakan yang saya kasihi sekalian.

 

  1. Merdeka! Alhamdulillah kita sambut kemerdekaan negara, esok dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong genap 31 Ogos, marilah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT dan memaknai kemerdekaan itu.

 

  1. Kita bersyukur kerana keadaan negara kita yang lebih aman lebih teratur ketimbang ujian pahit getir yang dihadapi oleh sahabat-sahabat dan dengan rakan di negara lain. Ujian tidak terduga, kesan keganasan Zionis Israel ke atas Gaza dan Palestin yang berterusan memuncak ketegangan kesan daripada Perang Teluk menjadikan kos barangan dan baja meningkat.

 

  1. Dan di rantau ini sekonyong-konyong kita terjebak dengan beberapa ancaman yang tidak terjangka atau terduga seperti banjir besar yang dihadapi oleh negara sahabat Nepal. Dan di negara kita sendiri di rantau ini khususnya di Sarawak kita masih berdepan dengan permasalahan jerebu. Doalah kita bersama ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan kita dapat tangani dengan baik dengan jayanya.

 

  1. Saudara-saudari, hampir tujuh dasawarsa yang lalu, pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, fajar baru menyingsing dari ufuk tanah air. Rakyat berbondong-bondong dari desa, pedalaman dan bandar dan kota kecil dari pelbagai latar kaum dan agama bergerak sederap menuju Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Inilah generasi yang telah membentuk negara kita tercinta menghadapi zaman yang masih bergelora. Perang Dunia ke-2 baru meninggalkan puing-puing kehancuran di merata dunia.

 

  1. Sejarah hitam kita menduduki imperialis Jepun dan ancaman gerakan gerombolan komunis di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Asia dan Afrika turut menyaksikan gelombang kebangkitan pembebasan menjanjikan kemerdekaan menolak pemerintahan asing penjajah yang rakus menggondol kekayaan negara dan kita melihat era baharu dalam sejarah dunia.

 

  1. Tanah Melayu atau Malaya pada ketika itu, Alhamdulillah turut bersama di tengah-tengah gelombang yang semakin membuak. Namun kemerdekaan kita ditempah dan terpateri melalui cara dan jalan yang sendiri. Sekali lagi Alhamdulillah, walaupun pahit getirnya dari zaman perjuangan menentang segala bentuk penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun berterusan ratusan tahun. Anak-anak Melayu mangsa dan pada ketika itu golongan pendatang merobohkan kekuatan yang dulunya dikagumi dengan gelaran empayar Kesultanan Melayu Melaka.

 

 

  1. Jadi dalam ingatan kita yang kita imbau singkap hanya dari segi sejarah. Negarawan yang telah berjuang dan memimpin sebab itu kita harus terus kenang jasa dan pengorbanan mereka. Umpamanya tatkala pengisytiharan kemerdekaan termeterai dalam pidato utama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj supaya Malaysia pada ketika itu Tanah Melayu menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berlandaskan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.

 

 

  1. Hasrat yang sama bila diungkapkan oleh Tunku Abdul Rahman juga, tatkala bendera Malaysia dinaikkan dengan megah dan rakyat bergelinangan air mata gembira bahawa negara ini merdeka dan berdaulat tatkala Union Jack Inggeris diturunkan. Apa kata Almarhum Tunku Abdul Rahman? Peringatan kepada kita generasi sekarang, “Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu ialah iaitu pengorbanan yang sebesar-besar pengorbanan.” Itu Bahasa Bapa Kemerdekaan dulu.

 

 

  1. Kita tercabar menemukan wajah bentuk dan keyakinan sendiri dan kini Tanah Melayu dulunya, membesar dengan gagasan baharu yang lebih gagah dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Tokoh-tokoh besar ini termasuk Almarhum Dato’ Onn Jaafar pengasas perjuangan Orang Melayu, tapi dari awal melihat kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua agama sebagai saudara.

 

  1. Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmi mengungkapkan suatu kenyataan yang sangat mengesan dan menyentuh sanubari dan lubuk hati kita. Mari kita hadam apa kata Dr. Burhanuddin Al-Helmi. “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka” – Pejuang Kemerdekaan, Dr Burhanuddin al-Helmi.

 

 

  1. Cuba kita cerakin, teliti, menelusuri setiap bait. Permulaanya, robohan Kota Melaka. Negara ini bangkit atas robohan. Kesultanan Melayu, Islam yang agung, diroboh, rusak, punah dengan bedilan senjata moden Portugis, yang berlaku juga kerana kealpaan dan perkhianatan beberapa suku sakat dalaman tetapi, dia ungkapkan roboh. Kita bermula atas robohan.

 

  1. Tapi apa cita-cita kita? Kata Burhanuddin, kita nak dirikan bukan sahaja negara merdeka, rakyat yang sedar dia merdeka, tetapi jiwa yang merdeka. Bukan sahaja sistem dan negara yang dikatakan negara merdeka, tetapi jiwa merdeka. Dan ini hambatan dan cabaran yang lebih besar.

 

 

  1. Sebab itu, untuk membina semula dari robohan, menanam di jiwa dan pemikiran kita semangat kemerdekaan, maka kita harus bersatu. Siapa yang harus bersatu? Bapak-bapak kita sebut, bukan bersatu kaum atau daerah atau wilayah, tetapi bersatu setiap dan segenap baka. Maknanya segenap, orang Melayu tentunya majoriti sebagai induk dan Bumiputera tetapi semua suku kaum harus terus bersatu, memainkan peranan ini. Untuk apa? Untuk membela hak keadilan pusaka.

 

 

  1. Anak-anak generasi muda harus hafal bait ini. Kerana satu ayat yang memberi penuh pengertian. Sebab itu saundara-saudara lihat, sejarah kita bukan semestinya bermula tahun 1511 tetapi tarikh itu, tarikh robohnya empayar Melayu-Islam Melaka. Sebelum itu, ada tamadun yang agung dan mulia, yang menyebabkan hebatnya lingua franca Melayu dan kekuatan Islam dirantau ini.

 

  1. Kita bergerak, pimpinan silih berganti, peranan tokoh-tokoh dan negarawan ulung, diikuti oleh almarhun Tun Abdul Razak Hussein sampailah kini. Pemimpin-pemimpin kita menghadapi liku-liku dengan berani dan mengajak seluruh rakyat bersatu, bermuafakat, menjaga amanat dan janji peristiharan kemerdekaan dan membina semula selepas robohan Kota Melaka.

 

 

  1. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT. Tidak ada negara yang tidak mempunyai permasalahan, pasang surutnya, pahit getirnya, kekuatannya dan kelemahannya, kehebatannya Tetapi, kita tetap bersyukur kerana ini adalah antara negara yang paling aman di dunia. Dengan wajah-wajah yang berbeda, warna kulit yang berbeda, suku kaum yang berbeda, tetapi masih ada kekuatan. Kekuatan ini mesti diperkuatkan.

 

 

  1. Kita mencatat beberapa kejayaan mutakhir ini kerana kita mampu menongkah arus ini kerana kita menongkah arus biasanya. Rakan-rakan saya yang ikuti perkembangan dari awal, saya percaya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid, rakan-rakan Menteri, tahu bahawa semasa Merdeka 1957, kalau tengok, kalau kita teliti liputan media asing, mereka tidak percaya Malaya, Tanah Melayu pada ketika itu, mampu bertahan dan merangkul kekuatan semua kaum kerana pengalaman di banyak negara Asia, Afrika, Latin Amerika berkecai. Tetapi, kita buktikan kita boleh bertahan. Bukan tidak ada musim tragis dan tragedinya. Tapi kita bertahan.

 

 

  1. Malah, dengan wawasan besar pemimpin negarawan pada ketika itu, bersama dengan tokoh-tokoh agung besar dari Sarawak dan Sabah, mereka melangkah satu tapak ke depan yang jarang berlaku dalam sejarah dunia. Catatkan mana negara. Yang ada, satu negara berkecai. Yugoslavia, jadi tiga. Cekoslovakia, jadi dua. Pakistan, jadi dua. Asal India, jadi tiga, jadi dua, jadi satu. Malaysia, jadi satu, sekarang bergabung tiga kekuatan: Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

 

 

  1. Dan dengan kekuatan inilah, kita merangka dan kita tercabar, generasi ini, untuk melakukan sesuatu. Ya. Dalam keadaan kemelut geopolitik yang tidak menentu, KDNK kita masih berkembang. Bayangkan. Tidak ada yang mengandaikan, mengikut unjuran, pertumbuhan yang begitu rupa. Tidak ada. Tidak Bank Dunia, tidak IMF, tidak Bank Negara, tidak Perbendaharan, tidak Kementerian Ekonomi. Tidak ada yang mengunjurkan kekuatan ekonomi kita.

 

  1. Tetapi, Alhamdulillah, suku kedua 2026, KDNK Malaysia berkembang 6%. Pelaburan yang diluluskan dan jumlah dagangan tercatat paling tinggi dalam sejarah sejak tahun 1957 dan 1963. Daya Saing Malaysia melonjak ke tangga 15 pada tahun 2026. Dan kekuatan dana kita, Ringgit, muncul sebagai mata wang terbaik Asia 2025.

 

 

  1. Saudara-saudara, pencapaian ini, hasil khidmat sejak merdeka. Dan tidak berhasil sekelip mata. Dan Kerajaan MADANI, rakan-rakan memilih jalan sukar, membetulkan asas negara, memperkukuh tata kelola, mengembali disiplin fiskal, menutup ruang ketirisan, dan mempercepatkan kelulusan dan membina keyakinan terhadap Malaysia.

 

 

  1. Sekali lagi, kematangan rakyat, perpaduan, kerangka ekonomi berlaku kerana harapan tinggi menggunung. Tetapi, saya akui dan insaf bahawa harapan rakyat tinggi menggunung, hanya seringkali keupayaan kita, walaupun kita bekerja sebagai satu pasukan dengan ikhtiar sebaik mungkin – Menteri-menteri, penjawat awam, badan penguatkuasa, badan pertahanan negara, pihak swasta tetapi masih ada keterbatasan dan tidak memenuhi keseluruhan harapan rakyat yang menggunung.

 

 

  1. Sebab itu, kita harus akui dan manfaatkan waktu ini untuk menyatakan, marilah kita bersama-sama terus bekerja untuk memperbaiki ruang yang ada kelemahan, mengekang keterlanjuran dengan mengekalkan kestabilan supaya kita dapat merancang ekonomi dan pertumbuhan negara dengan baik dan menjaga kepentingan semua rakyat.

 

 

  1. Memang sukar. Kerana dalam Kerajaan MADANI ini, kita harus membela semua. Bagaimana mahu memberi manfaat kepada T20 yakin supaya melabur terus? Bagaimana kita boleh membela nasib M40, B40? Bagaimana kita tangani permasalahan Melayu, Bumiputera yang bermula dari tahap yang rendah, yang masih merasa di kawasan-kawasan tertentu terpinggir? Bagaimana datang harapan kita merangkul dan mendakap kekuatan rakyat Cina, India, Orang Asli, Sabah, Sarawak? Sementara itu, warga emas, anak muda, pekerja, OKU, wanita, petani, nelayan, penjaja, dan kini muncul lagi pekerja gig.

 

 

  1. Sebab itu, kita tambah terus dalam keadaan kekangan ini. Peruntukan STR dan SARA, RM15 bilion tahun ini, tertinggi dalam sejarah. Apakah ini penyelesaian? Bukan. Apakah ini dapat mengekang permasalahan kos sara hidup? Belum. Kita akui, harus ada langkah-langkah yang harus terus diambil.

 

 

  1. Mengenangkan tentang nasib M40 kerana mengatakan kita terus memberi penekanan kepada B40. Saya nak jelaskan bahawa sejak tahun 2023 kita telah menurunkan kadar cukai pendapatan 2% untuk manfaat M40. Ini menyebabkan kita kehilangan RM1 bilion termasuk peningkatan gaji penjawat awam.

 

 

  1. Bantuan Awal Persekolahan yang disampaikan itu kepada semua murid dengan kadar kenaikan kepada RM150 setiap murid, tidak mengira latar belakang keluarga mereka. Ini juga RM800 juta. SARA yang dulunya sekali, dah jadi dua kali. Banyak rayuan yang minta jadi tiga kali, yang harus diberi pertimbangan oleh Perbendaharaan.

 

 

  1. Penyasaran subsidi elektrik yang juga menimbulkan sedikit keresahan, tapi telah memberikan manfaat kepada 85% pengguna. Berapa kosnya? RM4 bilion. Saya menggunakan mesej hari kemerdekaan ini supaya kita terima kritikan, saranan, tapi jangan kita nafikan apa yang dah dilakukan. Kita terima ini yang dah dilakukan, belum cukup. Kerana kalau tidak, kita hanya mengeluh, membebel tentang hal yang belum dilakukan, tapi tidak pernah mengakui dan bersyukur kepada Allah SWT tentang apa yang kita dah terima.

 

 

  1. Saya beri contoh yang biasa, yang beri manfaat kepada hampir semua M40 dan T20. Yang menelan RM40 bilion tambahan. Apa dia? BUDI95 dan diesel. Berapa kesan dan kos yang kita bayar? Semua rakyat bayar RM40 bilion. Begitu juga peruntukan kepada negeri-negeri. Walaupun sebahagian negeri tidak pernah mahu terima kenyataan ini. Sekali lagi saya tegaskan, semua peruntukan bagi semua negeri naik di bawah MADANI.

 

 

  1. Di peringkat akar umbi, Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI, Sejati MADANI, terus diperkasa. Kendatipun pelbagai ikhtiar terlaksana, saya, TPM, rakan-rakan Menteri, tidak pernah menganggap bahawa kita sudah selesaikan semua masalah. Dan ini bukan tirai untuk menutup keresahan rakyat. Saya faham. Rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup. PMKS berdepan dengan tekanan kos. Prasarana sekolah dan kesihatan merata tempat. Setiap Jumaat saya dengar daripada anak-anak kecil tentang kemudahan di sekolah. Di Putrajaya, hospital, di Kuala Lumpur, di daerah-daerah. Ibu bapa, anak-anak, keluarga masih beratur dan berdepan dengan tekanan di khidmat, di hospital dan di klinik.

 

 

  1. Saudara saudari Belanjawan 2027 akan dibentangkan dalam masa terdekat. Tetapi biasanya saya akan jawab, tunggu belanjawan negara. Tetapi nampak rakyat tak mahu sabar dan tak mahu menunggu. Kerana mereka katakan, dan Menteri-Menteri sampaikan kepada saya, tekanan sara hidup tak tunggu bulan Oktober. Perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu bulan Oktober. Maka di ambang kemerdekaan ini, saya terpaksalah beri ikhtiar, mencari jalan, mengambil langkah dan mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara. Itu anak-anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu dengan pengumuman-pengumuman berikut.

 

 

  1. Pertama, Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan. Ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan. Manakala lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pick-up dan jeep yang layak akan menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.

 

 

  1. Kedua, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50%, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion. Semua aliran sekolah, keutamaan tentunya Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama, Tahfiz, Pondok serta Pendidikan Khas. Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan. Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana dari mulai bulan depan kita tengok yang tertangguh sehingga tahun depan.

 

 

  1. Ketiga, program AI untuk rakyat akan dibuka kepada anak muda Malaysia yang berusia 18 hingga 30 tahun. Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan. Merangkumi ILMUChat AI tempatan, dari syarikat AI tempatan, Gemini Enterprise dari Amerika Syarikat, serta WonderClip dan MuleRun dari negara China. Semua akan dapat kemudahan mulai esok, 1 September.

 

 

  1. Keempat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyediakan peruntukan bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam. Meliputi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik, ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 Klinik Kesihatan awam yang menelan belanja RM1 bilion. Ini akan menjamin kecepatan rawatan dan mengurangkan kadar beratur berjam-jam untuk menerima rawatan.

 

 

  1. Kelima, Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-INVOIS sekali lagi. Daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun. Dengan ini, perniagaan yang tercatat jualan tahunan yang tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-INVOIS. Itu bagi PMKS umpamanya.

 

 

 

  1. Keenam, Kerajaan akan menambah kemudahan pembiayaan mikro. Peniaga-peniaga kecil sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 daripada RM5 kepada RM6 bilion. Masih ada keluhan di antara, di kalangan, perniaga-perniaga kecil, pengusaha kecil, ibu-ibu di rumah, yang bekerja dari rumah, dan pasar-pasar malam. Maka dengan ini diperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang menjaga dari rumah. Semua ini dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2026.

 

 

  1. Inilah dengan semangat perpaduan kita. Mudah-mudahan keenam-enam ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia bertolak dari satu prinsip yang jelas. Apa dia? Pertumbuhan ekonomi, negara mesti dikembalikan kepada rakyat. Kalaupun ada-ada tindakan merampas kekayaan dari tindakan badan kehakiman mengundang atas keterlanjuran mana-mana syarikat atau perseorangan, rasuah atau salah guna kuasa, yang mencecah berbilion ringgit. Pada hari ini saya isytiharkan, semua dana yang dirampas dari hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman, semua yang diperolehi itu, berbilion ringgit, akan dipulangkan terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan rakyat.

 

 

  1. Jadi saudara-saudara, kita harap diterima kenyataan. Sekadar keupayaan kita, kita lakukan sebaiknya. Saya ambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan rakan-rakan penjawat awam yang bertungkus lumus bersama dengan badan-badan penguatkuasaan menjalankan tugas dengan berani dan tegas dan bersih untuk menyelamatkan negara dan memaknai kemerdekaan.

 

 

  1. Apa erti kemerdekaan kalau negara ditadbir seperti watak penjajah dulu? Apa erti kemerdekaan, kalau hasil tak dipulangkan kepada rakyat? Apa erti kemerdekaan, kalau ada anak-anak yang terpencil dan yang terpinggir, tidak berkesempatan untuk menikmati kemewahan yang dikecapi oleh rakan-rakan yang lain.

 

 

  1. Maka setiap warga, Melayu, Iban atau Kadazan, Orang Asli, Cina atau India, adalah warga Malaysia yang tercinta, yang harus diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya.

 

 

  1. Saudara-saudara, mari kita labuh sambutan ini di ambang kemerdekaan dengan mengingatkan pesan penyair bangsa, Datuk A. Samad Said membuat kita merenung seketika. “Anak-anak kita, bakal datang tangkas dan berilmu. Dan kita dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga. Kerana awan yang indah, lapis pelangi, lebih mesra. Wajah diri dan inti peribadi kita, tunjang bagi kehidupan. Dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa sedia belajar, mengerti dan tekun untuk hidup bersama.” A. Samad Said.

 

 

  1. Maka, saudara-saudari dan anak-anak Malaysia, bangkitlah. Rapatkan saf. Teguhkan muafakat. Satukan tenaga dan ikhtiar. Kita punyai satu tanah air Malaysia. Kita warisi sejarah satu negara Malaysia. Dan kita bertanggungjawab menjamin masa depan yang hebat. Malaysia yang lebih tangkas. Malaysia yang lebih gagah. Malaysia yang boleh mampu diangkat martabatnya ke mercu yang gemilang.

 

 

  1. Ini tekad kita dalam atau ketika kita menyambut hari kemerdekaan. Dengan rahmat dan inayah Allah SWT. Dengan kekuatan dan semangat yang tidak pernah luntur. Insya-Allah, kita akan berdiri bersama, teguh, gagah dan dihormati dunia. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69.

 

 

  1. Dan sebelum saya sahut merdeka, saya mohon TPM, Dato’ Seri Zahid, rakan-rakan Menteri, pimpinan penjawat awam, naik ke pentas supaya kita bersama-sama melaungkan Merdeka tujuh (7) kali.

 

 

  1. Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera. Tunku Abdul Rahman telah melaungkan tujuh (7) kali Merdeka, diikuti oleh rakyat dengan penuh semangat. Dan pada petang ini, saya mahu semangat itu digilap semula. Inilah barisan pimpinan yang diberi amanah untuk menjaga, memakmurkan dan membela nasib rakyat Malaysia.

 

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

 

 

Share: