TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN MENARA FINAS DAMANSARA

24 Ogos 2026

  

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN MENARA FINAS DAMANSARA

 

ISNIN, 24 OGOS 2026 | 3.00 PETANG

MENARA FINAS, DAMANSARA DAMAI

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

 

Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching,

Timbalan Menteri Komunikasi;

 

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Hans Issac,

Pengerusi FINAS;

 

Keluaraga Industri Perfileman, Seni dan Budaya Negara;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

Alhamdulillah, nahmaduhu wanusalli ‘ala rasulihil Karim.

 

 

  1. Satu sejarah yang kita lakar pada hari ini, dengan maksud mengangkat keupayaan dan martabat industri perfileman dan juga dalam membina negara MADANI, maknanya memperkasa budaya. Ada satu hal yang perlu kita tekankan, negara ini harus dipacu pertumbuhannya dengan lebih pantas dan segar. Maknanya, ibarat “menggapai di langit” teknologi baharu, animasi, IT, AI, tetapi negara ini juga harus kekal “mengakar ke bumi” dengan nilainya, masyarakatnya, bahasanya dan budayanya.

 

  1. Bagaimana boleh kita rangkul dua aspek baharu yang mencabar dengan tuntutan zaman yang baharu, teknologi baharu, dan mengekalkan budaya kita, jati diri dan identiti kita? Maka, kita pada hari ini berbicara tentang industri perfileman yang diminta memenuhi maksud tersebut.

 

  1. Saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa sastera, budaya dan seni itu harus diperkasa sebagai satu alat propaganda. Negara-negara menunjukkan bahawa ada kelompongan, kelemahan besar bila kita taja filem ataupun acara seni, teater atau sastera, dan dijadikan alat propaganda, picisan dan murahan.

 

  1. Industri filem ini, sepertimana juga pemerkasaan budaya, menuntut suatu sikap yang lebih terbuka. Industrinya itu kreatif. Mana mungkin kreatif kalau terlalu banyak kekangan dan sekatan dan syarat-syaratnya? Sebab itu, saya nak mulakan dengan jaminan ini. Saya tahu tidak mudah, kerana negara kita juga kuat pengaruh dan aliran konservatifnya. Kalau babak-babak sedikit dianggap berlainan atau berani, itu dihujat dalam media dan media sosial yang begitu teruk.

 

  1. Tapi percayalah, negara harus berkembang. Teras budaya, akhlak dan nilai-nilai tidak boleh kita kesampingkan. Tetapi kalau industri ini, seperti juga universiti yang akan kita bicarakan, harus mendukung semangat perubahan, teknologi baharu, kreatif dan kritis, ia harus lebih terbuka.

 

  1. Jadi, saya telah menegaskan dalam Jemaah Menteri, saudara YB Fahmi tahu, dan Menteri Dalam Negeri serta menteri-menteri berkenaan, supaya sikap kita itu harus juga lebih lunak, lebih terbuka. Tidak terbuka sehingga luntur budaya, akhlak dan nilai, tetapi tidak terlalu mengongkong.

 

  1. filem mahu dikembangkan sebagai suatu industri yang lebih kompetitif dan menarik khalayak, tetapi terlalu banyak sekatan dan kongkongan. Tidak mungkin berkembang. Dan kita dah lihat episod-episod dulu. Saya masih ingat, semasa saya menteri dulu, dulu, menteri sekarang, tapi dulu, dulu sebelum itu ada musim cuti panjang, dan musim cuti tak pernah menonton filem di Sungai Buloh.

 

  1. Dan sebelum itu, saya masih ingat, filem terlalu banyak sekatan, Schindler’s List. Satu filem yang hebat tetapi dilarang, hanya kerana dalam tahanan Holocaust itu ada adegan orang-orang yang uzur dan sakit itu kelihatan telanjang. Maka bila kita bawa untuk Lembaga Filem meluluskan, itu syaratnya itu okey, tapi bab itu mesti dipadam dan tentunya pengarah filem enggan.

 

  1. Ada juga filem Melayu, P. Ramlee juga terkesan dalam hal itu, satu dua babak yang menuntut dilarang. Kemudian ada filem lain juga saya ingat, ‘Wanita Perempuan…” apa katanya. Johan ingatlah, saya tak berapa ingat filem-filem. Johan lebih ingat bintang filem dari filemnya. Tapi ada ‘Wanita, Perempuan dan ….’ dan yang juga dilarang, tapi akhirnya dibawa dalam Jemaah Menteri dan pada ketika itu saya mengambil alih sebagai lembaga memohon supaya dipertimbangkan.
  2. Saudara-saudara, saya tidak mahu menggambarkan saya ni sosok yang terlalu liberal, kerana akan dihujat kecam yang ultra-konservatif, tetapi saya nak bicara hal ini secara terus terang. Kalau mahu negara ini maju, tentu kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka. Tidak bermakna kita harus ikut acuan barat, tetapi acuan timur itu tidak semestinya aliran neokonservatif. Aliran timur itu harus kekal dengan daya, dengan budaya, dengan nilai, dengan akhlak, tetapi harus lebih terbuka. Kerana kalau agak terlalu tertekan dan tertutup, saya bimbang industri seni negara khususnya filem tidak akan berkembang.

 

  1. Ini yang saya nak tekankan dan saya bagi pihak Kerajaan ingin menjamin supaya harus ada ruang perbincangan lebih terbuka dan kita akan tentukan supaya ruang harus diberikan lebih terbuka, supaya penggiat seni tidak rasa terlalu tertekan dan terkongkong. Tanya lima kali sama ada adegan ini atau babak ini boleh diluluskan atau tidak.

 

  1. Saya percaya saudara-saudara faham bahawa kita mahu mengekalkan identiti kita, sistem akhlak kita, sebab itu kita lakarkan konsep negara ini sebagai negara MADANI. Maknanya tidak semestinya mengikut acuan negara lain. Itu yang pertama yang saya nak tekankan, yang saya rasa relevan sekiranya kita mahu tingkatkan.

 

  1. Tentunya hal kedua ialah dukungan. Kita lihat, sementara industri filem kita ada yang membanggakan, kita telah melahirkan seniman agung, masyhur dan tersohor seluruh rantau yang pernah berkomunikasi, berdialog dengan Kurosawa (Akira Kurosawa), Jepun atau MGR di India, tentunya Seniman Agung P.Ramlee yang bukan sahaja bicara tentang filem Melayu, tetapi yang mengangkat kesedaran dan perasaan kemanusiaan dan sentimen rakyat Malaysia dan mencuba turut mematahkan tembok-tembok prasangka, faham perkauman sempit, faham aliran yang terlalu konservatif. Itu sikap seorang seniman, penggiat seni dan industri filem yang mahu bukan sahaja menyempurnakan tanggungjawab tugas, tetapi mengangkat, memberi kesedaran, pencerahan kepada masyarakat, bangsa dan negaranya.

 

  1. Jadi kita ada sejarah yang sangat gemilang dalam negara kita. Mencatat dalam Asian Filem Festival, beberapa anugerah besar keupayaan kita. Dan dikenali bukan sahaja di Malaysia, tapi di rantau, khususnya di rantau Melayu. Tetapi saya juga agak faham bahawa mengikuti kisah-kisah mereka, bukan saja P. Ramlee tapi lain-lain lah, Mahmud, Daud, Saleh Kamil, semuanya dengan sedihnya itu, semua banyak berakhir dengan tragedi. Tragedi akibat industri yang tak terurus, industri yang juga menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dan menekan, dan memeras, dan berakhir dengan tragedi dalam hidup para seniman.

 

  1. Sebab itu, sepertimana yang ditekankan oleh saudara Fahmi tadi, harus ada beberapa ruang bila membicara soal industri filem ini, kita juga bicara soal keterbukaan pertama, mutu dan dukungan kerajaan yang harus meningkat dan saudara lihat Hans Isaac singgung tadi, dia tak sebut dalam ucapan, tapi saya tak sempat fokus yang soal lain, kerana dia bicara soal peruntukan, peruntukan, peruntukan, peruntukan, peruntukan.

 

  1. Jadi saya tahu nawaitu dia jemput saya itu dia sebenarnya. Dan saya faham itu satu keperluan, semestinya. Saudara tahu dulu dan sekarang juga saya bukan sahaja bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan rakan-rakan menjayakan ekonomi negara, tapi juga pemerkasaan budaya. Saya agak berkeras dalam hal ini. Saya mahu Malaysia ini terangkat kerana kekuatan ekonominya dan budaya yang diperkasa, termasuk dalam industri filem. Sebab itu peruntukan kita, kita tambah bukan sahaja filem tapi juga teater, sastera, seni, dan ini yang memberikan corak yang berbeda, memberikan kekuatan kepada negara kita.

 

  1. Dan selain itu, saya percaya rundingan, dialog yang saudara Fahmi adakan dengan rakan-rakan, KSU dan lain-lain, mendengar dan mencari jalan untuk perbaiki dari semasa ke semasa. Dan saya di peringkat akhir melakar strategi belanjawan negara. Insya-Allah, diluncurkan pada awal Oktober. Dan saya yakin selain daripada kemelut ekonomi yang juga kita bicarakan dan usaha penumpuan tentang pemacuan ekonomi dan soal kos sara hidup, masalah rakyat, kita juga harus mahu supaya rakyat Malaysia ini juga bangga sebagai satu negara indah, gemilang, hebat dan cemerlang seni budaya dan filemnya.

 

  1. Saya akui di umur begini tidak sering menonton dan mengikuti perkembangan filem atau seni sehebat zaman dulu. Tapi tentunya satu hal yang tak boleh dimungkiri ialah keperluan kita memberikan segala suntikan dan dukungan yang perlu supaya bukan sahaja industri itu berhasil tetapi nasib dan pembelaan terhadap para penggeraknya, dari pelakonnya kepada penggiat seninya dan juga seluruh tentera yang menghasilkan dan menjayakan.

 

  1. Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua penggiat seni yang menjayakan filem dan saya yakin insya-Allah, kita dapat terus tingkatkan bukan sahaja dari segi kejayaan yang disebut sebentar tadi, tetapi melonjakkan bidang ini ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, mempamerkan sikap dan budaya negara itu.

 

  1. Saya sekarang umpamanya sedang berdepan dengan cucu-cucu yang dibesarkan di Damansara, di Kuala Lumpur ini yang kadang-kadang pengaruh Hollywood dan filem serta seni luar negara, khususnya Amerika atau UK itu terlalu kuat. Dan saya faham tentang perlunya diberikan pendedahan.

 

  1. Tahun lalu, ini selingan keluarga. Bagaimana nak pujuk cucu-cucu saya itu minat untuk filem. Jadi, satu malam saya buat rancangan. Saya kata boleh tak sekali saja, tonton filem Melayu? Lihat, dia ada kesenjangan ini ya. Di antara generasi saya yang hampir ikuti semua filem-filem, hampir semua filem-filem Melayu, sama ada Shaw Brothers atau Cathay-Keris sebelum Jalan Ampang, tetapi generasi baru, terutama yang terdidik di kota-kota, kalau pinggir kota, di desa itu lain sikit. Itu sampai tidak ada pengetahuan dan minat sama sekali. Ini saya nak cuba.

 

  1. Jadi satu malam, saya panggil anak cucu, saya kata sekali saja compromise. Mereka reluctantly, I must say, they were not too enthusiastic. They think that their grandpa is quite ancient in their views. I use the term ancient because there was, you know, this premiere of An Inconvenient Truth by Al Gore, and special guest I think Clooney and Julia Roberts. Unfortunately, I couldn’t make it, because I could not cancel my lectures at Georgetown University at that time. But when I told my son, he said to me, “Oh, good, good, good. But the actor and actress is quite ancient papa”. My goodness, but anyway, so I can understand, ini perasaan Gen Z, Y ini semua ni. Kita nak nafi tak boleh, itu mereka. Saya tahap bersabar saja.

 

  1. Jadi satu malam, bawa. Saya tunjuk, saya minta mereka menonton Pendekar Bujang Lapok, P. Ramlee. Dan saudara percayalah, cucu saya kata, seorang kata, “Ini filem terbaik yang pernah saya tonton.” Seorang lagi cucu kata, “This is the best comedy I have ever seen.” And without exaggeration, saudara bayangkan ya, hampir tidak pernah nonton filem Melayu. Nonton filem yang 70 tahun, 80 tahun dulu, 70 tahun saya fikir. Dan itu pandangan mereka. Maknanya apa? Saya belajar dari situ dari anak-anak kecil ini, cucu-cucu, bahawa tanggungjawab kita itu memberikan pendedahan. Sekolah-sekolah umpamanya, bagaimana untuk menarik anak-anak ke filem. Biar dia pilih filem-filem mana-mana yang dia rasakan boleh menarik. Jadi kita tunjuk, kalaupun tidak sepenuhnya dan kita excel filem yang akan memberikan kepada mereka. Terutama anak-anak di bandar. Saya bimbang kerana ini dikatakan, The Bangsar crowd atau Fahmi ini lah, crowd Saya ni Cherok Tok Kun, itu dapat pendedahan.

 

  1. Tapi saya minta maaflah, saya nak share pengalaman saya. Dah umur sekian saya bimbang, bagaimana nak tarik. Saya begitu ghairah dan kagum dan terpersona dengan filem-filem begitu. Saya rasa great movie. Saya boleh tahu liriknya, saya boleh hafal lagunya. Tapi bagi generasi kini, hampir tidak, bukan sahaja tidak tahu, tidak minat sama sekali. Tapi satu pendedahan menyebabkan mereka minta nonton lagi filem.

 

  1. Jadi pengalaman ini, mudah-mudahan dapat juga dimanfaatkan oleh FINAS. Bagaimana untuk mengumpulkan anak-anak muda di sini untuk memberikan pendedahan bagi kalangan yang meremehkan dan merasakan filem kita kurang mutunya dan kurang sambutan. Saya percaya ini juga satu percubaan, satu ujian bagi rakan-rakan, kerana mereka melihat, terutama saya beritahu ini, soal yang dianggap urban elite ini ya, dia kadang-kadang terpisah dari akar budaya mereka sendiri.

 

  1. Mudah-mudahan Allah SWT beri kekuatan. Hari ini kita gembira kerana mercu tanda penting dalam industri perfileman, FINAS, dapat dijayakan. Terima kasih kepada seluruh keluarga FINAS kerana kejayaan ini.

 

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

­­­

 

Share: